Oleh ALIAH ABD. RAHIM

“ 1 BAHASA” yang ditekankan sebagai tema Bulan Bahasa Kebangsaan  ini tidak bermaksud melenyapkan bahasa-bahasa lain kerana hal itu bertentangan dengan semangat perpaduan dalam kepelbagaian bahasa. Sebaliknya, “1Bahasa” menekankan penerimaan rakyat berbilang kaum terhadap bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, bahasa milik bersama. Melalui penggunaan bahasa kebangsaan, “1Bahasa” mampu membangunkan keperibadian bangsa meskipun terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum, agama, dan budaya.” Demikian antara ucapan Encik Kamarul Zaman Shaharudin, Timbalan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada majlis perasmian Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2011 di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) 18 Oktober lalu.

Beliau turut menegaskan bahawa bahasa kebangsaan adalah milik kita bersama rakyat Malaysia pelbagai kaum sebagai sebuah negara bangsa dan bukannya milik orang Melayu semata-mata. Justeru, sebagai lambang jati diri rakyat Malaysia, sewajarnyalah bahasa Malaysia di jadikan bahasa komunikasi sehari-hari semasa berinteraksi sesama kaum. Dengan cara itu, kita mampu membangunkan keperibadian bangsa meskipun kita terdiri daripada pelbagai latar belakang, kaum, agama dan budaya.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar,  YB Datuk M. Saravan. Dalam ucapan perasmiannya, beliau berharap agar Wilayah Persekutuan dapat menjadi contoh terbaik dalam erti kata menunjukkan peranan bahasa Malaysia sebagai penyatu pelbagai bangsa, latar belakang dan asal keturunan dari seluruh negara. Pengintegrasian melalui satu bahasa ini akhirnya boleh mencipta masyarakat yang bersatu padu dan harmoni. Beliau turut mengingatkan agar dasar baru kerajaan, iaitu “Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris” difahami secara mendalam oleh semua pihak tanpa ada yang berkecuali. Ujarnya lagi, memartabatkan bahasa kebangsaan tidak bermakna kita harus meminggirkan bahasa lain, manakala memperkukuhkan bahasa Inggeris jangan sampai mengabaikan bahasa kebangsaan kita.

Bagi BBK Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pelbagai program dan aktiviti diadakan, antaranya Ziarah Bahasa, Kenduri Bahasa, persembahan Wayang Kulit, Pertandingan Pidato Peguam dan Baca Puisi.

Ahmad Fuad Ismail (kiri) menerima cenderamata daripada Kamarul Zaman Shaharudin.

Turut hadir ke majlis ialah Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail dan Ketua Pengarah DBKL, Datuk Salleh Yusup. Majlis diserikan dengan bacaan pantun oleh pelajar pelbagai kaum dari Sekolah Menegah Kebangsaan Jinjang dan Sekolah Menengah Teknik Setapak, Kuala Lumpur. Selain persembahan nyanyian dan deklamasi puisi, kumpulan tari daripada Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) turut mempersembahkan tarian randai . Seramai kira-kira 700 orang peserta hadir termasuk pelajar sekolah.

Bulan Bahasa Kebangsaan  merupakan salah satu acara tahunan negara bagi memperkasa bahasa kebangsaan.  Tahun 2011 merupakan tahun ke-13 program ini diadakan. Matlamat utama BBK adalah untuk memantapkan, memperkukuh dan mempamerkan jati diri dan citra bangsa Malaysia berteraskan bahasa kebangsaan selain untuk melahirkan generasi masa depan bangsa Malaysia yang berbangga dengan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar ilmu dan pembina tamadun bangsa. Pelbagai aktiviti BBK yang menyeluruh, teratur dan berterusan diadakan sepanjang tahun, sama ada pada peringkat negeri mahupun kebangsaan.  Kemuncak sambutannya ialah Majlis Pelancaran BBK Peringkat Kebangsaan 2011  yang berlangsung di Melaka pada 13 Oktober lalu.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur merupakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang pertama menetapkan syarat agar penggunaan bahasa Melayu yang betul pada visual iklan papan tanda mendapat pengesahan daripada DBP sebelum permohonan dikemukakan kepada DBKL. Selain itu, DBKL juga yang pertama menggunakan khidmat pengesahan iklan secara dalam talian, iaitu suatu perkhidmatan yang disediakan oleh DBP.

Bagi BBK Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pelbagai program dan aktiviti diadakan, antaranya Ziarah Bahasa, Kenduri Bahasa, persembahan Wayang Kulit, Pertandingan Pidato Peguam dan Baca Puisi.

Persembahan pantun daripada pelajar sekolah pelbagai kaum.

Kumpulan tari ASWARA mempersembahkan tarian randai.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1049348
    Visit Today : 193
    This Month : 31947
    Total Visit : 1049348
    Hits Today : 1162
    Total Hits : 4305923
    Who's Online : 18
  • Kategori