Inilah istana tinggalan Tun Seri Lanang yang masih teguh berdiri lama selepas kemangkatannya.

KEGEMILANGAN pemerintahan dan pentadbiran Kesultanan Melayu Melaka telah melahirkan bendahara yang berwibawa dalam memelihara institusi dan kedaulatan raja-raja Melayu. Ketokohan dan keunggulan bendahara seperti Tun Perak misalnya, dikenali sebagai wira, perancang strategi dan penghubung diplomatik. Keturunan bendahara juga mewariskan pelopor budaya, pahlawan serta pujangga Melayu dan kesinambungan raja-raja Melayu khususnya Pahang, Terengganu, dan Johor.

Seorang Bendahari yang amat terkenal, iaitu Bendahara Paduka Raja Tun Muhammad anak kepada Tun Ahmad juga dikenali sebagai Tun Seri Lanang, lahir pada tahun 1565 Masihi di Seluyut, Johor. Beliau menjadi Bendahara kepada dua orang sultan bagi Kerajaan Johor Lama, iaitu Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II (1570-1597) dan Sultan Alauddin Riayat Shah III (1597-1615M).

Sebelum peristiwa Aceh menyerang Johor dalam Perang Batu Sawar pada tahun 1613 Masihi, Tun Seri Lanang telah dititahkan oleh Raja Abdullah, adinda Sultan Alauddin untuk menyusun kitab Sulatus Salatin atau Sejarah Melayu pada 13 Mei 1612 Masihi. Tun Seri Lanang ialah seorang genius Melayu dan berbakat besar menghasilkan sebuah karya agung sehebat menulis Sulatus Salatin.

…” Sultan Johor, beri amanat,
Bukukan kisah, serta riwayat,
Raja Melayu, dan adat istiadat,
Supaya tak hilang, sampai kiamat,

Dato’ Bendahara, jalankan titah,
Tiada berkira, penat dan lelah,
Penuh tafahus, menyusun sejarah,
Agar kisah menjadi ibrah,

Sejarah Melayu, terbuku sudah,
Duli Pertuan, dibawah Sembah,
Jasa Bendahara, telah dicurah,
Bangsa Melayu, dapat faedah,

Sejarah Melayu, agungkan karangan,
Bendahara Muhammad Jadi Sebutan,
Tun Sri Lanang nama timangan,
Pujangga Melayu, tiada tandingan,…”

Sumber: Institusi Bendahara Permata Melayu Yang Hilang; Dinasti Bendahara Johor
– Pahang
oleh Tun Suzana Tun Haji Othman. Kuala Lumpur : Pustaka BSM Enterprise, 2002.

Ketika berlakunya Perang Batu Sawar pada tahun 1613, Tun Seri Lanang dibawa ke Aceh sebagai tawanan bersama-sama Sultan Alauddin Riayat Shah III, Sultan Johor-Riau, adinda Sultan, Raja Abdullah (Sultan Abdullah Maayah Shah) dan kerabat diraja Johor serta 23,000 orang rakyat Johor.

Di Aceh, Tun Seri Lanang dilantik menjadi Penasihat kepada Sultan Kerajaan Islam Aceh Darussalam, iaitu Sultan Iskandar Muda (1607-1636M), Sultan Iskandar Thani (1636-1641M) dan Sultanah Tajul Alam Safiatuddin Shah (1641-1675M). Tun Seri Lanang juga diangkat menjadi Uleebalang (Raja) pertama Samalanga; yang terletak di pesisir timur Aceh, pada tahun 1613 – 1659 Masihi dan terus memerintah selama 40 tahun sehingga kematiannya pada tahun 1659 di Lancok Samalanga, Aceh. Di Aceh, Tun Seri Lanang bergelar Orang Kaya Dato’ Bendahara Seri Paduka Tun Seberang.

Makamnya masih kekal di daerah Kota Blang, Samalanga bersama-sama rumah pusaka tinggalannya. Ketokohan beliau sebagai wira, pemerintah dan tokoh cendekiawan Nusantara memberikan sumbangan yang besar kepada kerajaan Aceh, menukar Samalanga kepada pusat perkembangan dan pendidikan Islam di kawasan timur Aceh selari dengan perkembangan sastera hingga kini. Penulis Haji Buyong Adil, dalam bukunya Sejarah Johor menyatakan Tun Seri Lanang selalu berguru dengan ulama ulama terkenal di Aceh, seperti Nurdin al-Raniri, Tun Acheh, Tun Burhat, Hamzah Fansuri, Syeikh Syamsuddin al-Sumatrani. Hubungannya yang rapat dengan Syeikh Nuruddin al-Raniri menarik kedua-duanya bertukar ilmu ajaran Islam yang dikuasai oleh Syeikh Nuruddin, dan bahasa serta sastera Melayu yang dikuasai oleh Tun Seri Lanang.

Keintelektualan dan ketokohan Tun Seri lanang terus diingati hingga kini khususnya dalam bidang persuratan Melayu. Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) telah memperkenalkan anugerah khas bagi menyemarakkan dunia penulisan, iaitu Anugerah Tun Seri Lanang, anugerah tertinggi yang mengiktiraf penulis-penulis di Singapura sebagai tokoh seni yang ulung di mata masyarakat berbilang bangsa dan budaya Singapura, tokoh antarabangsa di samping menghasilkan karya yang memberi impak untuk memajukan pemikiran masyarakat dalam konteks pembangunan tanpa mengira genre sasteranya. Semenjak dimulakan, anugerah ini telah melalui peredaran zaman dengan berbagai-bagai penulis yang mapan sebagai penerimanya, antaranya Masuri SN (Allahyarham), Mohd. Latiff Mohd., Mohd. Ariff Ahmad, Isa Kamari, A. Ghani Hamid dan ramai lagi.

Makam Tun Seri Lanang masih dapat dikunjungi di Desa Meunasah Lueng, Kec. Samalanga.


Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1059473
    Visit Today : 1363
    This Month : 7726
    Total Visit : 1059473
    Hits Today : 5451
    Total Hits : 4350852
    Who's Online : 10
  • Kategori