Oleh ALIAH ABDUL RAHIM

DALAM usaha menyebarkan bahasa kepada khalayak, konsep “turun padang”  turut diamalkan, iaitu mendekatkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kepada pelbagai lapisan masyarakat, menghantar maklumat kepada mereka dan memudahkan khalayak daripada datang mendapatkan maklumat di DBP.

Program Ziarah Bahasa yang diadakan sempena Bulan Bahasa dan Kebangsaan (BBK) pada setiap bulan Oktober mengamalkan konsep ini, iaitu dengan berkunjung ke premis-premis perniagaan yang ditentukan bagi mendapatkan maklumat tentang penggunaan bahasa kebangsaan sama ada secara lisan mahupun tulisan di premis mereka.  Bagi BBK Peringkat Wilayah Persekutuan 2011, lokasi Ziarah Bahasa yang dipilih ialah Pusat Beli-Belah MidValley di Bangsar, Kuala Lumpur.

Lokasinya di tengah-tengah ibu kota yang pesat membangun dengan pelbagai premis francais dari luar negara yang menjalankan urus niaga di situ agak mencabar pegawai DBP yang ingin mendapatkan maklumat tentang penggunaan bahasa kebangsaan, ditambah pula ada premis yang menggaji pekerja berbangsa asing.

Program Ziarah Bahasa  diadakan bertujuan menimbulkan kesedaran dalam kalangan pemilik atau petugas di premis perniagaan tentang peri penting meningkatkan penguasaan dan penggunaan bahasa kebangsaan semasa berurusan dengan pelanggan.  Selain mendapatkan maklumat tentang sejauh mana penggunaan bahasa kebangsaan dilaksanakan sama ada secara lisan atau tulisan, seperti pada risalah, panduan pengguna, borang, iklan dan sebagainya, DBP ingin memastikan penggunaan bahasa kebangsaan yang tepat dan indah di premis perniagaan seperti pada papan tanda, papan iklan dan sebagainya dilakukan dengan sewajarnya.

Bermula pada tahun 1996, Program Ziarah Bahasa dilaksanakan melalui program Gerakan Bahasa Kebangsaaan Sektor Swasta (GBKSS) yang dilancarkan pada 19 Ogos 1996. Pada peringkat awal, kunjungan ke kementerian/jabatan/institusi kerajaan dilakukan untuk menjalin kerjasama kebahasaan dan memperkenalkan khidmat bahasa yang diberikan oleh DBP. Kini, pendekatan dan kaedah tersebut diubah dan disesuaikan dengan mengadakan kerjasama dengan pihak kementerian/jabatan/institusi  ataupun Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan agar mencadangkan/mencalonkan lokasi yang perlu dilakukan Ziarah Bahasa. Dapatan hasil ziarah tersebut disediakan dalam bentuk laporan untuk rujkan dan tindakan kedua-dua belah pihak yang bekerjasama.

Pedoman bahasa dan poster diberi kepada pemilik premis (kanan) selepas sesi temu bual

Hasil Program Ziarah Bahasa Peringkat Wilayah Persekutuan  Kuala Lumpur 2011 yang diadakan dari 11-13 Oktober mendapati kebanyakan premis perniagaan di pusat beli-belah itu menggunakan bahasa Melayu dalam urusan perniagaan mereka tetapi bergantung pada pelanggan sama ada pelanggan tempatan atau asing. Menurut mereka, jika pelanggan tempatan, mereka menggunakan bahasa Melayu tetapi bagi pelanggan asing, sudah tentu bahasa Inggeris digunakan. Walau bagaimanapun, tidak dinafikan ada juga pemilik atau pekerja premis yang lebih cenderung menggunakan bahasa Inggeris, terutama pada iklan dan risalah yang mereka papar dan edarkan.

Peranan DBP selain memantau bahasa yang digunakan, juga menyebarluaskan maklumat berkenaan program bahasa yang disediakan oleh DBP. Selain mengedarkan lembar dan pedoman bahasa, maklumat tentang Khidmat Nasihat DBP dan Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) diterangkan, termasuk cara menggunakannya pada laman web DBP.

Dari semasa ke semasa, Program Ziarah Bahasa yang merupakan acara tahunan diharap akan dapat memberikan impak dan manfaat kepada pengguna bahasa yang terdiri daripada pelbagai kaum di samping meningkatkan usaha mengembangkan dan memperkasa bahasa kebangsaan di premis-premis perniagaan, terutama di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur.

Menu yang mengetepikan bahasa Melayu

 

Penggunaan bahasa kebangsaannya bukan sahaja betul malah indah

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1049065
    Visit Today : 1383
    This Month : 31664
    Total Visit : 1049065
    Hits Today : 5034
    Total Hits : 4304080
    Who's Online : 13
  • Kategori