USMAN AWANG sebagai seorang tokoh dalam kesusasteraan Melayu moden, khususnya sajak dan drama amat banyak diperkatakan. Kerana itu nama Usman Awang paling terkenal di kalangan pengkaji dan peminat sastera Melayu pada pelbagai peringkat dan golongan. Kejayaannya mempertahankan dirinya sebagai seorang penyair dan budayawan yang terus kreatif memberikan semacam keteguhan terhadap tradisi baharu sastera kita. Beliau seorang penyair yang tidak pernah pudar dan sentiasa dapat menyesuaikan dirinya dalam pelbagai zaman dan situasi.
Usman Awang dilahirkan pada 12 Julai 1929 di Kampung Tanjung Lembu, Kuala Sedili, Kota Tinggi, Johor Darul Takzim. Pendidikan yang diterimanya setakat sekolah Melayu sahaja. Situasi dan keluarganya yang miskin tidak membolehkan beliau untuk meneruskan pendidikannya. Beliau disekolahkan di Kuala Sedili (1936), Mersing (1937), dan Bandar Maharani Muar (1940) hingga lulus darjah VI.
Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1942, Usman Awang menjadi petani di Segamat. Tidak lama kemudian, beliau menjadi buruh paksa Jepun dan selama enam bulan di Singapura, beliau berjaya melepaskan diri dan pulang ke Segamat. Usman Awang pernah menjadi `budak pejabat’ di Pejabat Tali Air Segamat dalam zaman Jepun dan kemudiannya memasuki Pasukan Polis Jepun (Botai), tetapi selepas beberapa minggu menjalani latihan, Jepun menyerah kalah.
Usman Awang menjadi anggota polis bila Inggeris kembali memerintah Tanah Melayu pada tahun 1946. Beliau menjalani latihan di Johor Bahru sebelum menjalankan tugasnya di Melaka. Pada tahun 1951, beliau meletakkan jawatannya sebagai anggota polis dan berhijrah ke Singapura bersama-sama Jamil Sulung. Di Singapura, Usman diterima bekerja sebagai pembaca pruf dengan Melayu Raya selama enam bulan, kemudian menjadi pemberita sebelum menjadi sidang pengarang Mingguan Melayu.
Pada tahun 1952, Usman Awang ditawarkan bekerja dengan Utusan Melayu, mula-mula sebagai sidang pengarang akhbar Utusan Kanak-kanak, kemudian diangkat menjadi pengarang akhbar Utusan Zaman dan majalah Mastika. Selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, Utusan Melayu berpindah ke Kuala Lumpur, dan Usman Awang turut serta dengan memegang jawatan yang sama. Akibat peristiwa pemogokan Utusan Melayu dalam tahun 1961 Usman berhenti dari Utusan Melayu dan terpaksa menganggur buat beberapa waktu.
Pada tahun 1962, Usman diterima bekerja dengan Penerbitan Federal dan setahun kemudian berkhidmat pula dengan Dewan Bahasa dan Pustaka, mula-mula sebagai sidang pengarang Dewan Bahasa, dan kemudian pengarang Dewan Masyarakat, Dewan Sastera, dan Dewan Budaya. Jawatan beliau di Dewan Bahasa dan Pustaka ialah sebagai Pegawai Penyelidik Kanan, Bahagian Pembinaan, dan Pengembangan Sastera. Mulai Mei 1982, beliau menjadi Ketua Bahagian ini sehingga bersara pada bulan Julai 1985.
Usman Awang mula membentuk namanya dalam dunia kesusasteraan Melayu moden dengan menulis puisi. Puisi-puisinya sentiasa segar, kukuh serta akrab dengan akar budi Melayu dan perikemanusiaan. Beberapa buah puisinya menjadi bahan yang amat menarik bukan sahaja di kalangan masyarakat terbanyak yang cintakan puisinya, malah menjadi pilihan pelajar-pelajar sekolah dalam sebarang upacara mendeklamasi puisi. Antara puisinya yang cukup popular termasuklah “Bunga Popi”, “Gadis di Kuburan”, “Pak Utih”, “Ke Makam Bonda”, “Nasib Buruh”, dan “Salam Benua.”
Usman adalah antara penyair Melayu yang berhasil mengekalkan semangat dan harmoni pantun dalam puisi-puisinya walaupun dengan melonggarkan beberapa ikatan yang konvensional. Beliau menggunakan kata-kata biasa dalam penulisannya dan pintar menjalin kata-kata itu hingga menjadi begitu indah dan berkesan tanpa melemahkan makna yang hendak disampaikan. Inilah antara keistimewaan Usman Awang.
Ketokohan Usman Awang menonjol kerana perwatakan peribadinya yang lemah lembut dan mesra, dan simpatinya terhadap golongan bawahan yang miskin dan manusia yang malang sehingga kadang-kadang Usman ditafsirkan sebagai seorang seniman yang berjiwa rakyat dan berfahaman sosialis.
Usman Awang juga menulis cerpen tetapi bidang ini nampaknya sudah lama ditinggalkannya sejak akhir tahun 1960-an lagi. Cerpen yang banyak dihasilkan dalam tahun-tahun 1950-an dan 1960-an lebih banyak memperlihatkan sikap dan pegangannya yang lebih ketara terhadap konsep “Seni untuk Masyarakat” yang didukungnya sebagai anggota ASAS 50. Maka itu apa yang terlihat dalam cerpen-cerpennya hanyalah berupa rakaman pengalaman, pergaulan dan pemerhatian serta pemikiran untuk mendedahkan segala kejelikan dan keburukan serta kepincangan hidup dalam masyarakat Melayu khususnya. Dalam pada itu, beliau tidak juga terlepas daripada memperlihatkan pandangan seorang anak muda yang berjiwa romantis dan idealis. Degup Jantung adalah satu-satunya kumpulan cerpennya setakat ini.
Sejauh ini Usman Awang hanya berhasil menerbitkan sebuah novel sahaja, iaitu Tulang-tulang Berserakan. Novel ini pun tidak lebih daripada rakaman peristiwa peribadi beliau sewaktu bekerja sebagai anggota polis dan bidang novel nampaknya bukanlah bidang penulisan Usman Awang.
Selain puisi, satu lagi bidang kreatif yang mengharumkan nama Usman ialah drama. Bidang ini telah diterokanya sejak awal tahun 1960-an dengan menulis drama untuk radio dan pentas. Beberapa buah dramanya yang terkenal termasuklah “Serunai Malam”. “Malam Kemerdekaan”,”Tamu di Bukit Kenny”, “Matinya Seorang Pahlawan”, “Degup Jantungnya” dan sebuah dramanya yang banyak diperkatakan ialah drama “Muzika Uda dan Dara”. Drama ini telah dipentaskan oleh Gemaseni pada tahun 1972. Kisah “Uda dan Dara” ini sebenarnya merupakan idea awal daripada sebuah puisi Usman Awang yang dihasilkannya dalam tahun 1956 berjudul “Gadis di Kuburan”. Puisi tersebut diolah semula menjadi sebuah cerpen dengan judul “Uda dan Dara”. Pada tahun 1972, kisah yang sama disesuaikan pula untuk persembahan TV dan akhirnya menjadi sebuah drama pentas yang popular dan lagu-lagu dalam “Muzika Uda dan Dara” telah dirakamkan ke piring hitam oleh Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan.
Dalam kegiatan dan organisasi penulis tanah air, sumbangan dan penyertaan Usman Awang amat dirasakan. Beliau banyak terlibat secara aktif dalam banyak aktiviti penulis. Beliau bukan saja hidup sebagai pencipta karya yang asli dan halus, malah sebagai penggerak yang berani kepada ramai penulis muda. Sejak tahun 1950-an, beliau merupakan salah seorang pengasas Ikatan Persuratan Melayu Melaka (IPM), Setiausaha ASAS 50 di Singapura dan Ketua PENA yang pertama (1962 – 1965). Beliau juga adalah salah seorang yang mengambil daya inisiatif untuk mengadakan Hari Puisi, Cempaka Berbunga, Malam Gema Puisi, dan Genta Rasa di Panggung Anniversary, Manifestasi Dua Seni dan banyak lagi aktiviti seni lainnya. Antologi puisi “Keranda 152” dan “Teluk Gong” adalah hasil daya usaha Usman Awang bersama-sama penyair-penyair lain.
Sebagai penyair dan dramatis, Usman Awang pernah diundang melawat Amerika Syarikat, Indonesia, Filipina, dan Rusia. Beberapa buah karyanya telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, Cina, Jepun, Korea, Perancis, Thai, Czechoslovakia, Danish, Tamil, Itali, dan Rusia. Barangkali beliau adalah penyair Malaysia yang paling banyak puisinya diterjemahkan ke dalam bahasa asing dan dikenali di luar negaranya.
Usman Awang masih terus memainkan peranannya dalam kesusasteraan Melayu. Beliau masih menulis. Beliau telah dilantik sebagai salah seorang anggota Panel Hadiah Karya Sastera dan juga telah dianugerahkan gelaran “Pejuang Sastera” oleh Perdana Menteri pada 29 Mei 1976. Anugerah ini berupa surat penghargaan dan wang tunai RM10 000.00. Mulai tahun 1979, kerana ketokohan, pengalaman dan dedikasinya, beliau dilantik menjadi Setiausaha kepada Panel Anugerah Sastera, sebuah panel penilai anugerah kesusasteraan yang tinggi di tanah air.
Dalam tahun 1982, Usman Awang telah terpilih menerima S.E.A. Write Awards. Pada 11 Ogos 1983, Usman dianugerahkan pula Ijazah Doktor Kehormat (Persuratan) oleh Universiti Malaya. Usman Awang juga adalah penerima Anugerah Sastera Negara bagi tahun 1983. Akhbar Berita Harian telah menganugerahi Usman Awang Zamalah Sastera dalam tahun 1985, iaitu untuk kategori Penulis Terkenal (Veteran). Anugerah ini bertujuan mengadakan kemudahan berkarya dan memberikan sumbangan kepada perkembangan kesusasteraan tanah air. Untuk projek ini Usman sedang menyiapkan sebuah puisi epik yang bertemakan nasionalisme.
Bagi menghargai sumbangan beliau dalam bidang sastera, Usman Awang telah dianugerahi gelaran kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Perak oleh DYMM Sultan Azlan Shah yang membawa gelaran Dato’ pada tahun 1991. Kini, beliau adalah Pengerusi Persatuan Persahabatan Malaysia-China dan Penasihat Kebudayaan Maybank.
KARYA
Puisi | : | – Gelombang, Kuala Lumpur: Oxford University Press, 1961, 96 hlm. Diterbitkan semula oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, 1979;- Puisi Baru Melayu 1942 – 1960 (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1961, 266 hlm.;
– Duri dan Api, Melaka: Penerbitan Abbas Bandung, 1966, 95 hlm.; – Himpunan Sajak (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1969, 139 hlm.; – Sajak-sajak Melayu Baru/Moden Malay Verse 1946-1961 (dwibahasa) (antologi bersama), Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1969 (cetakan keempat), 135 hlm., (cetakan pertama 1963); – Suara Tujuh (antologi bersama), Kuala Lumpur: Penerbitan Setia Murni, 1969, 74 hlm.; Kuala Lumpur (antologi bersama), Kuala Lumpur: GAPENA, 1975, 57 hlm.; – Titian Zaman (Peny. Bersama Ismail Ahmad), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka 1979, 168 hlm.; – Puisi-puisi Nusantara (antologi bersama), Kuala Lumpur Dewan Bahasa dan Pustaka, 1979, 168 hlm.; – Tinta Pena (antologi bersama), Kuala Lumpur: PENA, 1981, 631 hlm.; – Salam Benua: Greetings to the Continent (dwibahasa), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1982, 95 hlm.; – Lagu Kehidupan (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1983, 302 hlm.; – Bintang Mergerdip (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1984, 75 hlm.; – 100 Sajak Malaysia (antologi bersama), Kuala Lumpur: Tra-Tra Publishing & Trading Sdn. Bhd., 1984, 141 hlm.; – Bunga Gerimis (antologi bersama), Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1986, 132 hlm.; – Puisirama Merdeka (antologi bersama), Kuala Lumpur: PENA, 1986, 141 hlm.; – Kumpulan Puisi Malaysia/Malaysian Poetry 1975-1985 (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988, 167 hlm.; – Puisi Baharu Melayu 1961-1986 (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990, 941 hlm.; – Malaysia dalam Puisi (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991, 316 hlm.; – Puisi-puisi Pilihan Usman Awang, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991, 192 hlm.; – Cempaka (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka 1992, 167 hlm.; Suara Rasa (Voice From Within) (antologi bersama), Kuala Lumpur: Maybank, 1993, 228 hlm. |
Cerpen | : | – Cerita-cerita Pendek DBP (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1958, 180 hlm.;- Mekar dan Segar (antologi bersama), Kuala Lumpur: Oxford University Press. 1960 (cetakan kedua), 160 hlm., (cetakan pertama 1959);
– Dua Zaman (antologi bersama), Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara, 1963, 191 hlm.; – Degup Jantung, Kuala Lumpur: Pustaka Melayu Baru, 1963, 158 hlm.; – Menunggu Ratu Adil (antologi bersama), Kuala Lumpur: Penerbitan Adabi Sdn. Bhd., 1984, 218 hlm.; – Dongeng Merdeka (antologi bersama), Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1985, 339 hlm. |
Novel | : | – Tulang-tulang Berserakan, Kuala Lumpur: Pustaka Melayu Baru, 1966, 224 hlm. (Edisi Khas Sasterawan Negara), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992, 221 hlm. |
Drama | : | – Dari Bintang ke Bintang, Kuala Lumpur: Penerbitan Angkatan Baru, 1965, 163 hlm.- Serunai Malam, Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara, 1966, 106 hlm.; Tamu di Bukit Kenny, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1968, 133 hlm.;
– Di Bawah Matahari, Kluang: Pustaka Pendidikan Sdn. Bhd., 1969, 76 hlm.; – Tirai Zaman, Kluang: Pustaka Pendidikan Sdn. Bhd., 1969, 58 hlm.; – Kaki Langit, Kuala Lumpur: Asiah Enterprise, 1971, 112 hlm.; – Muzika Uda dan Dara, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1976, 64 hlm.; – Tinta Pena (antologi bersama), Kuala Lumpur: PENA, 1981, 631 hlm.; – Di Atas Pentas (antologi bersama), Kuala Lumpur: Tra-Tra Publishing & Trading Sdn. Bhd., 1984. 209 hlm.; – Hujan Malam (antologi bersama), Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1986, 109 hlm.; – Drama-drama Pilihan Usman Awang (Edisi Khas Sasterawan Negara), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988, 331 hlm. |
Esei/Kritikan | : | – Tema dan Tugas Sastera Melayu Moden (bersama A. Samad Said), Kuala Lumpur: Penerbitan Federal Berhad, 1963, 199 hlm.;- Asas Kebudayaan Kebangsaan (antologi bersama), Kuala Lumpur: Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, 1973, 548 hlm.;
– Panduan Menulis Cerpen (bersama Abu Bakar Hamid), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1973, 49 hlm.; – Esei Sastera ASAS 50 (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1981, 216 hlm.; – Usman Awang: Sikap dan Pemikiran (disusun oleh Dinsman dan Sutung Umar Rs.), Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1983, 225 hlm. |
Wawancara | : | – Wawancara Sastera (disusun oleh A.M. Thani), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1984, 367 hlm. |