pulau tanpa cinta

Tajuk Buku     :           Pulau Tanpa Cinta

Pengarang      :           Jasni Matlani

Terbitan          :           Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun Tebit   :           2014

ISBN                :           978-983-46-1426-3

Halaman         :           384 halaman

Genre              :           Novel

Pengulas         :           S.M. Zakir

Pulau Tanpa Cinta (PTC) ialah novel Jasni Matlani, seorang penulis mapan yang banyak meneroka gaya baharu dalam penulisan, terutamanya karya-karya yang dihasilkan mutakhir ini. PTC mengisahkan Muhammad Iqbal seorang penulis yang menulis sebuah novel bertajuk Negeri Malam, diburu, ditangkap dan diseksa oleh serigala-serigala Tuan Presiden kerana mengkritik ketidakadilan dan kezaliman Tuan Presiden ke atas penduduk Pulau Pandora. Tuan Presiden merupakan pemerintah Pulau Pandora, setelah merampas kuasa daripada Sultan. Dengan dibantu oleh serigala-serigalanya, Tuan Presiden menghapuskan semua penentangnya dan memerintah dengan zalim. Tuan Presiden dan serigala-serigalanya menindas rakyat, mengaut kekayaan negara, dan menghalang kebebasan bersuara dan melakukan apa sahaja yang mereka suka. Sesiapa yang bersuara mengkritik Tuan Presiden akan menerima kecelakaan daripada serigala-serigala suruhan Tuan Presiden. Muhammad Iqbal merupakan rakyat Pulau Pandora yang menerima kecelakaan tersebut akibat menulis novel mengkritik Tuan Presiden. Sesiapa yang mengkritik dan menentang Tuan Presiden, akan diperlakukan sewenang-wenangnya oleh serigala-serigala Tuan Presiden. Mereka ditangkap tanpa perbicaraan dan diseksa sesuka hati, termasuk dibunuh dan dihapuskan secara senyap.

Jasni Matlani mencipta sebuah latar imaginatif iaitu Pulau Pandora yang dikatakan terletak di kawasan kepulauan Melanesia, dan telah wujud sejak berkurun yang lampau melalui catatan ahli-ahli sejarah lampau. Pulau Pandora kini merupakan antara pulau yang paling maju di dunia, dan mempunyai bangunan tertinggi di dunia. Penduduk Pulau Pandora terdiri daripada bangsa Avar, Yava dan Arya. Pulau Pandora merupakan pulau yang aman damai dan diperintah oleh Sultan sebelum berlaku rampasan kuasa dan bermula era pemerintahan diktator Tuan Presiden.

Mereka hidup bahagia dan aman sejahtera, tidak pernah bertelingkah antara satu sama lain, tidak pernah mengadu domba, memfitnah, berebut-rebut kuasa sehinggalah sultan terakhir yang memerintah Pulau Pandora itu tiba-tiba digulingkan oleh sekumpulan tentera yang berpaling tadah. Sultan yang digulingkan itu akhirnya dibunuh, tetapi sebelum dibunuh, baginda menyumpah semua pengikut ketua turus tentera yang menggulingkannya itu menjadi serigala untuk tujuh keturunan. (Pulau Tanpa Cinta 2014;6).

Maka, bermulalah zaman gelap yang penuh kezaliman di Pulau Pandora. Dalam pada itu, sumpahan raja terakhir itu menjadi nyata dengan pengikut-pengikut ketua turus tentera yang menggulingkan sultan itu menjadi serigala.

Selepas itu, tidak ada lagi suara bantahan kedengaran. Demokrasi sudah lenyap dan mati di Pulau Pandora.

Diceritakan oleh orang-orang tua di Pulau Pandora, kononnya pada suatu malam, ketika bulan purnama di kaki langit Pulau Pandora, dan ketika ketua turus tentera yang menggulingkan sultan itu bersuka ria, mabuk arak, selepas mengisytiharkan dirinya sebagai Tuan Presiden seumur hidup di Pulau Pandora, maka ketika itulah semua pengikut ketua turus tentera itu menjadi serigala. (Pulau Tanpa Cinta 2014;7).

Setelah itu bermulalah pemerintah kelompok serigala yang diketuai oleh Tuan Presiden di Pulau Pandora. Tuan Presiden memerintah sebagai diktator dan menghapuskan semua penentangan terhadapnya dengan kekerasan, melalui serigala-serigalanya. Muhammad Iqbal pula ditangkap dengan kasar di sebuah kafe di selatan Pulau Pandora setelah novelnya Negeri Malam menimbulkan kemarahan Tuan Presiden. Muhammad Iqbal disumbat ke penjara dan diseksa dengan kejam oleh serigala-serigala Tuan Presiden.

Naratif novel ini bergerak daripada imbasan Muhammad Iqbal dari sudut pandang Aku terhadap situasi politik di Pulau Pandora di bawah pemerintahan kuku besi dan diktator Tuan Presiden. Setelah memberikan latar belakang pemerintahan Tuan Presiden, dan memunculkan watak wirawati yang menjadi kekasih kepada Muhammad Iqbal iaitu Manohara, novel ini bergerak menyampaikan situasi rakyat dan kezaliman Tuan Presiden serta serigala-serigalanya satu per satu melalui babak yang dijudulkan dengan dongeng-dongeng. Babak-babak ini mengisi 18 dongeng yang diisi cerita-cerita yang secara khususnya membina sisi-sisi ironis novel ini dalam menghantar kritikan politiknya yang tersirat. Tuan Presiden dan Pulau Pandora menjadi metafora kepada subjek kritikan penulis. Novel ini ditamatkan dengan penyudahnya yang tergantung dengan ceritanya kembali kepada Muhammad Iqbal di dalam tahanan serigala-serigala Tuan Presiden, dan bersedia untuk menerima apa yang terjadi kepadanya. Tuan Presiden terus memerintah dan serigala-serigala Tuan Presiden terus mengganas. Novel PTC ini ternyata berdiri dalam imbasan Muhammad Iqbal semasa berada di dalam tahanan serigala-serigala Tuan Presiden.

Manohara, yang menjadi wirawati dan protagonis kedua novel ini dimunculkan sebagai seorang penyair yang turut mengkritik Tuan Presiden dan berjuang untuk menentang ketidakadilan dan kezaliman Tuan Presiden dan konco-konconya. Manohara turut diburu oleh serigala-serigala Tuan Presiden bersama-sama Muhammad Iqbal. Bayangan Manohara menjadi kebimbangan Muhammad Iqbal yang meletakkan tekad untuk melawan dengan apa jua upayanya jika Manohara ditangkap oleh serigala-serigala Tuan Presiden. Untungnya, Manohara masih belum dapat ditangkap oleh serigala-serigala Tuan Presiden. Lapan belas buah dongengan yang mengisi 18 bab novel ini membawa satu per satu cerita atau peristiwa yang berlaku di Pulau Pandora dalam kaitannya dengan pemerintahan kuku besi Tuan Presiden.

PTC menata cerita yang pada umumnya kelihatan biasa tentang pemerintahan zalim seorang presiden di sebuah pulau yang didiami oleh masyarakat pelbagai bangsa. Tetapi kebiasaan ini disemai dengan perasaan yang misteri oleh naratif yang bergerak di luar dunia nyata atau realiti. Manusia-manusia berubah menjadi serigala selama tujuh keturunan akibat sumpahan sultan yang dizalimi, dongeng-dongeng yang keluar daripada dunia realiti dan sebuah pulau yang tidak wujud di alam nyata. Naratif novel ini menyemai perasaan yang misteri dengan memecahkan sempadan realiti untuk menjadikannya sebagai sesuatu yang luar biasa. PTC juga memperlihatkan unsur-unsur magis yang menggabungkan citra tempatan dan sejagat, dan menjadikan teks ini asing daripada bumi nyata, menghantar kritikan politik secara ironis. Tuan Presiden dan serigala-serigalanya mencipta sesuatu di luar realiti, memecahkan sempadan realiti dan bukan realiti; sekali gus memberikan ironi terhadap pemerintahan kuku besi yang dilambangkan dengan ‘alat penguasa’ adalah umpama serigala-serigala buas. Tuan Presiden dan serigala-serigalanya muncul sebagai magis yang menyembunyikan kritikan politik di sebaliknya.

Tuan Presiden dan serigala-serigala buas yang menguasai pulau yang maju dan makmur, memberikan ironi politik terhadap negara yang diperintah secara kuku besi. Tuan Presiden dan serigala-serigala daripada tentera-tentera yang disumpah oleh sultan adalah unsur magis yang ditimbulkan dalam PTC. Dongeng-dongeng seterusnya disuntik dengan magis-magis yang menggabungkan citra tempatan dan sejagat; dan ia menghantar kritikan-kritikan politik secara ironis. Unsur-unsur luar biasa yang bergerak melangkaui sempadan realiti ini berserta magis-magis yang dibentuk menjadi misteri, dilihat bukanlah sesuatu yang terpisah daripada realiti tetapi merupakan perpanjangan daripada realiti. Ia bertolak dari realiti sebenar iaitu situasi politik dunia nyata atau realiti politik yang menekan dan menindas rakyat di alam nyata, dikaburkan dan dibalikkan dengan gambaran-gambaran yang disuntik magis-magis. Namun, di sebalik magis-magis ini tersembunyi gambaran realiti iaitu ironi daripada kenyataan politik sebenar. Magis-magis yang menimbulkan rasa misteri dengan sengaja akan menarik perhatian dan kesedaran pembaca untuk memikirkan ironi yang disampaikan; seterusnya menghubungkan dengan mana-mana situasi politik yang menjadi sasaran kritikan penulis.

Secara keseluruhannya, PTC memberikan gaya dan bentuk yang berbeza dalam menyampaikan sebuah cerita yang bergerak di luar arus konvensional. Terdapat kritikan-kritikan yang tajam dan memerlukan pemahaman dalam memahami apa yang ingin disampaikan oleh pengarangnya. Novel ini juga didukung oleh penguasaan bahasa yang baik dalam membentuk olahan serta perlambangan yang menarik.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1049439
    Visit Today : 284
    This Month : 32038
    Total Visit : 1049439
    Hits Today : 1608
    Total Hits : 4306369
    Who's Online : 13
  • Kategori