BERMULA daripada Utusan Kanak-kanak dan Tunas, kemudian Hiboran dan Muatiara, S. Othman Kelantan mula menapak sebagai penulis. Beliau menulis puisi dan cerpen untuk majalah Hiboran dan Mutiara. Dengan majalah yang bercorak hiburan itulah, beliau dapat menguji bakat dan meyakinkan dirinya untuk terus berkarya dan bercita-cita menjadi penulis yang terkenal. Berkat ketabahan dan kegigihan serta minatnya yang besar terhadap dunia penulisan kreatif, S. Othman Kelantan hari ini terkenal sebagai seorang novelis dan cerpenis penting tanah air.
Penulis ini lahir pada 31 Disember 1938 di Tebing Tinggi, Kemumin, Kota Bharu, Kelantan Darul Naim. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Sabak hingga lulus darjah V pada tahun 1950. Selepas itu bersekolah pula, di Sekolah Melayu Rambutan Rendang hingga lulus darjah VI dan kemudiannya menjadi guru terlatih dengan kelulusan Sijil Perguruan TUOS pada tahun 1957.
Dengan belajar sendiri, S. Othman lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dalam tahun 1964 dan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan pada tahun 1971. Pada tahun 1979, S. Othman berjaya memperoleh ijazah Sarjana Muda Sastera sebagai mahasiswa luar kampus Universiti Sains Malaysia dan mendapat ijazah Sarjana Sastera dalam tahun 1982 dari universiti yang sama dan Ph. D. Dari Universiti Kebangsaan Malaysia (1995). Sebagai guru, S. Othman telah mengajar di beberapa buah sekolah (semuanya di Kelantan), bermula di Sekolah Rendah Gaal dan sekolah terakhirnya Sekolah Menengah Sultan Ismail, Kota Baharu. Setelah lulus ijazah Sarjana, S. Othman berkhidmat dengan Universiti Sains Malaysia selama dua tahun. Mulai tahun 1983, beliau berkhidmat di Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai pensyarah penyelidik di Institut Bahasa, Kesusasteraan, dan Kebudayaan Melayu (IBKKM) hingga beliau bersara.
S. Othman Kelantan menulis puisi, cerpen, novel, serta esei/kritikan. Dalam bidang cerpen, S. Othman Kelantan telah berhasil membentuk namanya sebagai cerpenis yang berjaya sesudah melahirkan sebuah cerpen bertajuk “Pahlawan Lembu” yang hingga kini cukup popular di kalangan peminat cerpen tanah air. Sehingga kini. S. Othman telah menghasilkan lebih 170 buah cerpen.
S. Othman telah beberapa kali memenangi hadiah RM100.00 untuk cerpen pilihan akhbar Berita Harian dan majalah Mastika. Panel Hadiah Karya Sastera juga telah memilih beberapa buah cerpen S. Othman sebagai antara cerpen yang terbaik untuk tahun 1972, 1973 dan 1975. Sebagai penulis cerpen, bakatnya memperlihatkan perkembangan yang meyakinkan. Tidak terduga oleh kita bahawa S. Othman Kelantan yang pada satu ketika dahulu amat gemar mengutarakan kisah-kisah detektif dan ala cowboy itu, akhirnya meneroka ke daerah persoalan yang lebih besar mencakupi soal-soal kemasyarakatan, politik, agama, dan falsafah.
Beliau mempunyai bahan-bahan bacaan yang banyak di rumahnya, dan hal ini menggambarkan bahawa S. Othman Kelantan adalah seorang penulis yang luas pembacaannya.
Sejauh ini tidak kurang daripada sepuluh buah novel dan lima buah antologi cerpen telah dihasilkannya. Beliau pernah memenangi hadiah sagu hati dalam Peraduan Mengarang Novel anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1962 dengan novelnya “Pelangi”. Kejayaan ini memberikan keyakinan kepadanya untuk menulis novel dan dengan itu terbitlah novel sulungnya pada tahun 1966 bertajuk Pengertian. Walau bagaimanapun, hanya sesudah beliau menghasilkan novel ketiganya berjudul Angin Timur Laut, baharulah kebolehannya dalam bidang ini mendapat perhatian masyarakat pembaca. Novel ini kemudiannya banyak diperkatakan dan dianggap sebagai hasil yang berjaya dalam kegiatannya menulis novel pada tahun 1960-an. Sesudah itu terbit pula novel-novelnya yang lain. Novel-novelnya ini membawakan persoalan politik di samping menggambarkan sikap dan pandangan hidup pengarangnya. Beberapa buah karyanya yang berbentuk cerpen dan novel telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, Perancis, Rusia, Jepun, dan Sinhale.
Selain menulis cerpen dan novel, S. Othman Kelantan juga menghasilkan esei dan kertas-kertas kerja untuk beberapa pertemuan penulis baik pada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Dalam beberapa tulisannya dalam akhbar dan majalah, S. Othman memberikan pendapatnya berhubung dengan soal kesusasteraan dan keagamaan secara yang meyakinkan. Koleksi sebahagian daripada esei kesusasteraannya terkumpul di dalam Novel: Tanggapan dan Kritikan. Sehingga kini, beliau telah menghasilkan sebanyak 326 esei/kritikan.
Di samping berkecimpung dalam dunia penulisan sastera, beliau juga ikut serta terlibat dalam kegiatan persatuan penulis. Beliau pernah menjadi Ketua Satu Persatuan Penulis Kelantan (PPK) (1973-1976) dan kemudiannya meletakkan jawatan itu kerana melanjutkan pelajaran ke Universiti Sains Malaysia. Dalam banyak kajian yang telah dilakukannya, beliau bukan sahaja meneroka pemikiran dan permasalahan dalam kesusasteraan Melayu dalam konteks pembangunan negara semasa, atau melihat kegiatan persuratan Melayu di pantai timur, malah juga menumpukan minatnya memperkenal dan menerbitkan semula karya-karya Melayu sebelum perang. Di samping itu, S. Othman turut juga memperlihatkan kemampuannya berbicara tentang sastera Islam, malah kepada soal-soal dan pergolakan politik semasa yang berlaku di tanah air.
Atas sumbangan beliau yang bererti dalam bidang kesusasteraan, S. Othman Kelantan telah terpilih untuk menerima Anugerah S.E.A. Write Awards di Bangkok dalam tahun 1990. Kini S. Othman Kelantan atau Syed Omar Syed Othman berkhidmat di jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, sebagai Karyawan Tamu setelah bersara dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.
Beliau juga telah dianugerahi Pingat Bakti (PB) oleh DYMM Sultan Kelantan (1973) dan Pingat Ahli Mangku Negara (AMN) oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong (1974)
KARYA
Novel | : | – Pengertian, Machang: Penerbitan Pustaka Murni, 1966, 140 hlm. Edisi baru dengan judul Norbani,1980;- Pertentangan, Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara, 1967, 187 hlm.;- Angin Timur Laut, Kuala Lumpur: Penerbitan Utusan Melayu (M) Bhd., 1969, 138 hlm.;
– Perjudian, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1973, 161 hlm.; – Juara, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1976, 159 hlm.; – Perwira, Pulau Pinang: Teks Publishing Sdn. Bhd., 1980, 219 hlm.; – Ruang Perjalanan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1989, 276 hlm.; – Wajah Seorang Wanita, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990, 353 hlm.; – Ustaz, Bangi: Citra Publishing, 1991, 252 hlm.; – Nagogho Astana, Taman Melawati: Pustaka Nusa, 1997, 279 hlm. |
Cerpen | : | -10 Cerpen Masyarakat III (antologi bersama), Kuala Lumpur: Penerbitan Utusan Melayu (M) Bhd., 1963, 138 hlm.;- Gelisah (antologi bersama), Kuala Lumpur: Penerbitan Utusan Melayu (M) Bhd., 1967, 165 hlm.; 13 – Cerpen, Kota Bharu: Syarikat Dian Sdn. Bhd., 1970, 120 hlm.; – Koleksi Cerpen-cerpen Malaysia (antologi bersama), Kuala Lumpur: Penerbitan Universiti Malaya, 1977, 446 hlm.;
– Surat, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1979, 142 hlm.; – Ibu, Kuala Lumpur: Heinemann Educational Books (Asia) Ltd., 1980, 158 hlm.; – Minden, Senjamu Adalah Perubahan (antologi bersama), Pulau Pinang: Teks Publishing Sdn. Bhd., 1981, 136 hlm.; – Menjunjung Titah Perintah (antologi bersama), Subang Jaya: Tra-Tra Publishing & Trading CO., 1984, 246 hlm.; – Menunggu Ratu Adil (antologi bersama), Kuala Lumpur: Penerbitan Adabi Sdn. Bhd., 1984, 218 hlm.; – Mimpi Paduka (antologi bersama), Kuala Lumpur: Tra-Tra Publishing & Trading Sdn. Bhd., 1984, 172 hlm.; – Perkahwinan Rama-rama, Kuala Lumpur: Teks Publishing Sdn. Bhd., 1984, 276 hlm.; – Angin Pulau (antologi bersama), Kuala Lumpur: Teks Publishing Sdn. Bhd., 1985, 433 hlm., – Dongeng Merdeka (antologi bersama), Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1985, 339 hlm.; – Alun Menggulung Perlahan (antologi bersama), Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1986, 286 hlm.; – Beberapa Pembetulan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990, 242 hlm. |
Kajian | : | – Filsafat Ala, Kota Baharu: Pustaka Aman Press, 1963, 168 hlm.;- Novel: Tanggapan dan Kritikan, Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 1986, 210 hlm.;- Teknik Mengkaji Novel (Dalaman dan Luaran), Kuala Lumpur: Karya Bistari Sdn. Bhd., 1986, 106 hlm.;
– Arah Pemikiran Sastera Malaysia, Bangi: Penerbitan Universiti Kebangsaan Malaysia, 1987, 207 hlm.; – Kecenderungan Baru dalam Novel Melayu: Satu Kajian Struktur, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1987, 239 hlm.; – Pemikiran Satira dalam Novel Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1997, 329 hlm. |
Esei/Kritikan | : | – Sastera dan Agama (antologi bersama), Dewan Bahasa dan Pustaka, 1984, 103 hlm.;- Kelantan dalam Perspektif Sosiobudaya: Satu Kumpulan Esei (antologi bersama), Kuala Lumpur: Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya, 1985, 348 hlm. |