Oleh Nurdiana binti Mohd Nor

Satu sidang media mengumumkan penerima S.E.A. Write Award 2014 bagi negara Malaysia telah diadakan pada 24 November 2014 di Sanggar Tun Sri Lanang, Menara Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku Sekretariat Tetap S.E.A. Write Award bagi tahun 2014 telah sebulat suara memilih Md. Ismail bin Jamjam @ Zamzam atau Zam Ismail sebagai calon penerima S.E.A. Write Award tahun 2014 bagi negara Malaysia dan juga merupakan penerima anugerah yang ke-36 sejak anugerah tersebut diwujudkan pada tahun 1979.

Sidang media ini dihadiri oleh YBhg. Datuk Dr. Awang bin Sariyan, Ketua Pengarah DBP, YBhg. Prof. Dr. Zaharani Ahmad, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Zam Ismail, Penerima S.E.A. Write Award 2014, Ketua-ketua Bahagian DBP, dan para pengamal media. Dalam majlis tersebut, YBhg. Datuk Dr. Awang bin Sariyan mengumumkan Zam Ismail sebagai penerima S.E.A. Write Award 2014 bagi negara Malaysia. Dalam pengumuman tersebut, beliau, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP dan warga kerja DBP mengucapkan tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Zam Ismail atas kejayaan tersebut.

sea write award 2014

YBhg. Datuk Dr. Awang bin Sariyan mengumumkan Zam Ismail sebagai penerima S.E.A. Write Award 2014.

Anugerah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A. Write Award) merupakan suatu bentuk penghargaan dan pengiktirafan yang diwujudkan sejak tahun 1979 oleh kerajaan Thailand untuk tokoh penulis dari negara rantau ASEAN iaitu Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Tujuan anugerah ini adalah untuk memilih calon penulis mewakili Malaysia sebagai penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara 2014, di samping membina sinergi dan jalinan kerjasama yang erat ke arah memperkasakan sastera dan sasterawan Malaysia ke peringkat serantau dan antarabangsa.

sea write award v

YBhg. Datuk Dr. Awang bin Sariyan mengucapkan tahniah kepada Zam Ismail sebagai penerima S.E.A. Write Award 2014.

Dengan penerimaan ini, Zam Ismail akan menghadiri Minggu S.E.A. Write Award 2014 pada 10 hingga 16 Disember 2014, dan akan menerima anugerah semasa acara kemuncak, iaitu pada Malam Gala dan Majlis Penganugerahan pada 15 Disember 2014 di Oriental Hotel’s Royal Ballroom, Bangkok, Thailand. Anugerah ini akan dikurniakan oleh Duli Yang Maha Mulia Puteri Maha Sirivannavari Nariratana.

sea write award III

Md. Ismail bin Jamjam @ Zamzam atau Zam Ismail

Penyair Zam Ismail dilahirkan pada 19 Mei 1943 di Kampung Parit Rasipan, Batu Pahat, Johor Darul Takzim. Zam Ismail mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Pintas Puding, Batu Pahat, Johor. Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran di Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR), di Tanjung Malim, Perak.

Karya-karya Zam Ismail dalam genre puisi dan cerpen banyak termuat dalam media-media berpengaruh seperti Dewan Bahasa, Dewan Sastera, Mastika, Utusan Melayu dan lain-lain. Beliau ernah mengambil inisiatif menubuhkan Persatuan Penulis Johor (PPJ) pada tahun 1967, dan memegang jawatan sebagai Ketua 1 PPJ semenjak ditubuhkan sehingga meletakkan jawatan pada tahun 1987. Zam Ismail turut aktif dalam kegiatan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA). Ketekunan beliau dalam berkarya melangkaui zaman dan abad. Karya beliau, “Air Papan”  dan “Bebayang” jelas masih kuat dipengaruhi idealisme perjuangan yang didukung oleh sasterawan zaman ASAS 50.

Semoga kejayaan ini akan membangkitkan semangat untuk beliau terus aktif dan prolifik menghasilkan karya dan mewarnakan dunia kesusasteraan Melayu.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1062910
    Visit Today : 639
    This Month : 11163
    Total Visit : 1062910
    Hits Today : 2173
    Total Hits : 4364958
    Who's Online : 5
  • Kategori