Oleh STEPHEN CHAN

POLEMIK pencemaran bahasa kebangsaan negara bukanlah suatu perkara yang baharu. Masalah tersebut sudah acapkali dibangkitkan oleh pihak yang prihatin dengan bahasa kebangsaan menggunakan pelbagai pendekatan tanpa mencapai banyak kejayaan. Pendekatan yang berbentuk kempen kesedaran seperti ceramah dan teguran membina  bukan sahaja tidak diendahkan bahkan disifatkan sebagai sesuatu yang membuang masa.

Kesalahan demi kesalahan terus berlaku. Lebih mendukacitakan, kesalahan itu terus berlaku biarpun mereka menyedari bahawa apa-apa yang dituturkan jelas menyalahi hukum tatabahasa.

Demikianlah nasib Bahasa Melayu, bahasa kebangsaan kita di negara sendiri. Jika rakyat Rusia dan Perancis begitu berbangga dengan bahasa kebangsaan mereka, di Malaysia pula, keadaan yang sebaliknya berlaku. Bukan sahaja ada kalangan rakyat Malaysia yang bukan sahaja tidak mengerti bertutur dalam bahasa Melayu secara fasih bahkan mengambil pendekatan yang selamba. Sikap sambil lewa itu jelas terserlah dalam ketegasan mereka dalam mempertahankan kedaulatan bahasa Melayu.

Dalam siri drama atau filem-filem tempatan umpamanya, cukup terserlah  penggunaan bahasa rojak dalam dialog barisan pelakon. Perkataan saya diganti dengan “I”, manakala perkataan anda dirujuk sebagai “you”. Persoalannya, apa perlunya terma bahasa Inggeris diangkat dan dijulang?

Dalam kalangan pengamal media pula, kecenderungan wartawan untuk melanggar hukum tatabahasa dalam penulisan dan sebutan mereka merupakan sesuatu yang lumrah dan makin menjadi-jadi belakangan ini. Pelbagai alasan dikemukakan antaranya mengatakan hal itu house-style syarikat dan sudah digunakan sejak sekian lama.

Justeru, timbul  persoalan, apakah house-style lebih penting daripada hukum tatabahasa?

Polemik bahasa yang berlaku di negara kita nampaknya tidak pernah berkesudahan. Tetapi  yang cukup mendukacitakan, isu berkenaan bagaikan tenggelam timbul dan dilihat sebagai sesuatu yang bermusim sahaja.

Hanya apabila timbulnya aduan dan laporan dalam media massa, mata dan telinga pihak tertentu yang selama ini membisu, terbuka luas. Jika tidak, hal tersebut akan mati begitu sahaja selepas beberapa ketika. Masing-masing cuba mencari jalan penyelesaian terhadap isu yang dibangkitkan.

Soal siapakah yang bersalah tidak harus dibangkitkan. Hakikatnya, pendekatan tersebut tidak mungkin membantu menyelesaikan masalah yang berbangkit tetapi hanya merumitkan keadaan.

Apa-apa pun, hal ini tidak harus dijadikan penghalang untuk menyedarkan masyarakat Malaysia betapa pentingnya mempertahankan kedaulatan bahasa Melayu. Tidak kiralah mereka itu  orang Melayu, Cina, India mahupun Serani – semuanya  rakyat Malaysia dan masing-masing mempunyai tanggungjawab untuk memelihara bahasa kebangsaan walau di mana-mana  mereka berada. Bahasa jiwa bangsa. Tanpa bahasa, siapalah kita!

Maka tidak adil meletakkan tanggungjawab memperkasakan bahasa kebangsaan pada bahu pihak berwajib semata-mata. Sebaliknya, inisiatif itu harus juga datang daripada rakyat sendiri. Sebagai permulaan, mereka boleh bertutur dalam bahasa Melayu menggunakan terma-terma yang betul.

Kedua, mereka juga harus peka dengan lenggok dan hukum tatabahasa yang sebenarnya. Jangan disebabkan sesuatu perkataan yang disebut cukup popular dan sering digunakan, hal itu terus dianggap betul tanpa mengetahui asal usulnya. Tindakan sedemikian sesungguhnya tidak bertanggungjawab.

Dalam konteks ini, rakyat Malaysia seharusnya bertanyakan kepada diri sendiri: Apakah sumbangan anda selama ini terhadap usaha pemerkasaan Bahasa Melayu? Adakah anda telah memainkan peranan itu? Ataupun anda hanya seorang penonton yang pasif? Sanggupkah anda melihat bahasa kebangsaan anda terus diperlekehkan?

Jika tidak, tunggu apa lagi? Inilah masa terbaik untuk melakukan sesuatu. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1048389
    Visit Today : 707
    This Month : 30988
    Total Visit : 1048389
    Hits Today : 1785
    Total Hits : 4300831
    Who's Online : 15
  • Kategori