Oleh NURDIANA BINTI MOHD NOR

 

MAJLIS pelancaran buku Evolusi Parlimen dan Evolusi Speaker Parlimen Malaysia (Edisi Kedua), terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) karya YB Dato Sri Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar, Timbalan Menteri Dalam Negeri telah diadakan pada hari Selasa, 25 November 2014 di Dewan Bankuet, Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur. Majlis ini disempurnakan oleh YB Tan Sri Abu Zahar Ujang, Yang Dipertua Dewan Negara.

pelancaran buku parlimen III

Dato Sri Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar, Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Datuk Dr. Haji Awang bin Sariyan dalam majlis pelancaran buku Evolusi Parlimen dan Evolusi Speaker Parlimen Malaysia (Edisi Kedua).

Dalam ucapan alu-aluannya, YBhg. Datuk Dr. Haji Awang bin Sariyan, Ketua Pengarah DBP melahirkan rasa syukur kerana buku yang pertama kali diterbitkan oleh DBP pada tahun 2010 ini mendapat sambutan yang menggalakkan sehingga diulang cetak sebagai edisi kedua.

Katanya lagi, buku ini dapat memberikan panduan dan kefahaman kepada masyarakat tentang institusi Parlimen serta peranan dan fungsi yang dimainkan oleh speaker Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

pelancaran buku parlimen V

Dato Sri Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar menandatangani autograf pada buku beliau.

“Penghasilan buku seperti ini memperbanyak hasil penulisan yang bermutu dan penting sebagai rujukan generasi yang akan datang. DBP sentiasa mengalu-alukan dan menggalakkan ahli-ahli Yang Berhormat supaya menghasilkan tulisan berdasarkan kepakaran, pengalaman dalam bidang masing-masing,” katanya.

pelancaran buku parlimen

Dato Sri Dr. Wan Junaidi menyampaikan ucapan dalam majlis tersebut.

Seterusnya, Dato Sri Dr. Wan Junaidi melahirkan perasaan gembira kerana terhasilnya buku ini dan berterima kasih kepada DBP kerana membantu beliau menerbitkan buku berkenaan. Beliau turut berterima kasih kepada YB Tan Sri Abu Zahar Ujang kerana sudi melancarkan buku tersebut.

Secara ringkas, Dato Sri Dr. Wan Junaidi menyatakan bahawa buku tersebut ditulis secara kronologi, iaitu berlandaskan tarikh, tahun dan peristiwa yang berlaku di dalam negara. Buku ini sarat dengan sejarah dan ilmu Parlimen serta memberikan panduan dan kefahaman kepada masyarakat tentang institusi berkenaan.

Dalam ucapan pelancaran, Tan Sri Abu Zahar menyatakan bahawa buku ini memberikan nilai pemahaman dan penghayatan tentang kedudukan Parlimen di Malaysia.

“Parlimen Malaysia telah wujud sekian lama dengan latar belakang dan acuannya yang tersendiri, maka evolusi dalam Parlimen akan sentiasa bergerak dari semasa ke semasa,” tegasnya lagi.

pelancaran buku parlimen II

Tan Sri Abu Zahar menyampaikan ucapan dalam majlis tersebut.

Beliau turut menyarankan agar setiap pemimpin (wakil rakyat) mengetahui sumbangan yang diberikan kepada rakyat dan usaha mereka dalam mempertingkatkan kemajuan negara.

Pada akhir ucapan, Tan Sri Abu Zahar mengucapkan tahniah kepada Dato Sri Dr. Wan Junaidi kerana terhasilnya buku ini.

Semoga penerbitan buku ini akan memberikan semangat kepada Dato Sri Dr. Wan Junaidi dan pemimpin lain untuk terus menghasilkan buku-buku bermutu untuk tatapan generasi hari ini dan akan datang.

 

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1066929
    Visit Today : 988
    This Month : 15182
    Total Visit : 1066929
    Hits Today : 3883
    Total Hits : 4381983
    Who's Online : 10
  • Kategori