Oleh DR. AWANG SARIYAN

Dr. Awang Sariyan

PENTINGNYA bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan yang merentas tamadun turut menggerakkan usaha menyusun kamus dwibahasa yang penting untuk kegunaan pedagang dan orang Cina lainnya dalam interaksi  di alam Melayu. Usaha awal penyusunan kamus dwibahasa dikesan berlaku seawal abad ke-14 pada zaman Maharaja Ming Tai Zhu (1368-1399 M.), iaitu maharaja Dinasti Ming yang pertama. Namun dalam kamus dalam bentuk daftar kata Cina – kata negeri asing (Hua Yi Yi Yu) itu tidak dapat dipastikan adakah kata-kata bahasa Melayu terangkum juga di dalamnya. Namun dalam abad ke-15 telah dikesan terhasilnya kamus dwibahasa dalam bentuk daftar kata Cina-Melayu, sebagaimana yang pernah dikaji oleh sarjana Barat seperti E.D. Edwards dan C.O. Blagden pada tahun 1930-an.

Judul kamus itu dalam bahasa Cina ialah Man La Jia Guo Yi Yu atau Senarai Perkataan Negeri Melaka. Kata-kata yang terhimpun di dalamnya dipercayai meliputi kosa kata dari zaman awal bermulanya hubungan Dinasti Ming dengan Kerajaan Melaka, iaitu pada tahun 1403 hingga tahun jatuhnya Melaka di tangan Portugis pada tahun 1511. Kamus itu terdiri daripada 482 entri kosa kata Cina yang dianggap penting dan dikategorikan kepada 17 bidang, iaitu astronomi, geografi, musim dan masa, tumbuh-tumbuhan, unggas dan haiwan, rumah dan istana, peri kelakuan, tubuh badan, barang emas dan permata, kemasyarakatan dan sejarah, warna, hitungan, dan kata umum. Setiap entri diberi padanan bahasa Melayunya dengan tulisan Cina. Kamus itu disusun untuk keperluan Kerajaan Cina dalam Dinasti Ming dalam menjalin hubungan dengan Melaka dan hingga akhir abad ke-16 kamus itu masih menjadi rujukan, termasuk dalam penyusunan buku sejarah Cina. Demikianlah,akrabnya hubungan antara dua tamadun turut meninggalkan dampak yang besar dan penting kepada bahasa juga, sebagaimana yang terbukti dengan meluasnya peranan bahasa Melayu.

Hubungan dan interaksi antara dua tamadun itu kemudian dapat dikatakan terhenti dengan lama sekali, disebabkan masalah perubahan sistem di dalam negara Cina dan juga kesan penaklukan ke atas Melaka dan kerajaan-kerajaan Melayu lain oleh kuasa Barat. Hanya pada abad ke-18 dan seterusnya tampak wujud semula hubungan itu tetapi dengan pola yang jauh berbeza, kerana kedatangan orang Cina bukan diutus oleh pemerintah Cina atas hubungan diplomasi, melainkan diupayakan oleh penjajah Barat untuk memenuhi keperluan ekonominya, dengan  kebanyakan pendatang itu dijadikan buruh di lombong bijih timah dan sebilangan yang lain mencuba nasib dalam perniagaan. Sejarah akhirnya memberikan acuan kepada pola demografi dan sistem kemasyarakatan di Persekutuan Tanah Melayu dan kemudian Malaysia, apabila orang Cina dan orang India yang bermastautin diberi taraf kerakyatan pada waktu Persekutan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Kini orang Cina merupakan kira-kira 29 peratus daripada penduduk Malaysia, dan mereka turut mewarnai kepelbagaian kebudayaan di Malaysia melalui cara hidup dalam bidang kesenian, perayaan, makanan, busana, sistem kepercayaan dan yang lain.

Sinar baharu dalam hubungan antara alam Melayu dengan Republik Rakyat  China muncul pada tahun 1970-an apabila timbul rasa saling memerlukan untuk menjalin hubungan diplomatik bagi kepentingan bersama. Malaysia merupakan negara di Asia Tenggara yang pertama yang menjalin hubungan diplomatik dengan Republik Rakyat China, iaitu pada tahun 1974. Hubungan yang pada mulanya lebih tertumpu pada bidang ekonomi, khusunya perdagangan dua hala, beransur-ansur melebar dalam bidang-bidang lain, seperti pelancongan, pendidikan dan kebudayaan. Hubungan itu pada hakikatnya merupakan formaliti yang bersifat kenegaraan, sedang sejak tahun 1946 bahasa Indonesia telah diajarkan di Institut Bahasa-bahasa Asing di Kota Nanjing dan dipindahkan ke Beijing pada tahun 1949 apabila Republik Rakyat China ditubuhkan.

Hingga kini jurusan bahasa atau pengajian Indonesia masih menjadi salah satu fokus pengajian di Universiti Peking dan pada tahun 1961 menjadi salah satu bahasa asing yang diajarkan di Universiti Pengajian Asing Beijing (Beijing Foreign Studies University, atau singkatannya BFSU), sementara di Universiti Pengajian Asing dan Perdagangan Luar Guangdong di Guangzhou pula pada tahun 1970 (Zhao Yue Zhen, 1970). Pada tahun 1961 juga BFSU mula menawarkan kursus bahasa Melayu varian Tanah Melayu dengan Prof. Wu Zong Yu sebagai tenaga perintisnya. Pada tahun 1998 bahasa Melayu mula diajarkan di Institut Bahasa Asing Luoyang dan pada tahun 2001 di Institut Penyiaran Radio Beijing (kini Universiti Komunikasi China). Pada permulaan tahun akademik 2008-2009 pula, iaitu dalam bulan September 2008 Universiti Bangsa-bangsa Peribumi Guangxi (Guangxi University for Nationalities) pula mula menawarkan kursus bahasa Melayu varian Malaysia, sebagai tambahan bagi jurusan bahasa Indonesia yang sedia diajarkan di situ.

Pada 20 Jun 1997, ditubuhkan Pusat Pengajaran Bahasa Melayu di BFSU sebagai hasil persetujuan antara kerajaan Malaysia dengan pemerintah Republik Rakyat China untuk bekerjasama dalam bidang pendidikan, khususnya tentang pengajaran bahasa Melayu di negara China. Pada  1 September 2005 pula ditubuhkan secara rasminya Pusat Pengajian Melayu China, dan dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak yang ketika itu menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Dengan peningkatan program pengajaran bahasa Melayu kepada program pengajian Melayu, Pusat Pengajian Melayu China secara rasminya menjadi pangkalan kegiatan ilmiah dan pengembangan bahasa, sastera dan kebudayaan Melayu di Republik Rakyat China, dengan turut membantu penubuhan Program Bahasa/Pengajian Melayu di institusi pengajian tinggi yang lain di seluruh negara. Pengarah Pusat Pengajian Melayu China ialah Prof. Wu Zong Yu yang memulakan program pengajaran bahasa Melayu di BFSU sejak tahun 1961 dan terus-menerus menjalin kerjasama dengan negara-negara di dunia Melayu.

Satu lagi detik bersejarah dalam hubungan ilmiah dan pendidikan antara dua buah negara ialah penubuhan Kursi Pengajian Melayu Malaysia-Republik Rakyat China merupakan jawatan ilmiah kehormat yang ditubuhkan bersama antara kerajaan Malaysia dengan pemerintah Republik Rakyat China, sebagai pengiktirafan kepada peranan Beijing Foreign Studies University dalam menubuhkan dan mengembangkan program pengajian Melayu di Republik Rakyat China sejak tahun 1961. Kota Beijing merupakan tempat keempat yang memiliki Kursi Ilmiah dengan kerjasama Kerajaan Malaysia, sesudah Ohio University di Amerika, Leiden University di Belanda dan Victoria University di New Zealand. Gagasan penubuhannya telah dicetuskan pada tahun 1996 dalam Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu anjuran BFSU dan Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia dan pada awal tahun 2007 secara rasminya Kursi itu telah ditubuhkan. Pada awal tahun 2008, Kursi itu mula berfungsi dengan pelantikan Prof. Dr. Awang Sariyan oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia sebagai penyandang pertama. Kursi ini antara lain berperanan memperkenalkan bidang-bidang baru dalam pengajian Melayu (bahasa, sastera, budaya dan lain-lain), meningkatkan program ilmiah pada peringkat ijazah pertama dan ijazah lanjutan, melaksanakan penyelidikan dan penerbitan, serta membantu penubuhan dan peneguhan program bahasa/pengajian Melayu di institusi pengajian tinggi di Republik Rakyat China.

Ruangan Maklum Balas ditutup.

  • Arkib

  • Statistik

    1059816
    Visit Today : 273
    This Month : 8069
    Total Visit : 1059816
    Hits Today : 818
    Total Hits : 4351956
    Who's Online : 14
  • Kategori