Oleh S.M. ZAKIR

MENCARI MAKNA DIRI (DBP, 2012) ialah sebuah kumpulan puisi yang menghimpunkan 55 buah puisi Awang Sariyan, seorang ahli dan pejuang bahasa Melayu. Yang menarik dalam kumpulan puisi ini ialah bentuk penulisan puisi Melayu yang dapat merungkaikan ciri bahasa Melayu yang merupakan bahasa ketamadunan Islam di rantau Asia Tenggara. Puisi-puisi dalam kumpulan puisi ini memperlihatkan citra Islam yang tekal dan bersebati dalam kehidupan masyarakat Melayu. Budaya masyarakat Melayu dari awal kelahiran sehingga pengakhiran nyawa diikat kukuh dengan Islam, sehingga setiap pemerihalan tentang perjalanan kehidupan tidak dapat tidak akan menyangkuti Islam. Di sini kumpulan puisi Mencari Makna Diri memperlihatkan bagaimana bahasa Melayu hidup dan berkembang sebagai bahasa ketamadunan Islam tersebut, dengan puisi-puisi bergerak dalam lingkungan budaya, jiwa dan fikiran dunia Melayu-Islam.

Dalam konteks bahasa Melayu, ternyata bahasa Melayu wujud dengan wujudnya ketamadunan Islam di rantau Nusantara. Sebelum kedatangan Islam, bahasa Melayu tidak wujud sebagaimana yang ada selepas kedatangan Islam. Malah tulisan dan aksara yang ada di rantau Nusantara tidak pun dikenali sebagai bahasa Melayu, melainkan tulisan dan bahasa yang dinamakan secara parokial menurut negeri dan daerah yang ada. Menurut Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam bukunya Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu, kedatangan Islam di rantau Asia Tenggara atau Nusantara telah mewujudkan apa yang dikatakan sebagai Zaman Baharu. Pengertian Zaman Baharu ini menurut beliau suatu zaman yang mempunyai ciri-ciri yang penting dan mempunyai sifat persendirian serta berlainan dengan sifat-sifat zaman yang lampau; zaman yang menayangkan pandangan hidup yang berbeza daripada yang lampau; zaman yang menubuhkan bukan sahaja rupa baharu bahkan jiwa baru.

Kedatangan Islam telah mewujudkan bahasa Melayu yang menggunakan aksara Jawi yang merupakan aksara daripada bahasa Arab-Islam. Sebelum ini bahasa Melayu (tidak pun dikenali sebagai bahasa Melayu) menggunakan baik aksara dari India mahupun aksara tempatan yang sempit penggunaannya, malah hanya terpakai dalam lingkungan istana dan golongan elit. Bahasa Melayu yang menggunakan aksara Jawi menjadi bahasa rantau alam Melayu, yang merangkumi golongan atasan mahupun golongan bawahan. Bahasa Melayu menjadi bahasa besar dan bukan lagi bahasa parokial. Dalam kata lain bahasa Melayu menyebar dan menyeluruhi pelosok alam Melayu bersama dengan penyebaran agama Islam. Akhir sekali bahasa Melayu menjadi antara ciri penting ketamadunan Islam di rantau alam Melayu. Maka itu, bahasa Melayu muncul sebagai bahasa ketamadunan Islam yang mencirikan Zaman Baharu tersebut.

Maka di sini dapat dilihat bagaimana ketamadunan Islam diiringi oleh ketamadunan ’bahasa’ Islam, yang berada sebelah-menyebelah dan saling mendukung. Ketamadunan bahasa mempamerkan ikatan yang bersebati dengan ruh Islam, sehingga peluahan atau pengungkapan kata-kata sepenuhnya berlingkar dalam wadah menjunjung kebenaran ilahi, mendukung keteraturan Islam, dan mempamerkan amalan masyarakat berteraskan Islam. Dalam kumpulan puisi Mencari Makna Diri karya Awang Sariyan, kenyataan tentang ketamadunan Melayu yang dibentuk keseluruhannya oleh Islam memperlihatkan betapa  pengungkapan bahasa Melayu melalui puisi itu secara keseluruhannya pula berhubungan dengan amalan dan budaya keislaman yang sangat tebal dan sebati.

Mencari Makna Diri bukan sekadar puisi yang melemparkan kata-kata, malah memperlihatkan bentuk ketamadunan bahasa Melayu yang secara langsung mengalirkan prinsip kehidupan Islam. Sajak ”Mitos Bahasa” memperlihatkan sejarah bahasa Melayu yang wujud sebagai bahasa peradaban dan ketamadunan Melayu sejak zaman pra-Islam. Sajak ini disampaikan dalam menentang atau memperbetulkan keraguan tentang bahasa Melayu yang dipandang ’kecil’ dalam era globalisasi, sedangkan bahasa Melayu mempunyai sejarah yang panjang sebagai bahasa peradaban yang maju.

Kata yang empunya ceritera

kononnya bahasa Melayu tiada berdaya

menyahut cabaran gelombang samudera

lamun di paparan sejarah telah tertera

bahasa Melayu hebat sejak zaman Sriwijaya

menanjak gemilang membina mercu tanda

dalam zaman kesultanan di seluruh Nusantara

dimahkotakan sebagai bahasa sempurna

merentas ranah, sempadan dan bangsa

Setelah menggambarkan sejarah panjang bahasa Melayu sebagai bahasa unggul sebuah ketamadunan besar, sajak-sajak seterusnya memperlihatkan bagaimana sifat bahasa Melayu yang dibentuk oleh Islam tersebut mencirikan budaya Melayu-Islam. Sajak yang paling simplistik dalam menyampaikan bentuk dan ciri ini ialah sajak “Aduhai Desaku!”. Sajak ini dengan bersahaja menggalurkan gelisah dan resah rindu warga kepada desanya. Tetapi gambaran desa, budaya dan kehidupan masyarakat hadir dengan ciri yang bersebati dengan Islam sekaligus menggambarkan ‘keaslian’ bahasa dan jiwa Melayu yang sangat bersebati dengan Islam, malah menjadi sifatnya.

Aduhai desaku!

gelisah dan resah jiwaku

setiap kali pulang melepaskan rindu

aku menjadi kelu dan keliru

melihat kian kurang

anak-anak dihantar mengaji

menggali yang fardu

bertalaqi dan beramali bersama guru

menguasai tulis baca jawi wasilah risalah

Sajak ini memperlihatkan rasa ’kehilangan’ apabila ciri-ciri Islam dalam kehidupan masyarakat tidak lagi seakrab dahulu, sekaligus memperlihatkan ’sebatinya’ bahasa dan jiwa Melayu dengan Islam sehingga perasaan dan rindu itu dihubungkan dengan rasa keislaman tersebut. Dari sisi yang lain terlihat ciri-ciri bahasa Melayu berhubungan kait yang erat dengan risalah Islam. Rangkap ketiga sajak ini memperlihatkan ciri-ciri bahasa Melayu dalam lingkungan Islam tersebut.

Aku menjadi gelisah dan resah

menyaksikan malam yang syahdu

tiada lagi suara merdu

anak-anak dipandu guru

a i u, ba bi bu, ta ti tu, tha thi thu

mengenal fathah, kathrah dan dhammah

tanwin dan sukun serta sabdu

daripada mukaddam kepada mushaf yang sempurna

Ciri-ciri bahasa Melayu yang berhubungan kait dengan citra Islam ini terlihat jelas hampir dalam keseluruhan kumpulan puisi ini, dalam sajak-sajak yang membawa pelbagai tema. Apatah lagi dalam tema yang sangat jelas mengangkat nilai Islam, contohnya dalam sajak “Sendu Ramadhan”.

Alangkah alpanya aku

akan kurnia istimewa Yang Esa

datangmu dengan rahmat tak tepermanai

sepertiga pertama rahmat

sepertiga kedua pengampunan

sepertiga akhir pelepasan daripada neraka

para malaikat suruhan Yang Perkasa

sepanjang malam hingga terbit fajar

mengucapkan salam sejahtera

kepada hamba-hamba-Nya

yang mengabdikan diri

ke hadrat Pencipta dan Penguasa yang tak berbanding

Malah kenangan yang paling primordial terhadap ayah dan ibu juga dapat dilihat pencirian Islam yang tekal, dalam sifat bahasa Melayu sebagai citra Islam. Sajak ”Mengenangmu Ayahandaku”, diambil rangkap akhirnya.

istirahatlah wahai ayahandaku

di alam yang bebas daripada tipu daya dunia

sementara menanti tibanya alam mahsyar

perhimpunan besar penentu destinasi abadi

semoga kita bersua di syurga jannati

Begitu juga dengan sajak ”Syair Ibundaku nan Mutmainnah”, yang memperlihatkan citra Islam yang lembut dan menyerap sebagai ciri bahasa Melayu.

Ayahanda dan ibunda bahu-membahu

Mendidik anakanda supaya tahu

Mengaji al-Quran menjalani yang fardu

Memandu anakanda mengendalikan kalbu

Diakhirinya dengan rangkap akhirnya

Aduhai ibunda jiwa mutmainnah

semoga ibunda dipelihara Allah

bakti amanah ibunda laksanakan sudah

semoga ibunda kelak di jannah

Sajak “Wasiat Ayahanda” menyambung citra Islam yang menggambarkan titik primordial dalam budaya masyarakat Melayu, yakni titik kekeluargaan yang menjadi primate order dalam perkembangan masyarakat diasaskan dengan nilai Islam yang sangat kuat dan akrab.

Ayahanda tarbiah anakanda sekalian

oleh murabbi dan mudarris diperteguh jua

awwaluddin ma’rifatullah

ada pun yang utama ialah pengesaan Allah

usah disekutukan zat dan sifat-Nya

itulah awal wacana di alam barzakh

sebagai tuntutan janji anak Adam di alam arwah

nan dahulu dilafazkan di hadapan-Nya secara berjemaah

sebelum roh tersarung oleh jasad

Citra Islam yang mencirikan sifat bahasa Melayu, dalam perkaitannya dengan budaya serta kehidupan seharian juga ditampilkan dalam tiga buah sajak yang dilihat mempunyai metafora dan estetika yang kuat. Sajak pertama ”Musim Luruh”, sebuah sajak pendek yang bukan sahaja menampilkan citra Islam, metafora dan estetika yang kuat malah perlambangan yang ’sejuk’ dan menyentuh.

Musim luruh

engkau bertandang lagi

semoga menjadi isyarat

dan lambang alam

perihal luruhnya

segala dosa kami

ketika kembali ke fitrah kami

pada idulfitri

 

perkenankanlah ya, Rabbi

Bentuk sajak yang menghantar metafora dalam citra Islam yang kuat sebegini juga terlihat dalam sajak ”Selamat Datang Tamuku”.

Selamat datang wahai tamuku

dikaulah penyeri taman usrahku

permata hati pendamai kalbu

anugerah nur daripada nan satu

Sebuah lagi sajak yang patut diperhatikan dalam konteks melihat citra Islam dalam metafora yang puitis ialah sajak ”Saat Pamitan”.

Aku sekadar tamu yang singgah

di teratakmu meredakan lelah

dalam kembara panjang yang tak tertelah

ada kalanya aku seakan-akan kehilangan arah

 

sampai kini saat pamitan

kerana kembara perlu kuteruskan

meredah mujur di gurun tanpa garisan

berbekalkan tawakal mengharapkan ihsan

Akhir sekali ciri ‘kata’ dalam bahasa Melayu yang kaya dengan perbidalan tampil dengan baik dan indah dalam sajak “Permainan Apakah Ini?”. Terdapat inovasi terhadap perbidalan Melayu yang asal dalam memberikan makna baru terhadap isu-isu yang dikritik sebagai ‘permainan’ yang meruntuhkan kejituan bangsa Melayu.

Namun kini hamba bertanya

permainan apakah yang kami saksikan kini?

air yang dicencang tampak biar sampai putus

carik-carik bulu ayam sampai sungguh cariknya

mandi bukan sampai basah tetapi sampai binasa bejana

berdakwat bukan sampai hitam tetapi sampai patah pena

menyeluk pekasam bukan sampai di pangkal lengan

tetapi sampai di perdu hawa

rotan biar terkerat, arang biar patah

retak sudah menjadi belah

mahu mati bergalang tanah

mahu nasi biar menjadi bubur!

sesat di hujung jalan tidak mahu kembali ke pangkal jalan

yang keruh tidak dibuang yang jernih tidak diambil

Secara keseluruhan sajak-sajak dalam kumpulan puisi Mencari Makna Diri ini memperlihatkan dengan jelas tentang ciri-ciri bahasa Melayu sebagai bahasa ketamadunan Islam. Kata-kata ’sajak’nya terpamer rupa budaya, amalan, kehidupan dan pegangan bangsa Melayu terhadap Islam; sehingga seluruh citra dalam diksi dan sintaksis bersebati dengan Islam. Kata-kata yang bergerak dan membentuk sajak-sajak dalam kumpulan puisi ini disendikan segenap tautannya dengan citra Islam. Maka apa yang terlihat di sini ialah bagaimana ’bentuk’ yakni Islam itu mengacu bahasa (Melayu) untuk menjadikannya sebagai lambang kepada ketamadunan Islam yang menjadi ciri utama bangsa Melayu. Menutup tulisan ini, amat sesuai rasanya jika dikutip cuplikan beberapa rangkap sajak ”Hakikat Bahasa” yang dapat menyimpulkan secara keseluruhannya tentang kecintaan terhadap bahasa Melayu dan bangsa Melayu kumpulan puisi yang tegas dengan perjuangannya ini.

Bahasa bukan sekadar deretan bunyi-bunyi

yang terbit daripada artikulasi

bahasa bukan sekadar deretan aksara

yang ternukil mewakili suara

bahasa bukan sekadar yang tertanggap oleh indera

oleh telinga dan oleh mata

 

Bahasa

sesungguhnya cerminan akal budi

pancaran diri dan pekerti

asas jati diri

paksi makna diri

 

Bahasa

juzuk diri yang hakiki

ternurani pada akal yang rohani

tika roh pada jasad belum bersemadi

menjadi pengantara Khaliq dan makhluk berkomunikasi

tentang ketuhanan Tuhan anak Adam bersaksi:

Alastu birabbikum; qalu bala syahidna.

 

Maka itu

usahlah dipersempit gagasan bahasa

pada lambang-lambang yang arbitrari

usahlah diperkecil daerah selidiknya

pada yang tampak di zahir diri

usahlah dipinggirkan di dunia sepi

tika membangun ekonomi

tika melonjakkan martabat diri

tika membina acuan madani dan hadhari

Rangkap akhir sajak ini menyimpulkan segala.

Marilah kita lestarikan

sendi tamadun dan akal budi bangsa

anugerah Allah Rabbulalamin

dalam membina jati diri

dalam membina kekuatan peribadi

dalam membina harga diri

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1049642
    Visit Today : 487
    This Month : 32241
    Total Visit : 1049642
    Hits Today : 3518
    Total Hits : 4308279
    Who's Online : 9
  • Kategori