Oleh MAWAR SAFEI

LAUT Takjub merupakan sebuah kumpulan cerpen yang luar biasa kerana digarap oleh seorang yang tersohor sebagai penyair. Penulisnya ialah Kemala atau Dato’ Dr Ahmad Kamal Abdullah yang merupakan Sasterawan Negara terbaharu untuk tahun 2011. Kedua, Laut Takjub istimewa kerana memenangi Hadiah Buku Kebangsaan bagi tahun 2012 dan turut diiktiraf oleh Centre of Excellence University of Oxford.

Kumpulan cerpen ini dibahagikan kepada tiga fragmen iaitu:

  1. Dalam Dakapan Alifbata – 5 cerpen
  2. Wajah dalam Wajah – 7 cerpen
  3. Makna yang Kucari – 13 cerpen

Kesemuanya berjumlah 25 cerpen.

Keseluruhan Laut Takjub memperagakan idiosinkrasi yang sememangnya dipamerkan dalam kepenyairan Kemala. Sebelum ini beliau prolifik menghasilkan kumpulan puisi seperti Timbang Terima (1970), Meditasi (1972), Era (1975), Kaktus-Kaktus (1976), Ayn (1983), Pelabuhan Putih (1989), Titir Zikir (1995), Mim (1999) dan Ziarah Tanah Kudup (2006). Rata-rata pengalaman kepenyairannya memberi wajah yang tersendiri kepada Laut Takjub, iaitu:

  1. Islam diajukan sebagai latar kehidupan masyarakat yang diangkatnya,
  2. Laras bahasa yang puitis.

Kedua-duanya menawarkan kesatuan cerita iaitu yang distrukturkan oleh pemikiran, bahasa, teknik seperti penggemblengan sudut pandangan, watak dan latar. Ia menumbuhkan pengalaman intelektual serta pengalaman seni dalam kalangan pengamatnya. Gabungan kedua-duanya dalam kerangka ini pasti sahaja dengan pengalaman lulusan Doktor Falsafah UKM (2000) ini yang juga pengarang esei.

Judul kumpulan ini, Laut Takjub yang metaforikal ini disaring daripada sebuah cerpen dalam fragmen ketiga, iaitu “Pantai Takjub”. Tidak pasti sama ada kesilapan teknikal pada judul, cerpen ini disokong oleh frasa “laut takjub” beberapa kali; malah ada sebuah cerpen Kemala yang berjudul “Laut Takjub” diterjemahkan ke bahasa Inggeris oleh ITNM. Jadi mengapa pula judulnya menjadi “Pantai Takjub” dalam kumpulan ini? Atau adakah ia mewakili penutup cerpen yang membawa watak utamanya, Amelia kembali ke “pantai” kasih sayang suami dan anaknya?

Cerpen ini menemukan pasangan kekasih lama Amelia dan Asrul. Amelia berpisah dan meninggalkan suaminya, Hamdi dan anaknya Mustika. Hamdi dikatakan seorang pemabuk dan pembelit. Lantas Amelia mencari kehidupan baharu dengan cara berguru dengan “Kiai Muhammadi” di Kampung Padang. Akhirnya disedari bahawa guru agamanya itu ialah Asrul. Kemala menjadikan kisah cinta lampau ini dengan kesudahan “agama” sebagai pelerai kekusutan, kesumat dan kebencian manusia.

Keindahan cerpen ini juga terletak pada langgam bahasa Kemala yang sarat permainan bahasa perbandingan. Perhatikan dua perenggan awal cerpen ini, …dalam pertemuan yang lain, dia seolah-olah bergulungan dalam ombak dan kepulan awan-awan putih bagai permaidani yang terhampar lepas, maka bisikan itu mengusapnya lagi… Apakah ini suatu anyaman tikar batin yang sakti, ulet dan ampuh ataupun ini hanya suatu jalinan yang sudah kesasar jalannya? Wahai diriku, wahai sukma halusku, tunjuki daku jalan yang pernah membawaku ke tasik penih cahaya dan ke laut takjub yang pernah menghulurkan cinta manis puteri duyung yang rindu, yang sepanjang umurnya menitiskan air mata hidup atas percubaan yang Maha Esa kepadanya.

Kerangka “agama” dan “bahasa” sangat menguasai cerpen ini. Begitu juga yang  ditemukan dalam  cerpen “Teluk Teduh”. Cerpen yang sangat tebal langgam puisinya, begitulah Kemala memulakan cerpen ini. Ia mungkin sahaja menenggelamkan makna, begitulah suara puisi menguasai dan bergema lewat cerpen ini. (Baca perenggan pertama cerpen). Malah sehingga ke akhir, cerpen ini masih dengan gaya puisi Kemala. Beliau memperkenalkan watak Amir Hafiz yang kemudian membawa khalayak kepada pasangan nelayan dan isterinya. “Teluk teduh” dikiaskan secara ambiguous; walaupun ditamsilkan dengan beberapa padanan antaranya ia teluk yang dilupakan, ia teluk yang dikagumi kerana keindahannya, ia memendam misteri yang besar (baca perenggan halaman 65-66). Tebalnya baris yang menawarkan suara heteroglot pengarangnya.

Kedua-dua cerpen ini memilih latar yang berkaitan dengan “laut”.  Dalam catatan “biodata penulis” buku ini Braginsky mendapati bahawa puisi Kemala berhubung erat dengan tradisi tasawuf yang mempunyai tautan dengan imej dan lambang – khususnya lambang laut. Antaranya ditamsilkan “teluk” sebagai jiwa, “pelaut” adalah si pencari makna. Hal ini merupakan kesan intertekstual puisi-cerpen yang akrab antara lambang dan makna ini.

Di samping itu, beberapa cerpen Kemala agak langsung dan konvensional dari sisi penyampaian plot cerita, misalnya dalam kebanyakan cerpen dalam fragmen pertama “Dalam Dakapan Alifbata” dan cerpen-cerpen awalnya. Begitu antara lain cerpen “Di Bawah Sayap Aidilfitri” dan “Perjalanan”. Contohnya cerpen “Perjalanan” sebuah cerpen lama Kemala (Mingguan Malaysia, 19 Julai 1970), jelas memperakukan hubungan tidak sah antara Siti Marpuah dengan Saparudin, sehingga melahirkan Kusni. Watak ibu Kasminah yang terus-terusan mencemuh “anak haram” pasangan ini menyebabkan Siti membawa diri dalam “perjalanan” ke Kuala Lumpur untuk bertemu Saparuddin yang dipenjara kerana menyeludup candu. “Perjalanan” Siti ternyata dibantu oleh watak tambahan Farid dan Mariana yang ditemui Siti di dalam kereta api menuju Kuala Lumpur. Pasti sahaja ini penulisan awal Kemala yang belum lagi menemukan kerangka “Islam dan bahasa” sepertimana yang dikesan dalam cerpen mahupun puisinya bermula dekad 1980-an.

Menerusi cerpen “Kaki” pada tahun 1980, Kemala membangunkan watak Kiai Alang yang bersikap budiman terhadap kejahatan Jani yang pernah menerajang ibunya pada zaman Jepun. Kemala memberikan hukuman terhadap watak Jani sehingga akhirnya kaki Jani ditimpa penyakit berulat dan terpaksa dipotong. Poetic justice dan kesaksamaan dijelmakan dalam cerpen ini. Begitu ajaran Islam menegaskan soal hak, kesetaraan dalam banyak dimensi kehidupan.

Rata-rata kumpulan ini menghimpunkan cerpen Kemala bermula dari tahun 1970 iaitu “Idham Khalil”, “Mata, Rumah dan Merpati” dan “Perjalanan” sehingga cerpen terkininya yang terhasil dalam tahun 2006 seperti “Via Terowong Duakosong Duasokong”, “Sang Pemangkas”, “Tujuh Syurga dalam Badan”, “Siapa Tuan? Err, Mat Janggut, Mat Misai?” dan “Sebuah Masjid Buat Hari Tua”. Himpunan ini menarik untuk melihat perkembangan penulisan Kemala dalam genre cerpen, khususnya untuk mengenal pasti garis gerak idiosinkrasi yang didakwa pada awal ulasan ini iaitu nuansa Islaminya serta ragam bahasa yang membelok ke pertukangan puisinya.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1049525
    Visit Today : 370
    This Month : 32124
    Total Visit : 1049525
    Hits Today : 2432
    Total Hits : 4307193
    Who's Online : 15
  • Kategori