Oleh HASSAN ALIAS

Baha Zain 

TANGGAL 28 Mei 2013 merupakan hari yang bersejarah kepada dunia kesusasteraan amnya dan Dato’ Baharuddin Zainal (Baha Zain) khususnya. Pada malam tersebut, Baha Zain telah dianugerahi gelaran Sasterawan Negara Ke-12 oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong  Almu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah. Majlis gilang-gemilang yang diadakan dari jam 8.30 malam hingga 10.30 malam di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur turut dihadiri oleh Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Mohd. Yassin dan isteri, dua orang Timbalan Menteri Pendidikan, pegawai tinggi kerajaan dan lebih 500 orang hadirin pelbagai latar belakang dan kedudukan.

Dalam perutusan buku cenderamata, Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak menekankan bahawa  kerajaan sentiasa memandang tinggi dan mengalu-alukan kehadiran golongan sasterawan yang sama-sama memberikan sumbangan dalam pembangunan negara. Kerajaan menyediakan pelbagai inisiatif, dana, program latihan dan galakan untuk sasterawan berkarya di samping memberikan pelbagai pengiktirafan seperti  Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Anugerah Sastera Negara dan sebagainya.

Dato’ Sri Mohd. Najib menganggap pemilihan Baha Zain sebagai Sasterawan Negara sebagai tepat kerana beliau mampu mengungkapkan persoalan dan tema sosial dalam karyanya. Sikapnya yang berterus terang melalui bait-bait puisi dan makalah menunjukkan suatu keberanian yang diperlukan pada zaman ini.  Beliau berharap Baha Zain akan terus mengasah pena untuk menghasilkan karya yang tajam dan bertanggungjawab, yang dapat mengharmonikan negara.

Ketibaan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong  Almu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah di dalam Dewan Utama Taming Sari disambut dengan persembahan lagu “Negaraku” oleh pasukan pancaragam Polis Diraja Malaysia.

Sebahagian hadirin yang memenuhi Dewan Utama Taming Sari , Hotel Royale Chulan.

Tidak kurang menarik pada malam itu ialah persembahan fragmen karya Baha Zain yang dibimbing oleh A. Wahab Hamzah berupa lakon tari oleh kumpulan daripada ASWARA yang dilatari deklamasi puisi oleh tokoh penyair, iaitu Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, Dr. Siti Zainon Ismail dan Dr. Shamsuddin Othman. Persembahan diiringi oleh pemuzik Universiti Teknologi Mara di bawah pimpinan Hafiz Askiak.

Dalam ucapannya, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin berkata, pengiktirafan ini membuktikan bahawa kerajaan amat prihatin dan menghargai sumbangan dan peranan penulis yang  meneruskan tradisi penulisan budaya tinggi berwahana bahasa Melayu. Para penulis juga memainkan peranan dalam melonjakkan perkembangan bahasa dan sastera kebangsaan yang menjadi teras kebudayaan kebangsaan.

Katanya lagi, bidang penulisan, tidak kira kategori dan genre, sememangnya memberikan impak yang besar terhadap pembinaan negara bangsa, dan sekali gus, bibit-bibit sastera penting dikembangkan kerana melaluinya dapat dibina keperibadian dan kehalusan budi masyarakat. Dalam konteks karya sastera, sesungguhnya sastera yang berbudaya tinggi memainkan peranan dalam pembinaan insan yang kamil; yang menyuburkan dan memperhalus sifat-sifat kemanusiaan.

Persembahan fragmen karya Baha Zain.

Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin juga menyokong usaha memperkenalkan sasterawan ke peringkat antarabangsa. Katanya, “Sejajar dengan hasrat mengantarabangsakan karya sasterawan tanah air, pihak kerajaan melalui Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) akan mengadakan program memperkenalkan sasterawan dan karyanya dalam kalangan negara anggota MASTERA  dengan penganjuran forum, ziarah sastera, seminar dan lain-lain. Sekiranya program ini berjaya, berkemungkinan pihak kerajaan melalui DBP akan menganjurkannya ke Eropah, misalnya  sempena Pesta Buku Dunia di Frankfurt, Jerman,  atau Pesta Buku Kanak- kanak di Bologna, Itali.”

Ketika menyampaikan Teks Pidato Umum, Ketua Panel Anugerah Sastera Negara Ke-12, Profesor Dato’ Dr. Haji Md. Salleh Yaapar menyifatkan Baha Zain sebagai sasterawan yang cemerlang dalam seni kepengarangannya, iaitu puisi, esei dan kritikan. Pencapaian ini dilestarikan mulai era kemunculannya dan terus unggul sehingga kini.

“Baha Zain  memiliki daya renungan dan taakulan yang tajam dalam menanggapi zamannya sehingga mampu merentasi lingkungan sosiobudaya masa silam, kini dan masa hadapan bangsa dan negaranya. Beliau ternyata memiliki keupayaan yang tinggi dalam mewacanakan pemikirannya dengan memanfaatkan seni bahasa yang puitis.  Meskipun tajam penelitiannya, tetapi bahasanya tetap lunak dan puitis,” katanya.

Baha Zain menerima anugerah daripada Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.

Dalam ucapan penerimaan, Baha Zain membangkitkan keperluan sesebuah negara kepada budaya dan sastera. Katanya, “Apakah gunanya kemerdekaan politik dan kemajuan ekonomi tanpa kesegaran kebudayaan dan agama bagi memenuhi keperluan mental, rohani, emosi, jiwa, dan martabat insan. Bahasa dan kebudayaanlah yang membezakan manusia dengan haiwan; bahasa dan kebudayaanlah juga yang membezakan sesuatu bangsa dengan bangsa lain. Demikianlah antara rahsia kebijaksanaan Tuhan yang Maha Berkuasa.”

Pemilihan Baha Zain sebagai Sasterawan Negara Ke-12 amat tepat dengan suasana hari ini, iaitu keterbukaan terhadap pandangan semua pihak. Beliau kritis dan tidak berselindung dalam meluahkan pandangan kerana hasrat beliau sangat jelas iaitu ingin mewujudkan masyarakat yang harmoni yang mendapat keadilan dalam erti kata yang sebenar.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1054378
    Visit Today : 1323
    This Month : 2631
    Total Visit : 1054378
    Hits Today : 4528
    Total Hits : 4328046
    Who's Online : 9
  • Kategori