Oleh NORZUZILAWATI SULAIMAN

ANUGERAH S.E.A. Write 2013 menyambut ulang tahun ke-35 penganjurannya dan sambutannya berlangsung dengan meriah bermula pada 9 Oktober hingga 14 Oktober 2013, di Kota Bangkok. Majlis ulang tahun yang ke-35 ini juga lebih manis dinikmati apabila Kota Bangkok dinobatkan sebagai “Ibu Kota Buku Dunia” oleh UNESCO. Anugerah S.E.A. Write ini merupakan satu bentuk penghargaan yang diwujudkan oleh Kerajaan Thailand kepada tokoh penulis dari negara rantau Asia Tenggara iaitu Malaysia, Brunei Darussalam, Singapura, Indonesia, Laos, Cambodia, Filipina, Myanmar, Vietnam dan Thailand.

Barisan penerima Anugerah SEA Write 2013.

Barisan penerima Anugerah SEA Write 2013.

Anugerah S.E.A. Write tahun 2013 mencatat sejarah apabila berjaya menobatkan 10 orang pemenang dari semua negara Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) untuk kali pertama dalam sejarah sepanjang 11 tahun penganjurannya. Anugerah pengiktirafan pada tahun ini diberikan kepada Haji Masri Haji Idris (Brunei Darussalam), Linda Christanty (Indonesia), Soukhee Norasilp (Laos), Malim Ghozali PK (Malaysia), Maung Sein Win (Myanmar), Rebecca T. Anonuevo (Filipina), Yeng Pway Ngon (Singapura), Angkarn Chanthatip (Thailand), Thai Ba Loi (Vietnam) dan penerima termuda Sok Chanpal (Cambodia). Anugerah S.E.A. Write pada tahun ini mengiktiraf Mohamed Ghozali Abdul Rashid atau Malim Ghozali PK sebagai penerimanya dari negara kita.

Malim Ghozali Pk berangkat ke Bangkok pada 9 Oktober hingga 14 Oktober 2013 untuk menghadiri minggu penganugerahan tersebut. Beliau ditemani oleh isteri dan anak-anaknya ke Bangkok dengan menggunakan penerbangan Kelas Perniagaan Thai Airways International dan menginap di Hotel Mandarin Oriental, Bangkok sepanjang minggu anugerah ini berlangsung, yang merupakan sebahagian daripada hadiah yang diterimanya.

Malim membaca sajak di Muzium_Istana Suan Pakkad.

Malim membaca sajak di Muzium_Istana Suan Pakkad.

Anugerah S.E.A. Write mendapat sokongan yang kuat daripada penajanya seperti Mandarin Oriental, Bangkok, Bangkok Bank Public Co., Ltd., Thai Airways International Public Co. Ltd., Bangkok dan The Tourism Authority of Thailand selain keluarga diraja Thailand yang menjadi penyampai anugerah pada setiap tahun. Sekretariat Anugerah S.E.A. Write di Thailand dianggotai oleh Presiden PEN Club of Thailand, Persatuan Penulis Thailand, wakil kedutaan negara ASEAN, penaja dan dipengerusikan oleh Encik Sukhubhand Paribatra, Gabenor Bangkok, Thailand.

Pada tahun ini, pelbagai aktiviti diatur sepanjang minggu Anugerah S.E.A. Write. Pada hari pertama, semua penerima dibawa melawat bangunan lama Hotel Mandarin Oriental yang terletak di tepi Sungai Chao Phraya. Bangunan bersejarah yang menempatkan memorial penulis besar dunia yang dijaga rapi dan menjadi salah satu tarikan pengunjung terutama yang menginap di hotel tersebut. Pada dinding bangunan tersergam nama-nama penerima Anugerah S.E.A. Write sejak tahun 1979 termasuk penerima pada tahun ini.

Malim menerima anugerah daripada Gabenor Bangkok Bank.

Malim menerima anugerah daripada Gabenor Bangkok Bank.

Kesinambungan pengiktirafan ini diteruskan kepada penulis muda apabila pada tahun ini Anugerah Penulis Muda Anugerah S.E.A. Write dilancarkan. Anugerah ini akan diuruskan oleh Bangkok Metropolitan Administration dan Sekretariat Anugerah S.E.A. Write Thailand. Kriteria pemilihan akan dimaklumkan kepada semua negara ASEAN bermula pada tahun hadapan dan sememangnya anugerah ini akan menjadi pendorong dan semangat kepada penulis muda ASEAN untuk menghasilkan karya yang bermutu.

Pada hari kedua, penerima diundang ke jamuan makan tengah hari di Ibu Pejabat Bangkok Bank selaku penaja Anugerah S.E.A. Write. Penerima diberikan taklimat sejarah dan perkhidmatan yang disediakan oleh Bangkok Bank sebelum meneruskan ‘sesi panas dan agak ditakuti’ oleh penerima, iaitu sesi bersama penulis yang dihadiri oleh wakil-wakil media, pelajar universiti dan penulis Thailand.

Acara Baca Puisi di Istana Suan Pakkad yang menjadi acara tahunan diteruskan pada sebelah malamnya. Acara ini turut dihadiri oleh penerima Anugerah S.E.A. Write (Thailand) yang lalu seperti Nawarat Pongpaibon dan Rawat Panpipat. Penerima membaca puisi atau fragmen daripada karya masing-masing dengan menggunakan bahasa ibunda. Tidak ketinggalan juga Malim Ghozali PK yang turut membaca puisi dari Kumpulan Puisinya Hujan di Limun Pagi. Sekali lagi bahasa Melayu bergema indah di bumi Thailand disaksikan oleh pelbagai lapisan masyarakat yang hadir.

Kota lama Thailand, Ayudhya menanti rombongan penerima Anugerah S.E.A. Write pada hari ketiga. Terletak kira-kira satu jam perjalanan dari Kota Bangkok, Ayudhya merupakan tempat tinggalan sejarah yang menempatkan istana lama, “stupa” (bangunan daripada batu yang berbentuk loceng) dan deretan gerai yang menjual pelbagai makanan eksotik. Di Ayudhya juga terletak satu perkampungan yang menempatkan sebuah sekolah, Sudinsaharat School yang hampir 70

Malim bersama ahli keluarga pada malam penyampaian anugerah

Malim bersama ahli keluarga pada malam penyampaian anugerah.

peratus penduduknya beragama Islam. Sebuah perpustakaan yang diberi nama S.E.A. Write Award Library dibina di sekolah berkenaan. Perpustakaan ini akan mengumpulkan buku penerima Anugerah S.E.A. Write bagi merakyatkan karya sastera dalam kalangan masyarakat. Usaha ini dilihat berupaya memberikan ruang dan peluang kepada pelajar sekolah membaca karya sastera yang terbaik untuk dihayati dan dikaji.

Tarikh 14 Oktober 2013 menjadi hari kemuncak minggu Anugerah S.E.A. Write 2013. Bertempat di Dewan Utama, Hotel Mandarin Oriental, Bangkok, seramai 10 orang penerima dari setiap negara ASEAN dianugerahkan S.E.A. Write oleh Yang Amat Mulia Puteri Maha Chari Sirindhorn. Pada tahun ini juga sempena menyambut ulang tahun ke-35 Anugerah S.E.A. Write, sebuah antologi, iaitu Beyond Borders diterbitkan yang memuatkan karya penerima Anugerah S.E.A. Write yang lalu termasuklah karya Sasterawan Negara Dato’ Baha Zain, Dr. Zurinah Hassan dan Dr. Siti Zainon Ismail.

Dengan persiapan ASEAN untuk menubuhkan Integrasi Komuniti ASEAN menjelang tahun 2015, Anugerah S.E.A. Write dapat menjadi landasan untuk mengenali sosiobudaya, nilai dan membentuk persefahaman antara negara ASEAN melalui karya sastera. Penulisan yang mampu menyebarkan bahasa dan kedaulatan serta melalui bahasa dan sastera dapat menyatukan seluruh masyarakat di Asia Tenggara. Kuasa tulisan tiada tandingan walaupun berlainan bahasa.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1049063
    Visit Today : 1381
    This Month : 31662
    Total Visit : 1049063
    Hits Today : 4968
    Total Hits : 4304014
    Who's Online : 10
  • Kategori