Oleh NORLIZA OMAR

TEATER kanak-kanak “Laba Sang Bijaksana” telah dipentaskan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 18 dan 19 September 2014 yang lalu. Pementasan ini telah berlangsung dengan jayanya, dan mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada penonton.  Pementasan teater ini adalah gabungan kerjasama antara DBP dengan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

laba 3

Salah satu adegan teater “Laba Sang Bijaksana”

Teater kanak-kanak ini merupakan hasil karya Noor Hashimi bin Hasan, iaitu pengarah pementasan teater ini juga.  Noor Hashimi merupakan pendidik yang telah banyak mengarah teater kanak-kanak. Berdasarkan pengalamannya dalam bidang penulisan dan pengarahan teater, Noor Hashimi sering diundang sebagai hakim, penceramah atau pembimbing bengkel teater (lakonan/pengarahan) anjuran pelbagai pihak termasuk DBP.

laba 5

Noor Hashimi bin Hasan, pengarah dan penulis skrip “Laba Sang Bijaksana”

Pada tahun 2013, DBP pernah mementaskan teater kanak-kanak yang melibatkan Kumpulan Citra Cilik DBP yang terdiri daripada 30 orang anak staf DBP. Teater tersebut berjudul “Danial dengan Bawang Hitam” di bawah bimbingan Noor Hashimi. Sejak penubuhan Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja pada tahun 2006, telah banyak teater kanak-kanak dipentaskan.  Jika teater kanak-kanak DBP sebelum ini lebih berbentuk muzikal dan cerita binatang, DBP pada tahun ini mengubah cita rasa dengan mengangkat genre bangsawan. Genre ini mula dilupakan oleh golongan dewasa apatah lagi kanak-kanak. Justeru, buat pertama kalinya DBP memilih pementasan teater bangsawan kanak-kanak ini.

Objektif teater kanak-kanak adalah untuk mendekatkan kanak-kanak kepada  bangsawan supaya dapat mewarisi nilai-nilai murni untuk diterapkan dalam kehidupan harian mereka selain melahirkan kumpulan kanak-kanak yang berbakat besar dalam bidang teater dan persembahan seni sastera. Melalui teater, kanak-kanak dapat memupuk semangat bekerja secara berkumpulan, mendisiplinkan diri dan seterusnya mampu membina keyakinan diri. Penglibatan ini juga memupuk kesedaran dan apresiasi dalam kalangan masyarakat umum dan penggiat teater di Malaysia terhadap seni teater bangsawan kanak-kanak. Hasil garapan itu dapat melahirkan pengarah, pelakon dan tenaga produksi teater kanak-kanak tempatan yang profesional.

laba

Adik Muhammad Danial Ayob sebagai Malim Indera

Pementasan teater kanak-kanak “Laba Sang Bijaksana” ini mengisahkan seorang putera bernama Malim Indera yang merupakan anak Raja Negeri Beringin Sari. Baginda gemar memberikan teka-teki kepada anak-anak pembesar istana. Sesiapa yang tidak dapat menjawab teka-teki tersebut, akan disuruh memakai tengkolok panjang.

laba 4

Antara adegan yang mencuit hati penonton

Kebijaksanaan Putera Malim Indera telah membangkitkan perasaan iri hati dalam kalangan anak pembesar yang lain seperti Bayan, iaitu anak Bendahara Negeri Beringin Sari. Beliau telah berjumpa nujum dan diberitahu bahawa Putera Malim Indera bakal menjadi seorang yang masyhur apabila dewasa nanti kerana kebijaksanaannya itu. Nujum juga memberitahu, apabila baginda menjadi raja nanti, pembesar yang akan dipilih dalam kalangan orang yang bijaksana juga. Bayan membuat rancangan jahat bersama-sama kawan-kawannya untuk membuang Malim Indera ke hutan larangan.

laba 2

Adik Wan Hasbur Rahman Wan Yusuf sebagai Bayan

Teater kanak-kanak ini merupakan satu cabang teater yang penting sebagai wahana untuk meningkatkan penghayatan dan kecintaan terhadap sastera seawal usia kanak-kanak lagi. Antara matlamatnya adalah mendedahkan kaedah pengajaran dan pembelajaran kepada kanak-kanak dalam aspek berkomunikasi menggunakan laras bahasa mengikut konteks dan situasi yang sesuai di samping menerapkan nilai-nilai murni dalam diri kanak-kanak. Menurut Noor Hashimi, pementasan ini menjadikan kanak-kanak lebih matang dalam pergaulan, tindakan dan pemikiran.

Semoga DBP akan terus mementaskan teater kanak-kanak dan seterusnya menggilap bakat kanak-kanak dalam bidang teater dan seni persembahan.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1047669
    Visit Today : 1285
    This Month : 30268
    Total Visit : 1047669
    Hits Today : 4176
    Total Hits : 4298978
    Who's Online : 10
  • Kategori