Oleh S M ZAKIR

 

Judul                              :     Masihkah Aku Bermimpi

Penulis                           :     Marsli N.O

Terbitan                        :      Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun Terbit               :      2012

Halaman                       :       204

Harga                             :      RM18.00

Masihkah Aku Bermimpi merupakan kumpulan cerpen Marsli N.O yang menghimpunkan 23 buah cerpen yang boleh dikatakan mempunyai bentuk yang sama dalam menghantar alirannya yang tersendiri. Cerpen-cerpen ini boleh dikatakan bergerak dalam aliran cerita yang menolak struktur cerpen konvensional. Watak yang dikemukakan lebih bertindak sebagai pemikiran, halusinasi, mahupun persona diri penulis; lebih daripada watak yang wujud dalam realiti ruang dan waktu.

Latarnya juga bergerak bebas tanpa terikat kepada ruang dan waktu. Latarnya muncul tanpa adanya nama tempat dan tanpa adanya tempoh waktu. Ia seperti dimunculkan dalam ruang vakum, dan adakalanya seperti hanya bermain dalam dunia pemikiran watak-wataknya.

Secara umumnya kesemua cerpen dalam kumpulan cerpen ini bergerak dalam arus bawah sedar; menyaksikan peristiwa dan sebab akibatnya muncul daripada pergolakan jiwa yang ditolak oleh keadaan sekelilingnya. Cerpen-cerpen ini melahirkan suara  peribadi yang dalam; memunculkan lambang-lambang yang mengkritik suasana di sekelilingnya. Sememangnya kumpulan cerpen ini menghantar kritikan sosial dan politik yang menghunjam melalui lambang-lambang yang kabur. Adakalanya terlihat kumpulan cerpen ini seperti sebuah himpunan mimpi atau kumpulan mimpi yang dihantar kepada pembaca.

Bermula dengan cerpen “Masihkah Aku Bermimpi” yang mengisahkan ‘aku’ sering diganggu mimpi ngeri hingga ‘aku’ terganggu tidurnya. Pada paginya ‘aku’ bersiap seperti biasa untuk bekerja. Selepas mandi dan menyiapkan diri, ‘aku’ bergegas memasuki ruang kerja.

Demi hidup serta perutnya, ‘aku’ perlu segera memasuki ruang itu. Setelah berada di ruang itu sebelum jam sekian dan nantinya akan berangkat pulang selepas jam sekian, sesegera mungkin ‘aku’ sunglap dirinya menjadi skru yang menggerakkan serta melancarkan perjalanan sebuah mesin yang tersergam di sebuah ruang bernama kehidupan.

Demikianlah rutin hidup yang ‘aku’ lalui setiap hari. Sungguh dan semata-mata demi hidup dan perutnya. Di ruang ini ‘aku’ menjalani upacara rutin bertahun-tahun dan menemui wajah demi wajah, tubuh demi tubuh yang menjalani rutin yang sama.

Marsli memperlihatkan manusia kehilangan dirinya sebagai manusia oleh rutin pekerjaan untuk perut sehingga menjadikan manusia  seperti skru yang melancarkan perjalanan sebuah mesin. Malah manusia juga terlempar dalam ruang yang menjadikan mereka sebagai benda atau mesin oleh rutin yang memenuhi kehidupan duniawi.

Mimpi yang datang seperti mengejutkan kebisuan ‘aku’ yang mempunyai mulut tetapi hanya tahu mengangguk. Menyedarkan ‘aku’ dengan pertanyaan, “Masihkan aku bermimpi?”.

Cerpen seterusnya bergerak dalam aliran yang sama, memberikan cerita yang tidak bergerak sebagai sebuah cerita dalam erti kata sebenarnya; sebaliknya menghantar lambang  yang menyelimuti kritikan keras terhadap masyarakat, sistem dan penguasa yang menyeleweng. Cerpen “Tunggul” mengkritik sikap manusia yang hidup seperti tunggul.

Cerpen di atas tidak melambangkan tunggul sebagai manusia yang menurut membuta tuli tanpa berfikir, sebaliknya memberikan lambang kepada manusia yang menyelewengkan kuasa, sombong dengan harta, dan mengingkari amanah. Hal ini disebutkan oleh tunggul kepada Dia dalam cerpen ini, iaitu mereka disumpah menjadi tunggul kerana keingkaran dan penyelewengan yang menyebabkan bangsa porak-peranda.

Cerpen  ditutup dengan Dia tersedar daripada lamunan apabila dikejutkan oleh pemilik warung. Dia menyedari tentang perlunya dia berubah sikap agar tidak lagi datang lewat ke tempat kerja dan paling penting menyempurnakan amanah rakyat walaupun Dia hanya kerani di pejabat kerajaan.

Cerpen “Gangguan” mengisahkan Dia yang diganggu suara aneh, kemudian dihujani pelbagai kegawatan persoalan yang melingkungi kehidupannya sebagai tokoh politik yang berkuasa. Cerpen ini berakhir dengan Dia terbang ke udara menjadi semakin kecil dan hilang bersatu dengan udara; meninggalkan segala mahkota dan gelar yang dipikulnya selama ini.

Cerpen “Diri” mempertemukan Dia dengan Nina dalam persoalan Dia untuk menjadi dirinya sendiri tanpa perlu malu dan takut dengan kekurangan diri. Dia seorang biasa yang dipertemukan dengan Nina, wanita berpendidikan dan berkedudukan tinggi sekali gus meletakkan Dia dalam keadaan rendah diri. Oleh sebab Dia tidak dapat hidup menjadi dirinya sendiri, maka Dia dibaham oleh Nina yang menjadi singa. Cerpen ini memberikan penegasan yang cukup mendalam betapa pentingnya manusia menjadi dirinya sendiri.

Kegagalan manusia menjadi dirinya sendiri akan menyebabkan mereka tewas kepada keperibadian yang lebih tinggi dan kuat daripada mereka. Kritikan terhadap manusia berkuasa yang menyelewengkan amanah serta kuasa muncul lagi dalam cerpen “Busung”. Sang Tokoh dihinggapi penyakit busung yang tidak dapat diubati sehinggalah diubati oleh lelaki tua berketayap putih dengan mengusap perut busungnya. Busung di perut Sang Tokoh hilang dengan muntahan yang tidak henti-henti. Namun yang keluar itu hanyalah gumpalan bulu semata-mata.

Perasaan berdosa sang tokoh muncul juga dalam cerpen “Karma” dengan persoalan yang berkisar kepada pergolakan jiwa sang tokoh. Akhirnya sang tokoh menjadi kecil, hanyut melayang-layang lalu hilang akibat hangus terbakar.

Cerpen “Luka” mengulangi kritikan terhadap manusia berkuasa yang menyelewengkan kuasanya dengan cerita Sang Penguasa yang bertindak menutup sebarang pandangan orang lain melainkan menerima hanya kebenaran daripadanya. Akhirnya luka masyarakat akibat penyelewengan Sang Penguasa menjadikan mereka semua berwajah ’haiwan’. Cerpen “Tanpa” mengkritik gelar dan mahkota yang dimiliki seseorang dengan mengkhianati orang lain tidak akan kekal; ia akan hilang jua malah pergi tanpa diingati oleh sesiapa.

“Tiba-tiba Hitam” muncul sebagai cerpen yang menarik tentang keadaan tiba-tiba menjadi hitam dalam erti kata jatuh dalam kehancuran oleh amalan rasuah yang bermaharajalela dalam masyarakat dilakukan oleh manusia bergelar, berpengaruh dan berkuasa. Harta lelaki separuh baya yang berkuasa dan berpengaruh diperolehi melalui jalan rasuah menjadi hitam tidak berguna lagi, melambangkan harta yang diperolehi dengan jalan haram tidak bernilai dan tidak diberkati Tuhan dalam erti kata yang sebenar.

Cerpen “Niat” mempersoalkan betapa hati manusia kini sudah sunglap menjadi naluri haiwan pembunuh yang sentiasa haus akan darah. Demi untuk penodaan baru, siapa yang merasakan hebat dan berkuasa pada bila-bila waktu boleh mengganyang tanah dan negara damai milik orang lain.

Marsli N.O menghadirkan cerpen-cerpen yang cukup sinis dalam mengkritik apa-apa yang berlaku di sekitarnya. Dalam cerpen “Penjilat”, manusia yang suka mengampu untuk pangkat, gelar dan harta dilambangkan bertukar menjadi anjing. Cerpen “Sahabat” memperlihatkan bagaimana manusia yang mengkhianati sahabat dengan berbohong di hadapan dan bersikap mengacum melemparkan tohmahan di belakang akhirnya ditumbuhi lidah bercabang seperti biawak. Cerpen “Si Laknat” mengkritik keras manusia berkuasa yang bertindak zalim. Tetapi mereka ini selalu terlepas oleh kelicikan mereka.

Cerpen “Dia” menimbulkan persoalan manusia yang suka mengekor dan meniru-niru orang lain tidak lebih hanya menjadi bayang-bayang semata-mata. Persoalan mengekor dan meniru-niru dilanjutkan lagi dalam cerpen “Ekor” tetapi dibawa kepada persoalan manusia yang berat memikul gelar di belakang mereka sebagai penentu kemuliaan mereka di mata masyarakat. Cerpen ini amat pendek tetapi mempunyai siratan makna yang cukup dalam.

Perasaan tidak senang hati terhadap tindakan manusia atau negara yang tidak menghormati pihak lain yang lebih lemah dimunculkan dalam cerpen “Entah”. Dalam tiga buah cerpen “Sandiwara” I, II dan III, manusia dilihat hidup sebagai badut di atas pentas sandiwara, apabila hidup bersekongkol dengan kebodohan atau kejahilan. Malah kedayusan mereka untuk memperjuangkan kebenaran menyebabkan mereka mengkhianati perjuangan moyang mereka yang bijak dan berani sepertimana yang dilambangkan kepada Hang Nadim.

Tiga buah cerpen lagi iaitu “Ngong”, “Gong! Gong!” dan “Anjing-anjing” mengkritik manusia berkuasa yang hidup penuh dengan kepalsuan dan pembohongan. Mereka berlaku zalim, menyelewengkan kuasa dan mengejar kemewahan dengan cara yang salah. Akibatnya golongan bawahan menjadi mangsa.

Turut dikritik ialah sikap segolongan pihak yang bukan sahaja bersekongkol malah menjadi ‘anjing-anjing’ untuk menyokong segala kebobrokan demi kepentingan diri. Cerpen terakhir, “Penyair dan Para Badut” mengkritik kehidupan dalam persekitaran dunia sastera sekali gus juga terkait dengan persekitaran masyarakat yang lebih makro.

Kesemua cerpen Marsli N.O dalam kumpulan cerpen Masihkah Aku Bermimpi ini melemparkan kritikan sosial yang keras dan pedas. Namun kritikan ini disampaikan dalam bentuk dan aliran yang bergerak di luar arus konvensional. Terdapat permainan cerita yang bergerak dalam arus bawah sedar, sehingga menghadirkan cerpen-cerpennya sebagai sekumpulan mimpi yang bertali arus membawa imej dan lambang yang mempunyai siratan makna yang dalam. Secara keseluruhan, kumpulan cerpen ini memberikan wajah sastera yang berbeza, sekaligus memperkayakan dunia kesusasteraan Melayu dengan pelbagai bentuk dan aliran.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1048944
    Visit Today : 1262
    This Month : 31543
    Total Visit : 1048944
    Hits Today : 4268
    Total Hits : 4303314
    Who's Online : 10
  • Kategori