OLEH SAMIRON BIN RAHMAT

SUARA PATRIOTISME BERGEMA  

Hening malam digugah apabila tabuh dipalu menandakan bermulanya acara baca puisi patriotik di Sanggar Man Kayan, Kuantan. Lokasi yang mulanya sunyi dengan persiapan rapi para pendukung presentasi, mula hangat dengan aura dan semangat para pejuang silam.

Man Kayan ketika menyampaikan ucapan dan memulakan persembahan.

Apabila nyali dari nama gemulah Dato’ Bahaman, Tok Janggut, Datuk Maharajalela, Tok Gajah dan ramai lagi nasionalis tanah air disebut, maka bernyalalah api kebangkitan. Malam yang dinamakan ‘Baca Puisi Merdeka’ anjuran Kelab Serindit Mati Tersepit bersama-sama dengan Grup Teater Rajuk itu turut menampilkan beberapa orang penyair jemputan.

Majlis tersebut merupakan manifestasi semangat patriotisme yang diraikan oleh para pejuang seni dan sastera kerabat Kelab Serindit Mati Tersepit. Kelab pimpinan Man Kayan, nama besar dalam senarai pencinta lagu-lagu puisi, tradisi dan seni mempertahankan diri Pahang itu, memang sinonim dengan acara sedemikian.

Gabungan tenaga pemuzik ahli kelab Serindit Mati Tersepit mengiringi persembahan.

Program dimulakan dengan bacaan doa dan ucapan pendahuluan ringkas oleh tuan rumah. Premis yang terletak di Permatang Badak, Kuantan, Pahang itu mula terbakar dengan api semangat patriotik yang dinyalakan oleh para pendeklamasi.

Dalam ucapannya, Man Kayan merakamkan penghargaan kepada rakan seni dan sastera yang sudi bertandang ke premisnya. Pendeklamasi dari Pahang, Terengganu dan ibu kota Kuala Lumpur yang turut hadir melambangkan kesatuan fikir dan semangat kecintaan kepada tanah air.

Suasana gelanggang yang menampilkan dekorasi tradisional sentuhan Man Kayan sendiri serta ahli kelab menaikkan lagi aura penghayatan kemerdekaan. Jalur gemilang yang digantung megah menjadi refleksi betapa sambutan mengenang detik bersejarah negara tidak akan luntur walaupun berlangsung dalam modus operandi Prosedur Operasi Standard (SOP) disebabkan pandemik COVID-19.

Wan Thuwaibah, antara pendeklamasi yang turut menyumbangkan suara.

Persembahan dimulakan dengan lagu pembukaan oleh Man Kayan dan ahli Kelab Seridit Mati tersepit, AK Hidayat menyambut undangan dengan melontarkan suara mantapnya dalam puisi Tanggam Warisan, karya Shapiai Muhammad Ramly. Tidak kurang hebatnya pendeklamasi berikutnya seperti Tuk Janggut (TJ) dan Wan Thuwaibah. Persembahan diselang-seli dengan alunan lagu-lagu puisi daripada kerabat kelab itu.

Lagu tradisional dan patriotik seperti Bahtera Merdeka dan Menghilir ke Sungai Pahang telah mengusik perasaan dan emosi penonton. Petikan gitar akustik, ketukan gendang dan tiupan nafiri seruling telah mencantikkan dan melunakkan melodi.

Genta Purba, puisi persembahan Tuk Janggut (TJ) dan Merah Merdeka oleh Nurimas SN, menggamit kembali sejarah perjuangan watak-watak penting di awal proses kemerdekaan negara. Kisah di zaman penjajahan British dan Jepun masih segar dalam ingatan apabila nama Leftenan Adnan, Kanang dan Tok Sagor didendang.

Dengan iringan lagu-lagu instrumental patriotik daripada rakaman audio, persembahan langsung dan gerak silat pendekar menjadikan suasana malam benar-benar hidup. Tiupan seruling, petikan gitar dan ukulele, marakas, dan gendang telah menyerlahkan erti seni tradisi sebenar.

Persembahan seterusnya dipersembahkan oleh vokal mantap juara Sayembara Deklamasi Kemerdekaan peringkat negeri Pahang 2019, Wan Mohd Hanif dengan puisi nukilan Nazim Ahmad Subari, iaitu Warga Sejati Daulah Pertiwi. Beberapa penyair jemputan dari luar juga turut mempersembahkan puisi mereka.

Antaranya ialah M. Bakri dari Gabungan Penulis Nasional (PENA) Kuala Lumpur, Nurimas SN dari PELITA, Terengganu, dan Rahim Ali dari DPM.  Pendeklamasi lain ialah Wan Thuwaibah, MF Jinggawan dari Grup Teater Rajuk, Tok Wan, Borhan, Razak dan Pak Wan dari Kelab Serindit Mati Tersepit.

Kombinasi persembahan sajak, syair, lagu puisi serta alunan muzik tradisional sentiasa tidak menjemukan apabila dimainkan secara berselang-seli. Pelbagai irama dan aura juga kedengaran daripada puisi-puisi mistik, patriotik dan tidak kurang juga yang bertema romantik.

Pemakaian busana tradisi yang menyerikan lagi malam presentasi.

Yang paling menarik adalah pemakaian busana tradisional yang dikenakan oleh setiap individu yang terlibat dalam persembahan pada malam tersebut. Lengkap berpakaian tradisi Melayu, bertanjak, berkeris di pinggang lengkap bersamping cukup untuk mewarnakan persembahan pada malam tersebut.

Pelbagai corak busana dan gaya pakaian seperti baju Melayu Pahang, pakaian Melayu Kedah dan ala pahlawan ditampilkan. Kesemua persalinan tersebut merupakan koleksi pemilik laman tersebut, iaitu Man Kayan sendiri.

Kehadiran penonton yang terhad kerana pematuhan SOP tidak mengurangkan kehangatan apabila disajikan dengan laungan dan ledakan semangat pemuisi hebat. Premis yang sememangnya sinonim dengan kegiatan pentas dan aktiviti seni dan sastera setempat itu, sentiasa hidup.

Program ini berlangsung kira-kira dua jam dan berakhir dengan laungan merdeka sebanyak tiga kali dan lagu penutup. Acara turut dirakam dan disiarkan secara langsung menerusi laman media sosial, Facebook Kelab Serindit Mati Tersepit.

 

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1049075
    Visit Today : 1393
    This Month : 31674
    Total Visit : 1049075
    Hits Today : 5104
    Total Hits : 4304150
    Who's Online : 13
  • Kategori