Oleh RAHIMI ARIFIN

Papan iklan yang masih mengutamakan bahasa Inggeris.

KEBANYAKAN iklan yang dipamerkan di tempat-tempat awam seperti pada papan iklan atau papan tanda, sama ada di luar ataupun di dalam bangunan masih tidak memuaskan. Di negara kita, iklan yang tidak mengutamakan penggunaan bahasa kebangsaan dan sebaliknya menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa-bahasa lain sepenuhnya mudah untuk ditemui di mana-mana sahaja.

Isu lapuk ini akan terus berpanjangan selagi masih ada pihak yang kurang peka dan kurang bertanggungjawab untuk memelihara bahasa kebangsaan kita. Gejala ini sepatutnya tidak berlaku kerana penekanan penggunaan bahasa Melayu atau bahasa Malaysia pada iklan bukanlah perkara yang baharu. Garis Panduan Papan Iklan Premis Perniagaan sebagai panduan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam meluluskan pemasangan papan iklan premis perniagaan di kawasan masing-masing telah dikuatkuasakan sejak 11 Januari 2005. Antara perkara yang ditekankan dalam garis panduan tersebut, termasuklah penggunaan bahasa Malaysia yang betul dan tepat pada papan iklan.

Sebagai contoh, Undang-undang Kecil Iklan (Wilayah Persekutuan) 1982, dengan jelas menyatakan:

(1) Sesuatu iklan hendaklah dalam bahasa Malaysia sama ada dengan sendirinya atau bersama-sama bahasa lain.

(2) Perkataan-perkataan dan huruf-huruf dalam bahasa Malaysia hendaklah diberi keutamaan warnanya dan di sesuatu kedudukan yang lebih jelas daripada perkataan-perkataan atau huruf-huruf atau tulisan-tulisan dalam bahasa lain yang digunakan, dan saiznya hendaklah tidak melebihi ukuran yang terdapat dalam bahasa Malaysia.

(3) Seseorang tidak boleh mempamerkan atau menyebabkan atau membenarkan dipamerkan mana-mana iklan yang tidak mematuhi paragraf (1) dan (2).

(4) Walau apa pun peruntukan paragraf (3), jika nama sesuatu firma, persatuan atau syarikat sebagaimana yang didaftarkan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956, Akta syarikat 1965 atau Akta Pertubuhan 1966, terdiri dari atau termasuk perkataan yang bukan dalam bahasa Malaysia, maka tidaklah perlu diterjemahkan perkataan-perkataan ini ke dalam bahasa Malaysia.

(5) Walau apa pun peruntukan-peruntukan (4), Datuk Bandar boleh menghendaki butir-butir perniagaan, syarikat-syarikat atau pertubuhan itu hendaklah mematuhi peruntukan-peruntukan dalam perenggan (1) dan (2).

Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, turut memberi penekanan terhadap penggunaan bahasa kebangsaan pada papan iklan luar. Pada tahun 2008, Garis Panduan Perancangan Papan Iklan Luar telah dikuatkuasakan melalui Pekeliling Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Bilangan 2 Tahun 2009. Garis panduan tersebut menekankan penggunaan bahasa Melayu hendaklah dipastikan betul dan tepat dari segi penggunaan perkataan, susunan ayat, ejaan, tatabahasa dan sebagainya. Penggunaan bahasa yang betul hendaklah dirujuk dan mendapat pengesahan daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Justeru, pihak yang meluluskan lesen pemasangan papan iklan, iaitu PBT seharusnya serius dan komited dalam mematuhi garis panduan iklan yang dikuatkuasakan mengikut Undang-undang Kecil Iklan PBT masing-masing. Kerjasama antara PBT dan DBP perlu dibentuk dan sewajarnya melibatkan DBP dalam kelulusan lesen pemasangan papan iklan. Inisiatif beberapa PBT, seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mensyaratkan supaya setiap agensi pengiklanan atau syarikat perlu merujuk kepada DBP terlebih dahulu bagi melihat aspek penggunaan bahasa sebelum sesuatu iklan diluluskan perlulah dicontohi.

Dalam hal ini, DBP telah pun membangunkan sistem Khidmat Pengesahan Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka (KPBDBP) untuk membantu PBT dalam menguatkuasakan penggunaan bahasa kebangsaan pada papan iklan. KPBDBP merupakan perkhidmatan menyemak dan mengesahkan penggunaan bahasa kebangsaan yang baik dan betul dalam iklan, nama khas dan dokumen dan dilaksanakan dalam talian yang boleh dicapai melalui laman web www.prpm.dbp.gov.my, kunjungan/kaunter, faksimile dan e-mel.

Selain KPBDBP, DBP turut menyediakan Khidmat Nasihat Bahasa, Khidmat Nasihat Sastera, Khidmat Nasihat Penerbitan, Khidmat Nasihat Pengurusan dan Khidmat Nasihat Korporat DBP atau lebih dikenali sebagai Khidmat Nasihat Dewan Bahasa dan Pustaka (KNDBP). Khidmat nasihat ini juga dilaksanakan dalam talian melalui laman web www.prpm.dbp.gov.my, kunjungan/kaunter, faksimile dan e-mel.

Jelaslah bahawa masalah penggunaan bahasa kebangsaan pada papan iklan boleh ditamatkan dengan segera. Mekanisme yang sedia ada, khususnya dalam bidang undang-undang perlu dimanfaatkan. Gerakan dan tindakan bersepadu dengan semua pihak sama ada agensi kerajaan atau swasta dalam penguatkuasaan hendaklah dipertingkat dari semasa ke semasa.

  1. lew says:

    Please check artwork for submit banner licence.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1048354
    Visit Today : 672
    This Month : 30953
    Total Visit : 1048354
    Hits Today : 1686
    Total Hits : 4300732
    Who's Online : 16
  • Kategori