Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin sedang menyampaikan ucapan.

BULAN Bahasa Kebangsaan (BBK) merupakan suatu program yang memfokuskan kempen mencintai bahasa Melayu yang dipelopori penganjurannya oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). BBK merupakan program massa DBP untuk mendidik masyarakat berbilang bangsa khususnya di Malaysia agar dapat menyemarakkan dan seterusnya memartabatkan bahasa kebangsaan negara tersebut dalam pelbagai aspek dan bidang melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan.

Matlamat  penganjuran program ini adalah:

– Untuk memantapkan, memperkukuh dan mempamerkan jati diri dan citra bangsa Malaysia.

– Menguatkan rasa megah terhadap bahasa kebangsaan.

– Mengeratkan dan memperkukuh perpaduan bangsa melalui bahasa kebangsaan.

– Menyemarakkan peranan bahasa kebangsaan sebagai tonggak pembinaan negara bangsa.

YAB Tuan Azlan bin Man, Menteri Besar Perlis

Majlis pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Kebangsaan 2013 telah diadakan di Dewan 2020, Kangar, Perlis pada 8 Oktober 2013. Majlis telah disempurnakan oleh YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa pendirian dan dasar kerajaan tentang bahasa kebangsaan jelas dan tegas kerana kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara tidak boleh dipersoalkan lagi apatah lagi untuk diganggu gugat oleh mana-mana pihak.

“Sepatutnya kini kita sudah jauh bergerak ke hadapan dan bukannya mengambil langkah mundur dengan mengorbankan segala usaha murni kita dalam memartabatkan bahasa kebangsaan,” tegasnya.

YBhg. Datuk Dr. Awang Sariyan.

Katanya lagi, peratusan pengajaran dalam bahasa Melayu bagi kursus kritikal di institusi pengajian tinggi (IPT) perlu dipertingkatkan untuk memastikan statusnya dapat dilonjakkan ke satu tahap lebih wajar.

Kata Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin, hal ini bukan bermaksud menidakkan penggunaan bahasa Inggeris kerana banyak kursus kritikal seperti kejuruteraan, undang-undang dan perubatan sudah pun menggunakan bahasa berkenaan.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah YAB Tuan Azlan bin Man, Menteri Besar Perlis, Datuk Dr. Awang Sariyan, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka dan jemputan dari sekitar negeri Perlis.

Pada penghujung majlis, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin melawat gerai pameran Bulan Bahasa Kebangsaan dan seterusnya melepaskan peserta konvoi Kembara Bahasa 2013.

Sepanjang bulan berkenaan, pelbagai aktiviti berkaitan kebahasaan dan persuratan Melayu diadakan di seluruh negara yang melibatkan sektor seperti pendidikan, perundang-undangan, perniagaan, dan perbankan.

Pelancaran BBK 2013 oleh tetamu kehormat majlis.

Pihak kerajaan pula memberikan kepercayaan kepada enam sektor utama kementerian dan jabatan untuk melaksanakan pelbagai kegiataan kebahasaan dan persuratan di peringkat kementerian dan jabatan masing-masing. Kementerian dan jabatan tersebut ialah:

– Kementerian Pendidikan Malaysia

– Kementerian Komunikasi dan Multimedia

– Kementerian Perdagangan Dalam Negeri,

– Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

– Kementerian Kewangan.

– Jabatan Perkhidmatan Awam.

Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin melepaskan konvoi Kembara Bahasa

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1049370
    Visit Today : 215
    This Month : 31969
    Total Visit : 1049370
    Hits Today : 1290
    Total Hits : 4306051
    Who's Online : 24
  • Kategori