OLEH KHAIROL ANUAR HARITH FADZILLAH

Pada 23 Oktober 2010, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menetapkan bahawa mata pelajaran Sejarah merupakan mata pelajaran yang diwajibkan lulus untuk semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam peperiksaan tersebut mulai tahun 2013. Pengumuman tersebut telah diumumkan secara rasmi oleh Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Muhammad Yassin, mantan Menteri Pelajaran Malaysia dan mantan Perdana Menteri Malaysia Kelapan ketika menggulung perbahasan Perhimpunan Agung UMNO 2010 pada 23 Oktober 2010. Secara keseluruhannya, tahun 2013 menurut Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Muhammad Yassin merupakan tahun rasmi yang dipilih sebagai langkah untuk memastikan mata pelajaran Sejarah dijadikan sebagai mata pelajaran wajib lulus dalam peperiksaan SPM.

Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) Bab 5 Pembentukan Malaysia dalam Buku Sejarah Tingkatan 5 KSSM

Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) Bab 10 Pemasyhuran Kemerdekaan dalam Buku Sejarah Tingkatan 4 KSSM

Penetapan syarat wajib lulus SPM bagi mata pelajaran Sejarah mulai tahun 2013 bertujuan untuk melatih semua guru Sejarah SPM dan semua calon SPM menghadapi sistem peperiksaan baharu dan pelaksanaan syarat wajib lulus dalam mata pelajaran Sejarah. Selain itu, bertujuan untuk memastikan semua calon SPM mempelajari dan memahami semua bab dalam mata pelajaran Sejarah Tingkatan 4 Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan Sejarah Tingkatan 5 KSSM yang membincangkan kajian sejarah dan pensejarahan Malaysia. Oleh itu, semua calon SPM 2021 diwajibkan lulus dengan mendapat gred C dalam mata pelajaran Sejarah berdasarkan Gred Pemarkahan Mata Pelajaran Sejarah SPM 2021 KSSM seperti yang berikut:

Jadual 1: Gred Pemarkahan Mata Pelajaran Sejarah SPM 2021

Sumber: Gred Pemarkahan untuk Mata Pelajaran Sejarah SPM Bumi Gemilang. Gred SPM Jevt Online. Org.

Pencapaian semua calon SPM 2013 hingga SPM 2020 mendapat gred lulus, kepujian atas, kepujian tinggi, kepujian tertinggi, cemerlang, cemerlang tinggi dan cemerlang tertinggi merupakan hasil didikan terbaik oleh semua guru Sejarah SPM. Hasilnya, semua calon SPM yang berjaya mendapat gred lulus, kepujian atas, kepujian tinggi, kepujian tertinggi, cemerlang, cemerlang tinggi dan cemerlang tertinggi dalam mata pelajaran Sejarah memiliki Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), Kemahiran Pemikiran Sejarah (KPS) dan Pemikiran Kritis dalam Sejarah (PKS).

Kepentingan sejarah Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 telah mengimbas kembali istilah “merdeka” yang berasal daripada istilah dalam bahasa Sanskrit, iaitu “Maharddhikayang bermaksud kekayaan, keagungan dan kekuasaan (Ishak Saidoo, 2015: 662). Oleh itu, kajian sejarah Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dibincangkan dalam Sejarah Tingkatan 4 KSSM Bab 10: Pemasyhuran Kemerdekaan. Selain itu, pembinaan negara bangsa Malaysia yang merdeka dan berdaulat seharusnya dihargai oleh generasi muda dan seluruh rakyat Malaysia. Jelaslah bahawa keunggulan tema “Malaysia Prihatin” sebagai tema Sambutan Hari Kebangsaan Malaysia Ke-64 Tahun pada 31 Ogos 2021 melambangkan keharmonian negara hasil perpaduan erat yang terjalin oleh semua kaum di Malaysia.

Sejarah Pembentukan Malaysia dikenali sebagai Penubuhan Negara Malaysia pada 16 September 1963 menerusi perisytiharan penubuhan negara Malaysia secara serentak di seluruh negara, iaitu di Kuala Lumpur sebagai ibu negara Malaysia, Singapura, Kota Kinabalu (Jesselton) dan Kuching. Perisytiharan penubuhan negara Malaysia di Kuala Lumpur secara rasminya telah diumumkan di Stadium Merdeka oleh Tunku Abdul Rahman di hadapan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu. Seterusnya, perisytiharan penubuhan negara Malaysia di Sabah telah diumumkan oleh Donald Stephens, Ketua Menteri Sabah di hadapan Tun Datu Mustapha Datu Harun dan Tun Abdul Razak Dato’ Hussein, Wakil Kerajaan Persekutuan. Akhir sekali, perisytiharan penubuhan negara Malaysia di Kuching, Sarawak telah diumumkan oleh Tan Sri Dato’ Paduka Mohamed Khir Johari, Wakil Kerajaan Persekutuan dan turut dihadiri oleh Tun Abang Haji Openg Abang Sapiee, Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Ketua Menteri Sarawak.

Pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 berjaya menggabungkan Persekutuan Tanah Melayu dengan Singapura, Sabah dan Sarawak berdasarkan ciri-ciri kepimpinan tokoh tempatan di Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak. Kerjasama di antara Kerajaan British dengan rakyat di negeri-negeri anggota berjaya memastikan kedaulatan negeri terjamin. Perjanjian Malaysia 1963 juga melambangkan kepentingan semua negeri anggota demi mengekalkan kesejahteraan dan perpaduan antara negeri yang telah dicapai oleh seluruh rakyat Malaysia. Namun begitu, pemisahan Singapura dengan Malaysia pada 9 Ogos 1965 telah diumumkan melalui pengumuman rasmi oleh Tunku Abdul Rahman di Parlimen setelah membentangkan rang undang-undang pemisahan Singapura. Rang undang-undang tersebut telah diluluskan dengan keterlibatan 126 orang wakil yang menyokong dan tiada wakil yang menentang atau berkecuali.

Akhbar Utusan Melayu bertarikh 10 Ogos 1965 yang bertajuk Singapura Keluar Malaysia (menceritakan pemisahan Singapura dari Malaysia)

Perisytiharan pemisahan Singapura dilaksanakan tanpa dihadiri oleh para perwakilan dari Singapura. Hakikatnya, pemisahan Singapura mengakhiri pertikaian politik yang berlarutan antara Kerajaan Singapura dengan Kerajaan Persekutuan. Pertikaian politik di antara Malaysia dengan Singapura jika dibiarkan berterusan boleh memburukkan keadaan sehingga mencetuskan rusuhan kaum dan pertumpahan darah. Setelah pemisahan Singapura, Malaysia hanya terdiri daripada Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak (Ruslan Zainuddin, 2004: 288).

Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) Bab 5: Pembentukan Malaysia dalam Sejarah Tingkatan 5 KSSM diajarkan kepada semua calon SPM 2021 yang menduduki peperiksaan SPM pada tahun 2022. Oleh itu, kepentingan sejarah tersebut merupakan iktibar untuk tatapan generasi muda agar mempelajari dengan terperinci sejarah pembentukan Malaysia yang menerima pelbagai reaksi penentangan dari negara Singapura, Brunei, Indonesia dan Filipina. Selain itu, kepentingan sejarah pembentukan Malaysia melambangkan kedaulatan kuasa Raja-raja Melayu dan kewibawaan institusi Raja Berperlembagaan di Malaysia. Malah, kedaulatan kuasa raja yang memayungi rakyat berdasarkan konsep waadat (perjanjian) bermula sejak peristiwa waadat antara Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun di Bukit Seguntang, Palembang, Sumatera Selatan. Jelaslah bahawa kekuatan waadat dalam karya agung Sejarah Melayu yang dihasilkan oleh Tun Seri Lanang melambangkan kedaulatan Raja-raja Melayu ketika era kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka hingga era Raja Berperlembagaan kini.

Kecanggihan teknologi dalam media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan WhatsApp telah menggugat kedaulatan institusi beraja di Malaysia. Hakikatnya, jika kedaulatan institusi beraja di Malaysia tidak dihormati oleh generasi muda nescaya kita akan mengulangi sejarah penghinaan terhadap institusi beraja Melayu yang berlaku sejak pengenalan Perjanjian Malayan Union yang diisytiharkan pada 1 April 1946 di King’s House (Carcosa Seri Negara), Kuala Lumpur. Secara rasminya, perisytiharan Perjanjian Malayan Union telah menggantikan Pentadbiran Tentera British, iaitu British Military Administration (BMA) yang dikuatkuasakan di Tanah Melayu sejak bulan September tahun 1945 (Ramlah Adam, et al, 2015:156).

Ciri-ciri Malayan Union membuktikan bahawa kedudukan sultan tetap dikekalkan. Namun begitu, kuasa sultan semakin berkurangan dan hanya menjadi penasihat kepada Gabenor, selain berkuasa ke atas hal ehwal agama Islam dan adat istiadat Melayu. Hakikatnya, sultan hanya menjadi ahli Majlis Raja-raja Melayu. Malah, pemberian hak kewarganegaraan yang longgar melalui prinsip jus soli telah mencetuskan penentangan hebat oleh orang Melayu terhadap Malayan Union. Jelaslah bahawa Persatuan Melayu Selangor telah mengirimkan surat bantahan ke London berdasarkan petikan dalam kandungan surat seperti yang berikut:

The Secretary of State for the Colonies, London in the name of all Malays in Selangor, the Selangor Malay Association sends you the following resolutions; That all Malays in Selangor unanimously and emphatically protest against new agreements and Malayan Union which gives Malayan Union which gives Malayan citizenship with equal right to non-Malays.”    (Ong Loo Chen, 2015: 165)  

Pemberian hak kewarganegaraan yang longgar melalui prinsip jus soli mencetuskan penentangan hebat oleh orang Melayu terhadap Malayan Union

Penghinaan terhadap institusi kesultanan Melayu menerusi Perjanjian Malayan Union jelas menunjukkan kebimbangan orang Melayu terhadap kehilangan warisan tamadun Melayu yang bermula sebelum era tamadun Kedah Tua. Pelaksanaan Malayan Union akan menghapuskan sejarah kesultanan Melayu dan tamadun Melayu sebagai batu asas pembinaan negara bangsa Malaysia. Oleh itu, kedaulatan Raja-raja Melayu dalam institusi Raja Berperlembagaan dan sistem demokrasi berparlimen seharusnya dipelihara demi kedaulatan negara Malaysia.

Kepentingan pendidikan sejarah di Malaysia melambangkan keunggulan ilmu dan ketulenan kajian sejarah serta evolusi pendidikan sejarah di Malaysia. Selain itu, dapat membina keunggulan tamadun, agama, bangsa dan negara. Oleh itu, tujuan Kementerian Pendidikan Malaysia mewajibkan semua calon SPM mendapat gred lulus, kepujian dan cemerlang dalam mata pelajaran Sejarah telah berjaya melayakkan calon SPM menerima sijil SPM. Malah, kecemerlangan semua calon SPM dalam mata pelajaran Sejarah bukan sekadar ukuran kecemerlangan di atas kertas. Hakikatnya, ukuran kecemerlangan pendidikan sejarah di Malaysia kini merakamkan peristiwa bersejarah sebagai pengajaran kepada generasi muda dan semua rakyat Malaysia agar tidak melupakan sejarah yang lalu malah dapat membina kemajuan dalam kehidupan. Jelaslah bahawa kepentingan pendidikan sejarah di Malaysia dapat melahirkan generasi kepemimpinan negara yang hebat dalam era Revolusi Industri Keempat (RI4.0).

Selamat Hari Kebangsaan Malaysia ke-64 Tahun dan Selamat Hari Malaysia ke-58 Tahun. Dirgahayu Malaysia Tanah Airku!

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    979191
    Visit Today : 425
    This Month : 26662
    Total Visit : 979191
    Hits Today : 1315
    Total Hits : 3980458
    Who's Online : 8
  • Kategori