Oleh HASSAN ALIAS

MAJLIS Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) ialah badan yang dibentuk untuk merancang dan memantau perkembangan bahasa Melayu di negara anggota, iaitu Malaysia, Brunei, Indonesia dan Singapura (negara pemerhati). Asalnya badan ini dinamai Majlis Bahasa Indonesia-Malaysia (MBIM), yang ditubuhkan pada 29 Disember 1972, setelah satu Pernyataan Bersama ditandatangani oleh Tun Hussein Onn, Menteri Pelajaran Malaysia, dan Mashuri Saleh  S.H., Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Republik Indonesia, pada 23 Mei 1972 di Jakarta. MBIM kemudian menjadi MABBIM apabila Brunei Darussalam menjadi anggota Majlis ini pada 4 November 1985.

Dato’ Saifuddin berucap ketika merasmikan Sidang MABBIM Ke-52.

Setiap tahun MABBIM akan mengadakan sidang yang diadakan secara bergilir-gilir dalam kalangan negara anggota. Tiga aktiviti utama yang diadakan sepanjang sidang ialah Sidang Pakar, Sidang Eksekutif dan Seminar Kebahasaan. Sidang Pakar mempertemukan pakar pelbagai bidang ilmu dalam kalangan negara anggota MABBIM. Sebanyak empat jawatankuasa kerja terlibat dalam sidang ini, iaitu Jawatankuasa Penyelidikan, Jawatankuasa Pemupukan, Jawatankuasa Penerbitan dan Jawatankuasa Peristilahan.

Sidang Eksekutif membahaskan usul dan cadangan sidang pakar, perkara dasar dalam MABBIM seperti hal-hal yang berkaitan dengan pedoman bahasa dan perancangan penyelidikan MABBIM. Sidang Eksekutif dihadiri oleh Ketua Perwakilan, Setiausaha dan wakil Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu Malaysia. Bagi pihak Indonesia, perutusannya terdiri daripada anggota Panitian Kerjasama Kebahasaan manakala pihak Brunei Darussalam diwakili oleh ahli Jawatankuas Tetap Bahasa Melayu Brunei Darussalam.

Seminar Kebahasaan mula dianjurkan pada tahun 1993, bersempena dengan Sidang Ke-32 MABBIM. Fungsi utamanya adalah bagi mengikusertakan khalayak yang lebih luas dalam kalangan negara anggota dengan kegiatan MABBIM supaya aktiviti ini lebih diketahui umum. Dalam seminar ini, kertas kerja yang dibentangkan meliputi pelbagai bidang ilmu yang diusahakan oleh penyelidik yang dipilih dari Malaysia, Indonesia dan Singapura. Satu tema akan dipilih bagi setiap seminar. Tema sidang pada tahun ini ialah “Mengembangkan Ilmu Watan Melalui Teknologi Maklumat, Informasi dan Komunikasi.

Dr. Saifuddin sedang melancarkan portal “Gerbang Kata” sambil disaksikan oleh Dr. Awang Sariyan (kiri) dan wakil delegasi

Perasmian Sidang Ke-52 MABBIM telah berlangsung pada 3 April 2013, di Dewan Seminar Datuk Hassan Ahmad, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur. Majlis ini dihadiri oleh sebanyak lebih 300 orang khalayak yang terdiri daripada delegasi keempat-empat buah negara, pembentang kertas kerja, wakil pertubuhan dan universiti, pengkaji bahasa dan peminat bahasa dan sastera Melayu. Tamu kehormat majlis ialah Dato’ Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi.

Dalam  ucapan alu-aluan, Dr. Awang Sariyan, Ketua Pengarah DBP berharap semua pihak memberikan perhatian serius tentang keberadaan bahasa Melayu dalam menghadapi tantangan baharu, terutamanya dalam ledakan teknologi maklumat dan komunikasi.

“Kita perlu menyedari ilmu yang terkandung dalam bahasa Melayu sebagai sumber tamadun tinggi,” katanya lagi.

Delegasi sedang berbincang dalam Sidang Pakar.

Ketua perwakilan ketiga-tiga buah negara turut berpeluang menyampaikan ucapan yang kebanyakannya menyatakan keazaman untuk memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi dalam upaya menyebarkan ilmu watan.

Dalam ucapan perasmian, Dato’ Saifuddin mengingatkan ahli bahasa akan realiti baharu. Katanya, generasi baharu perlu didekati menggunakan kaedah dan wahana yang mereka sukai, iaitu secara dalam talian.

“Jika kita menggunakan kaedah yang lama, sukar untuk generasi muda menghayati ilmu yang ingin disebarkan,” katanya lagi.

Dalam majlis tersebut,  Dato’ Saifuddin turut melancarkan portal “Gerbang Kata” iaitu laman web yang menjadi wadah untuk pengguna berinteraksi dengan DBP. Antara kemudahan yang disediakan dalam portal tersebut ialah pengguna dapat mencadangkan kata untuk dimasukkan dalam kamus yang diusahakan oleh DBP, pencarian makna perkataan, cadangan seloka, pantun dan peribahasa dan sebagainya. Portal ini boleh dilayari di alamat: http://ekamus.dbp.gov.my/.

Beberapa pembentang telah membantangkan kertas kerja dalam seminar selama dua hari tersebut. Mereka ialah Prof. Dato’ Dr. Aziz Deraman yang membentangkan kertas kerja utama yang bertajuk “Pembangunan Repositori Ilmu Watan: Isu dan Cabaran”. Pembentang lain ialah:

1. Prof Dr. Hashim Musa (“Pelestarian dan Penyebaran Ilmu Watan dalam Penyelidikan Hab Halal dari Perspektif Malaysia dan Global”)

2. Dr. Siti Norkhaibi Wahsaifelah (“Memperkasa Seni Tampak Dan Teknologi Melayu Brunei Melalui TMK”).

3. Dr. Jatna Supriatna (“Peran Kearifan Lokal Dan Ilmu-Ilmu Keperibumian Dalam Pelestarian Alam”).

4. Dr. Sugiyono (“Alat Musik Etnis Indonesia Dalam Perspektif Semiotika Dan Fisika”).

5. Prof. Datin Dr. Maryati binti Mohamed (Penyebaran Maklumat Tentang Warisan Bangsa”).

6. Awang Pudarno Binchin (“Memperkasa Ilmu Lokal Melalui Penggunaan ICT Bagi Meningkatkan Keberkesanan Pembelajaran Di Muzium Teknologi Melayu”).

7. Rusli  Abdul Ghani (“Wadah dan Wahana Ilmu Watan”).

8. Dr. Ganjar Harimansyah (“Modifikasi Dan Alih Wahanan Dalam Seni Pertunjukan: Strategi Penanaman Kecintaan Generasi Muda Terhadap Kesenian Tradisional”)

9.Prof. Dr. Shaharir  Mohd. Zain (“Pendidikan Sains Dalam Bahasa Melayu Meningkatkan Harkat Tamadun Malayonesia”).

10. Dayang Exzayrani  Awang Sulaiman (“Kajian Variasi istilah MABBIM”).

11. Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan (“Mengembangkan Ilmu Watan Melalui Teknologi Maklumat”).

Majlis penutupan seminar telah disempurnakan oleh Dr. Awang Sariyan pada petang 4 April 2013.

Delegasi dalam Sidang Eksekutif sedang merumuskan hasil sidang sebelumnya.

Sebelum itu, pada 1 April hingga 2 April telah diadakan Sidang Pakar ke-29 MABBIM di Hotel Berjaya di Kuala Lumpur. Pada 5 dan 6 April pula berlangsung Sidang Eksekutif MABBIM ke-52 di hotel yang sama. Majlis penutupan sidang eksekutif dan penyerahan laporan umum diadakan pada 7 April 2013 sebelum delegasi pulang kampung halaman masing-masing.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1049051
    Visit Today : 1369
    This Month : 31650
    Total Visit : 1049051
    Hits Today : 4904
    Total Hits : 4303950
    Who's Online : 10
  • Kategori