Oleh DR. SARJIT S. GILL

Bahasa Melayu (BM) sebagai bahasa rasmi negara Malaysia termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan. Walau bagaimanapun kedudukan BM di Malaysia sebagai bahasa rasmi semakin tercabar akibaf pengaruh globalisasi yang lazimnya memberikan keutamaan kepada bahasa Inggeris (BI). Pelbagai persoalan timbul mengenai kedudukan dan masa hadapan BM di Malaysia. Sejauh manakah masyarakat Malaysia yang mempunyai pelbagai latar belakang etnik memandang tinggi akan kedudukan BM? Adakah sesetengah ahli politik sekadar “menanam tebu di bibir” dalam usaha memartabatkan kedaulatan BM? Apakah kedudukan BM 50 tahun akan datang?

Kita akan meraikan ulang tahun ke-56 Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos ini. Sejak merdeka hingga kini kedudukan BM mempunyai pasang dan surutnya. Usaha memartabatkan dan mendaulatkan kedudukan BM tidak sepatutnya terfokus kepada orang Melayu sahaja malah meliputi semua masyarakat Malaysia. Sejak merdeka lagi, masyarakat Tanah Melayu (kini Malaysia) sudah berjanji untuk menjadikan BM sebagai bahasa rasmi negara, maka penggunaannya perlu dimantapkan lagi supaya  terus-menerus menjadi bahasa pembangunan di Malaysia. Inilah harapan pejuang bahasa sejak sekian lama.

BM ialah bahasa ilmu dan mempunyai nilai serta jati diri tersendiri. BM mudah dipelajari dan berfungsi sebagai alat perpaduan demi memelihara hubungan etnik yang harmonis. Bagaimana cara untuk membina semangat perpaduan di dalam sesebuah masyarakat? Salah satu alat terpenting untuk mewujudkan perpaduan dalam masyarakat adalah melalui penggunaan bahasa, misalnya dalam konteks Malaysia penggunaan BM dalam kehidupan seharian.

Bahasa Melayu merupakan alat perhubungan yang penting dalam menyatupadukan masyarakat Malaysia. Ternyata golongan imigran juga mempelajari BM untuk berinteraksi dengan rakyat Malaysia. Malah pekerja imigran dari Burma, Kemboja dan Bangladesh amat cepat menguasai BM walaupun bukan dari sudut nahu dan tatabahasanya namun mereka berupaya belajar dan berinteraksi dalam BM dengan cepat.

Ramai rakyat Malaysia yang masih memandang sepi akan kemampuan BM sebagai bahasa antarabangsa. Kebanyakan institusi pengajian tinggi di Malaysia memberikan penekanan kepada BI sehingga menjejaskan kedudukan BM sebagai bahasa ilmu. Ternyata ketiadaan usaha yang serius oleh pihak tertentu untuk mendaulatkan BM di universiti telah menjejaskan minat mahasiswa untuk berinteraksi dalam BM sebaliknya lebih gemar menggunakan bahasa rojak, iaitu campuran BM dan BI. Malah skrip peperiksaan sudah juga dibanjiri dengan bahasa rojak! Perkara ini turut membantutkan lagi usaha Dewan Bahasa dan Pustaka untuk memartabatkan Perkara 152.

Pada hemat saya, kedudukan BM akan terus dilabel sebagai bahasa “kelas kedua” sekiranya tiada kesungguhan dan keazaman politik yang tinggi. Berdasarkan pengamatan dan interaksi saya bersama-sama komuniti dan mahasiswa, saya mendapati ramai yang menaruh harapan agar kerajaan serius dalam usaha memartabatkan BM sebagai bahasa rasmi. Perlu ditegaskan bahawa BM mempunyai potensi yang luas untuk berkembang.

Generasi muda juga mempunyai peranan untuk menyemarakkan BM sebagai bahasa utama negara. Bahasa Melayu berpotensi membina semangat perpaduan yang penting dalam memajukan ”Bangsa Malaysia”. Golongan belia perlu lebih bersedia untuk menerima dan menghormati BM sebagai bahasa ilmu dan perlu diteruskan walaupun selepas mereka menamatkan pengajian.

Secara keseluruhannya, usaha memartabatkan BM perlu diteruskan dan disokong oleh semua lapisan masyarakat terutamanya pihak swasta. Malah pihak kerajaan seharusnya lebih peka dan fokus dalam mendaulatkan BM seperti yang termaktub dalam Perkara 152. Kedudukan BM akan lebih terbela sekiranya semua pihak bersatu padu untuk mengangkat taraf BM sebagai bahasa ilmu dan bahasa pembangunan demi pembinaan tamadun Malaysia.

Perpaduan merupakan  teras sosial yang penting untuk dilalui bersama oleh setiap individu. Saya optimis BM boleh terus maju sekiranya semua pihak memainkan peranan dan bukannya memperlekehkan keupayaan BM sebagai bahasa rasmi dan bahasa pembangunan di Malaysia.

(Prof Madya Dr. Sarjit S. Gill ialah Ketua Jabatan Sains Sosial dan Pembangunan, Universiti Putra Malaysia)

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1056516
    Visit Today : 823
    This Month : 4769
    Total Visit : 1056516
    Hits Today : 4814
    Total Hits : 4337751
    Who's Online : 6
  • Kategori