Oleh ASSMAH OSMAN

Papan iklan yang langsung tidak mencerminkan citra Malaysia

DUNIA perniagaan di Malaysia seolah-olah sentiasa menganggap bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara yang tidak mempunyai nilai ekonomi. Buktinya, sektor ini tidak menggunakan bahasa Melayu untuk tujuan komersial seperti iklan, urusan perniagaan atau perdagangan pada peringkat domestik, jauh sekali antarabangsa. Hatta iklan pada papan iklan luar di lebuh raya di Malaysia yang pasti sasarannya orang Malaysia, pun ada yang menggunakan bahasa Inggeris!

Hasil pemantauan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mendapati penggunaan bahasa Melayu sepenuhnya pada papan iklan luar di lebuh raya tidak memuaskan.  Pemantauan penggunaan bahasa yang dijalankan pada 16 Jun 2011 di sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan (KL-Seremban-KL) mendapati 38% papan iklan luar tidak menggunakan bahasa Melayu,  17 % menggunakan bahasa Melayu bersama-sama bahasa lain, 3% tidak menggunakan bahasa langsung (logo atau gambar sahaja), manakala yang  menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya hanya 42%.

Sementara itu, hasil pemantauan DBP di Lebuh Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 24 Jun 2011 pula mendapati 24% papan iklan luar tidak menggunakan bahasa Melayu, 28%  menggunakan bahasa Melayu bersama-sama bahasa lain, 10% tidak menggunakan bahasa langsung (logo atau gambar sahaja), dan hanya 38% sahaja yang menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya.

Di manakah bahasa kebangsaan kita?

Ramai antara kita yang tidak mengetahui bahawa penggunaan bahasa Melayu pada papan iklan luar di lebuh raya di negara kita terletak dalam bidang kuasa beberapa agensi. Pembahagian bidang kuasa yang jelas adalah bagi papan iklan luar yang terletak di dalam pagar lebuh raya, yang menjadi tanggungjawab Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Lembaga Lebuh Raya (LLM), manakala papan iklan yang terletak di luar pagar lebuh raya adalah tanggungjawab Pihak Berkuasa Tempatan.

Kerajaan melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah menguatkuasakan  Garis Panduan Perancangan Papan Iklan Luar mulai tahun 2009.  Garis panduan ini mensyaratkan setiap papan iklan hendaklah menggunakan bahasa Melayu sama ada dengan sepenuhnya atau bersama-sama dengan mana-mana bahasa lain. Jika syarat ini dipatuhi, tidak timbullah jumlah 38% iklan di lebuh raya KL-Seremban-KL dan  24% iklan di lebuh raya KLIA yang tidak menggunakan bahasa Melayu langsung. Syarat ini turut memperincikan keutamaan penggunaan bahasa Melayu, iaitu dari segi saiz, warna dan kedudukan perkataan bahasa lain.  Selain itu, rujukan dan pengesahan daripada DBP turut dijadikan syarat bagi memastikan penggunaan bahasa Melayu yang  betul dan tepat dari segi tatabahasa, ejaan, susunan ayat, penggunaan perkataan, dan sebagainya.

Sementara itu, bagi pihak KKR dan LLM pula, mereka telah menguatkuasakan Kaedah Pemasangan Paparan Iklan di dalam rizab lebuh raya/ Jabatan Persekutuan. Kaedah ini   mensyaratkan penggunaan bahasa Melayu yang betul dan baik adalah wajib dan diutamakan serta menjadi bahasa utama dalam iklan sama ada secara persendirian atau bersama bahasa-bahasa lain.

Penggunaan bahasa rojak pada iklan.

Apabila membincangkan topik  penggunaan bahasa kebangsaan di lebuh raya sebagai tempat awam, sudah pastinya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)  mempunyai hubungan langsung yang erat. Secara umumnya semua undang-undang kecil iklan yang diwujudkan melalui Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) meletakkan syarat bahawa bahasa iklan ialah bahasa Melayu dan keutamaan harus diberikan dari segi saiz, warna dan kejelasan. Bukan itu sahaja, penggunaan bahasa Melayu yang betul  dinyatakan dengan jelas dalam undang-undang kecil hampir di semua PBT di Semenanjung Malaysia.

Dari segi peruntukan undang-undang,  nyata lebih daripada mencukupi untuk memperkasakan penggunaan bahasa Melayu pada papan iklan luar di lebuh raya.  Namun kenapa bahasa Inggeris terus digunakan sehingga mencacatkan pemandangan di sepanjang lebuh raya di negara kita?  Penyelesaian bukan dengan menuding jari kepada pelbagai pihak.  Sama ada  pihak pengiklan, agensi pengiklanan atau pemilik papan iklan, masing-masing harus sedar bahawa tanggungjawab mendaulatkan bahasa Melayu adalah tanggungjawab bersama.  Untung ruginya perniagaan mereka bukan terletak pada penggunaan atau dengan mengutamakan bahasa Inggeris, tetapi mutu barang atau perkhidmatan yang ditawarkan.

Syoknya?

Untung ruginya perniagaan mereka bukan terletak pada penggunaan atau dengan mengutamakan bahasa Inggeris, tetapi mutu barang atau perkhidmatan yang ditawarkan

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1053393
    Visit Today : 338
    This Month : 1645
    Total Visit : 1053393
    Hits Today : 791
    Total Hits : 4324309
    Who's Online : 14
  • Kategori