Oleh: Dr. Nazariyah binti Sani

 

Yang kurik itu kundi,

Yang merah itu saga;

Yang molek itu budi,

Yang indah itu bahasa.

Lirik lagu “tiada kata secantik bahasa” oleh Seniman Agung Allahyarham P. Ramlee menyokong diksi pantun tersebut, iaitu yang indah itu memang bahasa.  Hadirnya bahasa yang indah itu adalah untuk menjadi alat komunikasi yang ampuh lagi bermakna. Keampuhan itu kerana bahasa merupakan alat yang dapat menghubungkan antara sumber dengan penerima. Penerima akan mentransformasi bahasa kepada makna daripada segenap patah kata yang terpancar daripada mulut bangsa.

Bahasa pasti menjadi milik bangsa. Tidak ada bangsa yang tidak bermegah dengan kemolekan budi dan keindahan bahasanya. Hal ini kerana bahasa itu ialah pancaran jati diri, budaya, tradisi, pemikiran dan warna-warni bangsa. Andai tidak bermegah dengan bahasa yang dimiliki, maka punahlah bahasa.

Kemunculan bahasa menjadi milik masyarakat asal sesuatu bangsa itu berakar. Sebagai contoh, bahasa Melayu berkembang dan membentuk jagat tersendiri sehingga bahasa itu kemudiannya terpantul jauh untuk diselami dan difahami oleh bangsa yang lain di seluruh dunia pula. Sekecil mana pun ruang lingkup bahasa itu berakar tetap menjadi suatu kebanggaan terhadap bangsanya. Maka setiap bangsa perlu berjuang memartabatkan bahasa. Tanpa perjuangan suramlah bahasa.

Sebagai pejuang bahasa, kita perlu berminda positif dan tidak lokek ilmu agar kita tidak pernah berasa gagal dalam memperjuangkan bahasa dalam hidup. Lihat pada pejuang bahasa terkenal dunia yang juga pernah mengalami kegagalan dalam perjuangan tetapi tidak pernah berpatah arang untuk bangkit kembali, malah meruntuhkan ego bangsa lain lantas menguasai dunia.

Sebagai pencinta bahasa, kita perlu mempunyai jati diri, daya imaginasi dan idea yang bernas. Jangan ketandusan idea dan minat.  Kelangsungan bahasa berlaku apabila pejuang mendapat platform untuk memanfaatkan minat mereka.

Generasi hari ini perlu menjadi ikon bahasa yang tidak pernah mengalah dan berhenti daripada meningkatkan kadar celik berbahasa. Katakan tidak kepada kegagalan agar tidak sia-sia dan berusaha bersikap positif apatah lagi dalam era pandemik Covid-19 dan usaha dalam mendapatkan akses Internet.  Anggaplah penjajahan bahasa adalah sesuatu yang pasti dilalui oleh setiap pejuang dalam mencapai kejayaan.

Mereka yang berjaya melihat kegagalan sebagai peluang untuk belajar supaya kegagalan tersebut tidak diulangi. Apabila jatuh, mereka akan bangkit semula. Katakan pada diri anda, “aku akan terus bangun, berdiri dan berlari, kerana aku bukan lemah.  Itulah neraca untuk mengimbangi kesejahteraan dalam berbahasa”.

Dalam kita berbahasa dan berinteraksi, kita perlu peka terhadap ciri-ciri bahasa yang mencorak interaksi kita. Maka sebagai pejuang bahasa mahupun pendidik harus berpegang pada prinsip bahawa buku Tatabahasa Dewan sebagai rujukan kita.  Pegang kenyataan tersebut erat-erat!

Semakin dalam kita gali, semakin dalam isi kandungan bahasa yang belum kita ketahui. Akses kepada bahasa itu ialah membaca. Maka bacalah! Sebagai pendidik, didiklah anak bangsa di sekolah dengan sebaik-baiknya. Bertatih pun tidak mengapa, sehinggalah mereka faham dan lancar. Kita raikan semua dan bersikap adil kepada pelajar. Jangan sewenang-wenangnya menghukum tanpa justifikasi kukuh. Bahasa sukar dikuasai tetapi dapat dipermudahkan. Sampaikan informasi yang dapat membina pemahaman dan bukannya mencelarukan pemikiran pelajar tentang bahasa.

Asasnya kita boleh menerima saranan daripada sebahagian pencinta bahasa yang menyatakan apabila kita menyebut huruf semasa berbahasa, kita menyebut huruf yang dapat membentuk bahasa orang yang disasarkan seperti dalam Tatabahasa Dewan, iaitu bahasa Melayu.

Pesanan Umar Abdul Aziz kepada para panglimanya: “Sesungguhnya kita memerangi musuh dan melawan musuh kita dek kerana kemaksiatan yang mereka lakukan, seandainya bukan kerana itu kita sebenarnya tidak mempunyai kekuatan apa-apa pun kerana jumlah kekuatan kita tidak seperti jumlah kekuatan mereka, maka kita mampu menang kerana kekuatan keimanan kita”.

Maka kalian hendaklah mengambil iktibar daripada keperibadian Umar Abdul Aziz tersebut. Kita perangi musuh yang menjahanamkan bahasa kita.  Kita hargai keprihatinan kerajaan melalui Dewan Bahasa dan Pustaka dan mengelakkan campur tangan politik agar tidak berlaku ketegangan dalam usaha mengurangkan kadar literasi bahasa.  Moga pejuang bahasa sekalian dapat memartabatkan bahasa Melayu selayaknya.

Dalam mendidik subjek bahasa Melayu, galakan anak didik untuk sering bertanya dan guru perlu berusaha mendisiplinkan proses pertanyaan tersebut.  Pertanyaan mestilah ada tujuan agar dapat membimbing pertanyaan tersebut dan tidak menyusahkan penjawab tanpa sebarang manfaat. Pertanyaan perlulah santun dan bermatlamat dan bukannya untuk menguji atau memperlekeh guru.  Hanya dengan cara itu, bahasa Melayu akan kembali dimartabatkan di persada dunia.

Misalnya pertikaian tentang penggunaan istilah bahasa Melayu atau bahasa Malaysia. Perasaan ingin tahu telah wujud sejak sekian lama.  Jika dibahaskan memang ada manfaatnya. Namun soalnya apakah manfaat ini dicari-cari? Adakah hal ini akan menambah kesungguhan anak didik dalam berbahasa? Adakah kejahilan terhadap bahasa Melayu akan menjadikan hidup kita hilang kualiti, kurang peranan?  Nyata sekali tidak.

Mengetahuinya tidak bermanfaat, jahil terhadapnya pun tidak memudaratkan.  Maka kebebasan akal untuk berfikir mestilah bertitik tolak daripada sebab yang jelas.  Bukan fikir untuk fikir tetapi fikir untuk mendapatkan sesuatu, iaitu memartabatkan bahasa Melayu agar kembali bersinar. Sesuatu yang dimaksudkan itu membawa erti dalam perjuangan bahasa.  Alhamdulillah, jika satu hari para pejuang dapat membuktikan bahawa pengalaman bertahun mendidik dan bergelumang dengan bahasa dapat dimanfaatkan untuk memartabatkan bahasa Melayu agar lestari di persada dunia.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1138405
    Visit Today : 1075
    This Month : 17082
    Total Visit : 1138405
    Hits Today : 5184
    Total Hits : 4768341
    Who's Online : 13
  • Kategori