MEDIA merupakan medium yang sangat berpengaruh dalam menguasai minda masyarakat. Apa-apa yang disiarkan mudah melekat ke  dalam minda khalayak dan mempengaruhi tindakan, terutamanya kalangan generasi  muda.

Contohnya apabila karyawan filem dan drama galak memfilemkan kisah ‘mat rempit’, kegiatan tersebut  semakin berleluasa. Apabila karyawan berlumba-lumba menerbitkan filen gengster, aktiviti tersebut turut berleluasa hingga membimbangkan masyarakat. Karyawan filem menafikan perkaitan filem/drama dengan kerosakan masyarakat, tetapi kata orang, matlamat menghalalkan cara, asalkan kantung penerbit penuh.

Apabila stesen televisyen galak menerbitkan rancangan realiti pencarian penghibur, pelbagai generasi – dari peringkat sekolah rendah hingga yang lanjut usia –  ghairah menyimpan cita-cita untuk mendakap gelaran penyanyi/pelakon kerana media menggambarkan kerjaya berkenaan menjanjikan kemewahan dan keseronokan.

Keghairahan yang disebut di atas tidak akan bergelora tanpa sokongan dan dukungan media. Media terlalu hampir dengan kehidupan kita dan sentiasa ‘memujuk’ kita untuk menyukai apa-apa yang disiarkan. Hal ini penting bagi stesen televisyen kerana matlamat akhirnya ialah rating sesuatu rancangan. Rating akan menentukan kemasukan iklan yang merupakan ‘periuk nasi’ stesen televisyen.

Media  bukan setakat menguasai minda dan pelakuan orang malah membentuk persepsi masyarakat terhadap seseorang atau sesuatu perkara. Jika media  mencemuh sesetengah pihak sepanjang masa, khalayak boleh terpengaruh untuk membenci pihak berkenaan.

Jika media  memperlekeh bahasa Melayu, maka masyarakat akan turut memberikan persepsi negatif terhadap bahasa berkenaan. Penggunaan bahasa rojak dalam drama dan filem Melayu misalnya, sehingga kini masih berleluasa walaupun banyak pihak yang menegur kerana media memberikan ruang seluas-luasnya.

Kecenderungan terbaharu media adalah menggunakan ungkapan bahasa Inggeris sebagai tajuk drama dan filem. Banyak filem yang menggunakan ungkapan bahasa Inggeris seperti “KL Gangster”, “Gerak Khas the Movie”, “I’m Not Single”, dan beberapa lagi.

Yang terbaharu sebuah stesen televisyen menyiarkan drama yang bertajuk “Love You, Mr. Arrogant”. Drama rantaian tersebut diadaptasikan daripada novel popular menggunakan judul yang sama karya pengarang wanita. Ceritanya tidak ada kena-mengena dengan negara Barat atau pelakon Barat sebaliknya cerita tipikal orang Melayu berlatarkan Malaysia dan dilakonkan oleh orang Melayu.

Kita tidak pasti alasan stesen televisyen gemar menggunakan ungkapan bahasa Inggeris sebagai judul drama. Yang pasti tindakan sedemikian tidak menjamin peningkatan mutu drama berkenaan kerana yang dipaparkan ialah kitar semula kisah lama.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kerap menegur kesalahan dan pengabaian bahasa kebangsaan oleh stesen televisyen dan media lain. Selain itu, DBP juga kerap mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan stesen penyiaran dan mengadakan bengkel bahasa Melayu untuk karyawan media dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu. Namun usaha berkenaan umpama mencurahkan air di daun keladi.

Usaha memartabatkan bahasa Melayu bukan isu remeh yang perlu dibebankan di bahu DBP semata-mata. Semua pihak, termasuk media perlu bersama-sama menggalas tugas penting ini demi melihat bahasa kebangsaan bernafas di bumi sendiri.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1054902
    Visit Today : 518
    This Month : 3155
    Total Visit : 1054902
    Hits Today : 1601
    Total Hits : 4329672
    Who's Online : 5
  • Kategori