Oleh ALIAH ABDUL RAHIM

Kamsiah Mohamed menyerahkan novel kepada Fatimah Ahmad

NOVEL yang baik tidak seharusnya disimpan setelah dibaca, sebaik-baiknya dijelmakan dalam bentuk yang lain pula, misalnya dalam bentuk filem. Perpindahan daripada novel kepada filem memerlukan proses adaptasi, penyesuaian atau pemadanan. Bagi sebuah novel yang kuat bahan ceritanya, sudah pasti mampu dipersembahkan ke bentuk filem yang mempunyai cerita yang sama hebat jika berjaya dipindahkan kepada medium berkenaan.

Demikian antara teks ucapan Ketua Pengarah DBP, Dato’ Haji Termuzi Haji Abdul Aziz yang disampaikan oleh Pegawai Kanan Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Puan Kamsiah Mohamed pada majlis pelancaran Pertandingan Menulis Skrip Adaptasi Novel ke Filem pada 29 Julai lalu di Dataran Finas, Hulu Kelang, Selangor.

Menurutnya lagi, tugas ini bukannya mudah sebaliknya menuntut peranan dan memberikan cabaran sebenar kepada penulis skrip untuk membuat pemadanan atau penyesuaian dalam proses mereka mengadaptasi novel ke filem. Justeru,  tidak banyak novel kita yang diadaptasikan ke filem.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) buat julung-julung kalinya dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) bergabung tenaga menganjurkan Pertandingan Menulis Skrip Adaptasi Novel ke Filem. Usaha ketiga-tiga pihak ini bertujuan menggalakkan penghasilan skrip filem yang berkualiti tinggi yang diadaptasikan daripada novel terpilih.

Encik A. Wahab Hamzah (dua dari kiri) turut hadir pada sidang media.

Lima buah novel  tersebut ialah Sandera (Arenawati), Interlok (Abdullah Hussein), Empangan (Zakaria Ali), Pemberontakan (Chian Jong Lai) dan Bedar Sukma Bisu (Faisal Tehrani). Kesemua novel ini telah teruji kekuatannya kerana pernah memenangi pertandingan menulis novel dan diakui mempunyai nilai dan persoalan yang menarik untuk difilemkan.

Pihak Finas menerusi Pemangku Ketua Pengarah Finas, Puan Fatimah Ahmad berkata yang pihaknya akan berusaha mendapatkan mana-mana syarikat penerbit untuk mengambil skrip yang memenangi pertandingan tersebut bagi difilemkan.

Selain menghasilkan skrip filem berkualiti yang ceritanya diangkat daripada novel, pertandingan ini mampu meningkatkan nilai tambah yang ada pada sesebuah novel tersebut dan sekali gus membantu seni filem tempatan dalam menghasilkan filem yang mempunyai kualiti cerita yang baik dan menarik

Hadiah utama pertandingan berjumlah RM15,000, pemenang tempat kedua akan menerima wang tunai RM8,000 manakala tempat ketiga akan diberikan wang berjumlah RM5,000. Penyertaan dhantar kepada pihak urus setia di DBP dan tarikh tutup permohonan adalah sehingga 31 Disember 2011, manakala keputusan akan diumumkan pada bulan Februari atau Mac tahun hadapan.

Kejayaan usaha ini bukan sahaja akan memberikan manfaat kepada filem, malahan dunia kesusasteraan atau penerbitan novel juga memperoleh faedah yang besar.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1062030
    Visit Today : 1181
    This Month : 10283
    Total Visit : 1062030
    Hits Today : 4270
    Total Hits : 4360602
    Who's Online : 7
  • Kategori