Oleh ROHANA ABDUL RAHMAN

BAHAGIAN Peristilahan dan Leksikologi, Jabatan  Pembinaan  Bahasa dan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sedang menangani projek Kajian Leksikal Bahasa Daerah. Projek ini merupakan usaha mengumpul dan mendokumentasi data leksikal bahasa daerah yang akan  dimanfaatkan dalam proses kerja pembentukan istilah, penyusunan kamus dan penyelidikan bahasa.

Bahasa daerah, loghat atau dialek dedifinisikan sebagai bahasa yang digunakan dalam percakapan di sesuatu daerah atau bahagian negeri yang mempunyai ‘pelat’ sebutan yang khas bagi daerah itu, serta berbeza pula daripada sebutan umum yang digunakan oleh penduduk di negara ini. Antara ciri  yang menjadikan satu bahasa daerah berbeza daripada bahasa lain termasuklah kepelatan bunyi sebutan, lenggok dialek sewaktu menuturkannya perbezaan dari segi perkataan dan ungkapan tertentu.

Sesi wawancara bersama informan di samping tunjuk cara kraftangan rotan

Sehubungan dengan hal di atas, Bahagian Peristilahan dan Leksikologi telah menganjurkan Kursus Amali Leksikal Bahasa Daerah, di Kampung Ayer Limau, Masjid Tanah, Melaka. Kursus ini disertai oleh semua pegawai dan penolong pegawai bahagian berkenaan. Tujuan kursus ini diadakan adalah untuk menggalakkan aktiviti penyelidikan dan perbincangan hasil penyelidikan secara ilmiah yang berkaitan dengan bahasa dan budaya masyarakat Minang yang tinggal di negeri Melaka. Selain itu, kursus ini dapat memahirkan pegawai DBP dalam kerja penyelidikan bahasa terutama dalam upaya membuat penelitian kerja lapangan dengan menggunakan kaedah kualitatif,  iaitu aktiviti yang bermula dengan menentukan lokasi kajian, informan, instrumen, teknik pengumpulan data, analisis data serta diakhiri dengan pemaparan data menerusi penerbitan.

Kursus sehari ini dibimbing oleh pakar bidang linguistik iaitu Dr. Rahim bin Aman dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau selaku penyelia memantau hasil penyelidikan bahasa yang dilaksanakan oleh pegawai DBP menerusi wawancara bersama informan yang membuat tunjuk cara masakan ‘jangek’, kuih ‘kering’ dan kuih ‘denderam’, iaitu makanan tradisi masyarakat Minang, serta pembuatan kraftangan  rotan.  Beliau turut menegaskan bahawa leksikal bahasa daerah mudah diperoleh menerusi penyelidikan terhadap bahasa dan budaya dalam aktiviti harian  masyarakat tersebut.

Hasil masakan tradisi Minang‘ jangek’

Buktinya, menerusi temuramah bersama-sama informan yang terdiri daripada warga emas masyarakat Minang, banyak leksikal bahasa daerah ditemukan dalam empat sesi tunjuk cara  yang  dirakamkan dan dicatatkan oleh penyelidik DBP. Antara contoh kata leksikal yang berjaya dikumpulkan ialah herot [beɲot], harum [haum], banyak [muaÆ], ambil [ʧɔkup], sehelai [sɔlaʝ] dan sebagainya. Penemuan leksikal ini menunjukkan bahawa  masyarakat Minang di Malaysia hari ini dilihat mampu mengekalkan jati diri mereka terhadap bahasa dan budaya walaupun tinggal dalam pelbagai kelompok masyarakat majmuk di negara ini.

Semoga program yang dianjurkan oleh Bahagian Peristilahan dan Leksikologi DBP  ini dapat diteruskan pada masa akan datang menerusi pengkajian bahasa masyarakat lain pula di Malaysia seperti Banjar, Jawa, Minang, Mandailing, Iban, Melanau dan Bidayuh. Usaha penelitian dan penyelidikan bahasa di lapangan mampu  menambah ilmu pengetahuan, kesedaran dan maklumat  perkembangan sesuatu bahasa daerah masyarakat tersebut daripada pupus ditelan zaman.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1053871
    Visit Today : 816
    This Month : 2124
    Total Visit : 1053871
    Hits Today : 2433
    Total Hits : 4325951
    Who's Online : 33
  • Kategori