Oleh  NURUL AINA BINTI BORHAN

MENGAMBIL peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) meneruskan inisiatif untuk menggalakkan penulis muda menghasilkan karya kreatif yang bermutu tinggi. Bertitik tolak daripada usaha ini, DBP menganjurkan Hadiah Sastera Penulis Muda 2013 untuk memberi penghargaan kepada penulis muda yang menghasilkan karya kreatif genre puisi dan cerpen dalam majalah Dewan Siswa dan Tunas Cipta.

Barisan pemenang Hadiah Sastera Penulis Muda 2013 bergambar bersama-sama Datuk Dr. Awang Sariyan, Ketua Pengarah DBP (no. 3 dari kiri), Datuk Mary Yap Kain Ching Timbalan Menteri Pendidikan I (no. 4 dari kiri) dan Dato’ Goh Hin San, Presiden Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia (no. 3 dari kanan).

Hadiah Sastera Penulis Muda 2013 diilhamkan daripada Hadiah Sastera Siswa dan Hadiah Sastera Tunas Cipta yang pernah dianjurkan oleh DBP. Penganjuran hadiah ini adalah untuk menggalakkan persaingan yang sihat dalam kalangan penulis muda untuk menghasilkan karya kreatif yang bermutu tinggi.

Mengungguli Hadiah Sastera Penulis Muda 2013 kategori puisi remaja dengan puisinya “Putera Puteri di Taman Zaman” dan “Teratak Merdeka” terbitan majalah Dewan Siswa Mei dan Julai 2013, Nursuhada binti Haji Sayuti, memenangi Hadiah Sastera Penulis Muda 2013 kategori cerpen remaja dengan cerpennya “Hylocereus@undatus.com.my” yang diterbitkan dalam majalah Tunas Cipta Januari 2013.

Pemenang hadiah kategori puisi dan cerpen remaja, Nursuhada binti Haji Sayuti menerima hadiah daripada Datuk Mary Yap Kain Ching

Turut memenangi kategori puisi remaja, Muhammad Faiz bin Abdul Razak dengan puisinya “Mendaki Puncak” terbitan majalah Tunas Cipta Februari 2013, Siti Fatimah binti Mohd Said dengan puisinya “Di Manakah Aku” terbitan majalah Tunas Cipta Februari 2013 dan Wan Muhammad Fauzan bin Wan Zain dengan puisinya “Sayap Impian” terbitan majalah Tunas Cipta November 2013. Pemenang masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM300.00, sijil penghargaan dan hadiah iringan. Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh YB Datuk Mary Yap Kain Ching, Timbalan Menteri Pendidikan I sempena Festival Bahasa dan Sastera 2014 di Auditorium DBP.

Turut memenangi hadiah kategori puisi dan cerpen remaja, Wan Muhammad Fauzan bin Wan Zain menerima hadiah daripada Datuk Mary Yap Kain Ching

Selain Nursuhada, kategori cerpen remaja turut dimenangi oleh Mohamad Shafiq bin Abdul Razak Rajan dengan cerpennya “Warisan Qalbi di Padang Bola”, Mai Izyani binti Haji Abd. Rani dengan cerpennya “Santun Sepasang Busana”, Wan Muhammad Fauzan bin Wan Zain dengan cerpennya “Taman Naluri” dan Rafiqah binti Dahali dengan cerpennya “Tuanku”. Semua cerpen tersebut diterbitkan dalam majalah Tunas Cipta. Pemenang membawa pulang hadiah wang tunai RM500.00, sijil penghargaan dan hadiah iringan.

Pemenang kategori cerpen remaja, Mai Izyani binti Haji Abd. Rani.

Penganjuran Hadiah Sastera Penulis Muda ini bukan sahaja memberi penghargaan kepada penulis muda, tetapi juga dapat melihat keberkesanan dan impak program-program pembinaan bakat yang dilaksanakan oleh DBP khususnya Minggu Penulis Remaja dalam usahanya mengasah bakat muda dalam bidang penulisan. Bakat-bakat muda ini diharap menjadi pelapis yang setanding dengan penulis yang sedia ada yang menghasilkan karya yang bukan sahaja diiktiraf mutunya bahkan turut dihayati oleh generasi seterusnya.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1049082
    Visit Today : 1400
    This Month : 31681
    Total Visit : 1049082
    Hits Today : 5207
    Total Hits : 4304253
    Who's Online : 18
  • Kategori