Oleh BAHA ZAIN

APABILA datang September nanti, tepatnya 16 September tahun ini, genap setengah abad Malaysia tertubuh dan merdeka. Namun Dewan Bahasa dan Pustaka telah ditubuhkan tujuh tahun lebih awal seolah-olah sebagai suatu persediaan untuk mengisi kemerdekaan Malaysia dari Perlis hingga Sabah.

Di mana kita sekarang? Bukan antara kita dengan manusia di negara negara lain, tetapi antara sesama kita di dalam sebuah negara. Mungkin akan lebih membingungkan kalau bertanya, ke mana kita akan menghala.

Ini negara membangun yang mengizinkan jutaan pasang tangan pekerja asing untuk menurunkan buah kelapa sawit di ladang; membina kompleks bangunan tinggi di bandar; mengangkut sampah busuk yang terhimpun di tepi jalan; malah untuk memelihara bayi atau mendidik anak di rumah. Keadaan sosial ini bukan aneh atau pelik kerana Malaysia kini menjadi negara membangun yang pesat pertumbuhan ekonominya dengan berbilion ringgit wang mengalir dan bertukar tangan setiap hari sehingga menyebabkan banyak bandar menjadi sarang pelacuran kerana ramainya wanita pendatang haram senang mengumpul wang dengan memperdagangkan kejelitaan tubuhnya. Kemakmuran dan kedurjanaan celah-mencelah dan semakin bercampur baur.

Apakah ini wajah yang adil untuk bangsa kita?

Dalam kalangan penduduk pula berlaku keinginan terhadap kemewahan yang melambak di hadapan mata; keperluan wang yang lebih banyak untuk berbelanja; dan persaingan untuk naik pangkat, jawatan dan berada di tempat-tempat yang lebih berpengaruh dan menguntungkan. Persaingan sosial semakin sengit dan tajam.

Pemimpin organisasi bercakap lebih kerap tentang kreativiti, inovasi, prestasi dan KPI. Macam-macam ungkapan baharu muncul: SMART, Strategi Laut Biru, Law of Attraction, Lab Profile, Neuro Semantik, dan tumbuh pula sedozen istilah lain dalam lapangan penyiaran dan komunikasi (seperti jalur lebar, 4G, wifi, e-mel, Facebook, Twitter, blog) .

Pada awal Jun, dilancarkan pula sebuah stesen TV kabel digital untuk menambah jumlah penerbit dan saluran penyiaran yang sedia ada: Astro, TM Unifi, Media Prima, Bernama, Al-Hijrah dan RTM. Seluruh rakyat di daratan dan lautan hidup di bawah jaringan lalu lintas maklumat, hiburan dan pengiklanan dari dalam dan luar negara. Tiada sesiapa lagi yang bebas daripada jaringan pengaruhnya.

Sekalian nama dan istilah yang menjelma sejak beberapa tahun lampau ialah tanda-tanda yang mencerminkan perkembangan baharu yang semakin menjadi sebahagian daripada cara dan gaya hidup baharu Malaysia. Masyarakat tidak boleh lagi berjauhan daripada bunyi, suara atau gambaran daripada alat-alat canggih teknologi maklumat seperti telefon bimbit, komputer dan TV. Orang akan berpatah balik kalau telefon bimbitnya tertinggal di rumah walaupun sudah beberapa kilometer jarak perjalanannya. Dia sudah sangat bergantung pada alat teknologi baharu untuk menjalani kehidupan yang normal.

Kemajuan teknologi bukan suatu dosa tetapi suatu kemestian untuk meningkatkan produktiviti dan pendapatan negara apabila bersaing dengan negara-negara luar. Kita telah membuat pilihan yang betul.
Jaringan kehidupan sosial, cara serta gaya berhubungan, sikap terhadap ruang, waktu dan masyarakat sudah berubah, tidak seperti dahulu lagi, walaupun tidak disedari oleh semua orang.

Kemajuan pendidikan dan ilmu mempertajam fikiran kritis penduduk; dan generasi muda tertarik dengan fikiran-fikiran baharu yang menyanggah konvensi dan tradisi. Pengaruh unsur-unsur dari luar dunia antarabangsa tidak dapat dibendung lagi. Perebutan kekuasaan politik, baik di dalam parti atau antara parti, menimbulkan pergolakan yang lebih hebat sehingga menjurus kepada permusuhan, fitnah-memfitnah, ugutan dan ancaman. Ini satu faktor yang semakin menggoncang keharmonian rakyat dan membelahbahagikan generasi muda. Pertentangan dan permusuhan politik ini tidak semua berlaku dalam keadaan yang sihat, bermaruah dan bermoral kerana kematangan fahaman tentang dialog dan demokrasi belum cukup masak. Kalau nampak masak pun masaknya seperti mempelam diperam dengan karbaid: masak di luar, mentah di dalam.

Dalam kata lain, kebebasan demokrasi semakin melonggarkan ikatan kolektif akibat ungkapan dan tindakan yang liar dan keluar daripada sempadan akhlak dan undang-undang.

Kesemua faktor di atas menyumbang kepada semakin banyak perlakuan biadab serta jenayah, pelanggaran tatasusila, tohmah dan fitnah. Tanda-tanda kejadian yang lebih serius dan berbahaya semakin meluas apabila keputusan Pilihan Raya ke-13 menampakkan berlakunya polarisasi kaum dan selanjutnya syak wasangka ras; berlaku serangan terhadap institusi raja dan ciri-ciri penting Melayu-Islam melalui saluran teknologi baharu, khususnya media sosial. Kemudian diikuti dengan pelbagai pernyataan protes yang pro dan kontra kerajaan yang nampaknya mudah sekali diadakan.

Faktor-faktor teknologi canggih, kemajuan ekonomi, pembangunan kota, kedatangan imigran atau rakyat asing, dan arus masuk unsur-unsur budaya global mengubah dengan pantas senario sosial dan politik. Nilai-nilai moral dan etika mengalami anjakan; norma-norma biasa kehidupan menjadi kabur dan mudah dilanggar. Kesedaran terhadap tradisi, jiran dan anggota masyarakat lain menipis sedangkan rakyat kita terdiri daripada pelbagai suku kaum: peribumi (Melayu, Iban, Kadazan, Suluk, Murut, Bajau, Bugis, Jawa, Brunei, Melanau, Minangkabau, Banjar dan lain-lain) dan bukan peribumi (Sikh, India, China, Pakistan dan lain-lain). Ini negara pelbagai adat resam, bahasa, budaya dan agama.

Sikap individualistik, kebendaan dan tidak hormat akan keharmonian dan keselamatan orang lain bukan lagi perkara aneh dalam senario kehidupan Malaysia. Bolehkah tangan undang-undang dan pasukan keselamatan melindungi ketenteraman dan keselamatan rakyat andainya kegoncangan sosial ini semakin kuat? Tidak ada bangsa yang boleh bertahan utuh dan unggul sekadar bergantung pada undang-undang yang formal dan pasukan berpakaian seragam. Walaupun kita boleh mengawal keselamatan yang biasa tetapi susah untuk menjadi bangsa yang besar apabila terlalu sibuk mengawal hakisan terhadap tradisi serta ketenteraman dari waktu ke waktu.

Antara yang menjadi mangsa akibat kemajuan ekonomi, teknologi dan perubahan pola-pola kehidupan, terutama di kawasan bandar ialah menipisnya malah luputnya rasa hormat terhadap bahasa kebangsaan. Sektor swasta, industri dan perdagangan menjadi tempat yang paling banyak melanggar dan meminggirkan penggunaan bahasa kebangsaan. Sungguh amat menyedihkan apabila ketua eksekutif badan berkaitan kerajaan bertutur dalam bahasa Inggeris dalam persidangan akhbar dan acara-acara lain di khalayak awam. Ini adalah gejala yang menyedihkan dalam krisis budaya bangsa.

II

Kita tahu dari mana kita datang, tetapi di mana kita sekarang; dan ke mana kita akan pergi? Ke mana arah kebudayaan bangsa? Ramai sibuk membahaskan keadilan sosial, keadilan ekonomi, dan lebih-lebih lagi tentang keadilan politik. Ini negara demokrasi, negara bebas dan syurga bagi aktivis sosial dan politik. Nampaknya belum ada yang kepalanya ditembak apabila bebas bercakap dan memprotes. Tidak mustahil suatu hari nanti bukan sahaja beberapa kepala ditembak, tetapi kelompok masyarakat atau suku kaum akan berbunuhan sesama sendiri kerana terlalu bebas bercakap atau merendahkan maruah tanpa menghormati perasaan hati orang lain. Akhir-akhir ini sudah ternampak banyak tanda nyata tentang ramainya orang yang pandai, cerdik, profesional dan berilmu, tetapi kasar dan tidak berhati nurani. Adakah kerana begitu tidak adil dan busuknya kerajaan sehingga terlanjur tingkah laku yang demikian? Adakah kebudayaan atau cara dan gaya hidup abad ke-21 mengizinkan tingkah laku demikian sebagai halal dalam apa-apa pernyataan kritikan dan protes sosial atau politik?

Citra bangsa yang tergambar di atas bukan bermakna seluruh kehidupan bangsa kita sedang kacau, gelap suram dan tanpa harapan lagi. Hal ini hanya memberikan khabar tentang adanya gejala buruk yang sedang berkembang bersama-sama dengan kemajuan ekonomi dan teknologi; selain memberikan peringatan bahawa kalau kita boleh menjadi proaktif membangunkan ekonomi dan teknologi, di manakah akal sihat kita untuk membangunkan kebudayaan yang membina, bersopan dan adil; bukan sekadar canggih dengan bangunan, makan pakai dan teknologi.
Ekonomi dan teknologi itu untuk apa?

III

Kita perlu berbincang tentang kebudayaan lagi, yakni apa maknanya bagi kita semua. Dalam Ucapan Penerimaan sewaktu malam Anugerah Sastera Negara Ke-12 di hadapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, YAB Timbalan Perdana Menteri dan para hadirin yang berpendidikan, saya memusatkan pembicaraan terhadap mauduk Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

Saya juga menyebut dalam beberapa kata tentang amanah daripada perintis pejuang kemerdekaan terhadap tugas dan tanggungjawab Dewan Bahasa dan Pustaka. Ini sebuah institusi penting yang diwujudkankan dengan visi dan misi memerdekakan sekali gus membangunkan fikiran dan semangat rakyat melalui bahasa Melayu.

Kedua-dua isu kebudayaan dan Dewan Bahasa dan Pustaka ini sengaja saya serlahkan kerana kedua-duanya antara faktor penentu bagi membina tamadun Malaysia dengan jati dirinya sendiri. Malangnya soal kebudayaan mahupun Dewan Bahasa dan Pustaka seolah-olah berada di pinggir fikiran, dan hanya terengsot-engsot mengekor di belakang pergerakan kemodenan zamannya.

Kita sibuk bercakap tentang keutamaan pembangunan kebendaan dan prasarana, tetapi sering terlupa meletakkan kepentingan pembangunan budaya, nilai-nilai murni, dan watak manusianya bagi mengimbangi sebarang kesan sampingan daripada gerak kemodenan serta asakan globalisasi.
Pembicaraan ini mengundang dialog dan perbahasan sihat selanjutnya.

(Dato’ Baha Zain ialah Sasterawan Negara Ke-12)

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1047503
    Visit Today : 1119
    This Month : 30102
    Total Visit : 1047503
    Hits Today : 3276
    Total Hits : 4298078
    Who's Online : 10
  • Kategori