Oleh: KHAIROL ANUAR HARITH FADZILLAH

Projek Rintis Audit Bahasa Melayu (ABM) telah dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bermula dari bulan Julai hingga Ogos 2012. Pelaksanaan projek ini merupakan langkah kerajaan dalam memartabatkan penggunaan bahasa Melayu di Malaysia. Selain itu, pelaksanaannya juga bertujuan untuk membudayakan amalan kesantunan berbahasa dalam perkhidmatan awam. Pelaksanaan projek ini di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin telah dilaksanakan pada bulan Disember 2012 untuk mengaudit penggunaan bahasa Melayu di JPA. Secara keseluruhannya, projek ini telah berjaya dilaksanakan bermula dari bulan Disember 2012.

Pelaksanaan audit bahasa dalam bentuk situasi menang-menang jelas menunjukkan bahawa pihak pengaudit, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan pihak yang diaudit, iaitu jabatan kerajaan telah mendapat manfaat hasil audit bahasa yang telah dijalankan. Hal ini demikian kerana kementerian dan jabatan kerajaan sememangnya berpengalaman dalam program pemeriksaan sistem penarafan bintang dan penarafan audit yang sudah dijalankan sebelum ini. Hasil projek rintis yang telah dilaksanakan di JPA merupakan penanda aras sebelum diperluas ke kementerian dan jabatan yang lain.

Impak audit bahasa menurut Tan Sri Muhyidin Yasin diperluaskan ke audit bahasa universiti awam selain audit bahasa sektor awam.

Pada dasarnya, definisi perkataan audit menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) merupakan pemeriksaan dan pengesahan kira-kira. Demikian juga dengan makna umum yang tercetus di minda kebanyakan orang apabila menyebut perkataan audit. Namun begitu, perkataan audit menimbulkan konotasi yang menggerunkan dalam kalangan penjawat awam. Hakikatnya, aspek yang menjadi perhatian untuk diaudit berkaitan dengan pengurusan kewangan sesebuah jabatan. Pengauditan tersebut amat menitikberatkan integriti dan akauntabiliti sesebuah agensi kerajaan. Program Audit Bahasa Melayu (ABM) yang diperkenalkan oleh DBP ini menimbulkan persoalan tentang maksud “audit” dan maksud “pengauditan” dari segi bahasa. Jelaslah bahawa maksud “audit” dan “pengauditan” bahasa merupakan aktiviti pemeriksaan dan penggunaan bahasa dalam kalangan kakitangan kerajaan.

Program Audit Bahasa Melayu (ABM) telah memperkenalkan juruaudit bahasa Melayu di setiap kementerian dan jabatan kerajaan. Juruaudit bahasa memainkan peranan penting dalam memantau, menilai tahap penggunaan bahasa Melayu, selain bertindak sebagai pegawai bahasa agar semua pihak mematuhi pekeliling yang dikeluarkan dalam urusan rasmi. Objektif ABM bertujuan untuk memantau penggunaan bahasa Melayu dalam sektor perkhidmatan awam. Malah, ABM menilai penggunaan bahasa Melayu dengan sepenuhnya, penggunaan bahasa Melayu dengan bahasa lain dan penggunaan bahasa Melayu dalam dokumen yang diaudit. Penilaian aspek mutu bahasa pula melihat ketepatan bahasa dari sudut ejaan, tanda baca, kosa kata, struktur ayat, tatabahasa, sebutan dalam komunikasi lisan, kesantunan bahasa, adab dan penyampaian maklumat yang tepat.

Hasrat yang dizahirkan oleh Menteri Besar Perlis berjaya menjadikan Perlis negeri pertama yang terlibat dalam program audit bahasa.

Kejayaan ABM merupakan inisiatif terbaharu pelan strategik DBP tahun 2011-2015 untuk meningkatkan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan penjawat awam dan penjawat swasta di Malaysia. Selain itu, kejayaan ABM selama lapan tahun telah berjaya dilaksanakan sepanjang tahun 2012 sehingga tahun 2020. Persoalannya, apakah impak ABM setelah lapan tahun dilaksanakan. Adakah sektor awam memperoleh penarafan bintang sebanyak 3 hingga 5 bintang dapat mengekalkan “kepatuhan” dan “keberkesanan” penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi? Adakah DBP membuat pemantauan dan pengauditan semula sektor awam berkenaan? Bagaimanakah pula hasil audit bahasa di sektor swasta? Jelaslah bahawa semua persoalan dalam impak pelaksanaan ABM dan hasil program audit bahasa dalam sektor swasta dibincangkan dalam kajian audit bahasa Melayu ini.

Pelaksanaan projek rintis ini menurut Prof. Datuk Dr. Haji Awang Sariyan dalam makalah bertajuk “Audit Bahasa Melayu di Sektor Kerajaan” merupakan impak awal pelaksanaan ABM selama enam tahun. Secara umumnya, pelaksanaannya di ibu pejabat DBP di Kuala Lumpur, DBP Wilayah Utara, DBP Wilayah Tengah, DBP Wilayah Selatan, DBP Wilayah Timur, DBP Cawangan Sarawak dan DBP Cawangan Sabah bermula pada pertengahan tahun 2012. Selain itu, ABM terus dilaksanakan pada 22 April hingga 26 April 2013. Sementara itu, ABM telah bermula di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan pelibatan pasukan audit bahasa DBP dan pasukan audit bahasa sektor awam yang terdiri daripada para pegawai kerajaan yang telah menjalani Kursus Audit Bahasa Melayu. Tahap penggunaan bahasa Melayu dalam dokumen rasmi di 10 jabatan kerajaan di JPA menunjukkan tahap penggunaan bahasa Melayu sebanyak 86 peratus. Penggunaan bahasa Melayu di JPA mencapai tahap 4 daripada tahap 5 tertinggi. Penilaian mutu bahasa di JPA mencapai tahap 5 tertinggi, iaitu sebanyak 89.7 peratus.

Contoh Laporan Audit Bahasa Melayu yang pernah dibincangkan dalam kajian Dewan Bahasa Oktober 2014.

Sepanjang lapan tahun ABM dilaksanakan, program ini telah menunjukkan sebanyak 250 surat rasmi, 221 e-mel, 25 notis, 103 minit mesyuarat, 189 memorandum, 32 laporan, 36 nota pembentangan, 126 dokumen edaran, 28 teks ucapan, 12 maklum balas aduan dan 282 paparan maklumat di JPA telah diaudit. Penilaian aspek mutu bahasa telah menilai aspek bahasa dalam surat rasmi, e-mel, notis, minit, memorandum, laporan, nota pembentangan, dokumen edaran, teks ucapan, maklum balas aduan dan paparan maklumat merupakan korpus dan data yang digunakan di JPA dan di semua jabatan kerajaan di seluruh Malaysia. Selain itu, terdapat kekuatan dan kelemahan meliputi pelbagai aspek bahasa dan tatabahasa yang perlu ditingkatkan dalam penggunaan bahasa Melayu di jabatan dan kementerian hasil susulan yang dilakukan oleh DBP. Oleh itu, DBP telah menyediakan modul kursus penyegaran bahasa untuk mengatasi masalah penggunaan bahasa Melayu yang berlaku di jabatan dan agensi kerajaan berdasarkan kekuatan dan kelemahan penggunaan bahasa, selain mutu bahasa. Kejayaan ABM menunjukkan bahawa pelaksanaannya meliputi sejumlah besar jabatan dan agensi kerajaan di seluruh Malaysia.

Keberkesanan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan penjawat awam merupakan hasil impak ABM. Oleh itu, langkah proaktif kerajaan menempatkan seorang Pegawai Perancang Bahasa, Gred 41 di semua kementerian memberi impak besar dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu dalam kalangan sektor awam. Inilah hasil dan impak pelaksanaan ABM yang bermula dari tahun 2012 hingga tahun 2021.

Kejayaan ABM di Perlis telah mencipta sejarah tersendiri pada 9 Oktober 2013 apabila Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar Perlis telah membuka “Pintu Negeri” yang melambangkan negeri Perlis sebagai negeri pertama melaksanakan ABM. Oleh itu, hasrat Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Azlan Man menjadikan negeri Perlis sebagai negeri pertama melaksanakan program ABM telah disampaikan dalam ucapan Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) Peringkat Kebangsaan 2013 di Dewan Wawasan 2020, Kangar, Perlis. Selain itu, kejayaan negeri Perlis sebagai negeri pertama menjayakan ABM telah memberi impak besar kepada rakyat Perlis menerusi semua papan tanda iklan di Perlis yang menggunakan bahasa Melayu dengan betul dan tepat.

Langkah melaksanakan Sistem Penarafan Bintang Bahasa Kebangsaan (SPBBK) dalam ABM telah dicadangkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapan perasmian Seminar Bahasa Kesusasteraan dan Kebudayaan dalam Pendidikan di Menara DBP, Kuala Lumpur pada 28 Jun 2012. Selain itu, kerajaan juga telah melaksanakan SPBBK sebagai menghargai usaha Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam memartabatkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di tempat awam. Pelan Sistem Penarafan Bintang Bahasa Kebangsaan (SPBBK) secara rintis pada tahun 2013 menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin telah dibangunkan oleh DBP dengan kerjasama jabatan kerajaan tempatan dan kerajaan negeri. Pelaksanaan Sistem Penarafan Bintang Bahasa Kebangsaan dalam ABM jelas menunjukkan bahawa semua kementerian dan jabatan kerajaan di Malaysia mempunyai pengalaman dalam program pemeriksaan sistem penarafan bintang dan penarafan audit kewangan. Pelaksanaan Sistem Penarafan Bintang Bahasa Kebangsaan menjadikan pengurusan jabatan kerajaan di Malaysia lebih efisien.

Komitmen PBT dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu di tempat-tempat awam me­ningkat sebanyak 30 peratus pada tahun 2015 berbanding dengan kadar 15 peratus pada tahun 2014. Hasil SPBBK yang dijalankan oleh DBP sejak tahun 2014 telah meningkatkan penggunaan bahasa Melayu di tempat-tempat awam. Pada tahun 2014, sebanyak 10 daripada 149 PBT telah menggunakan bahasa Melayu di semua tempat awam berdasarkan peruntukan Undang-undang Kecil Iklan. Selain itu, peningkatan sebanyak 30 peratus penggunaan bahasa Melayu di tempat awam merupakan pencapaian terbaik SPBBK. Malah, Laporan Sistem Penarafan Bintang Bahasa Kebangsaan Tahun 2015 menurut Prof. Datuk Dr. Awang Sariyan jelas menunjukkan bahawa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mendapat skor penuh sebanyak lima bintang, selain berjaya mengekalkan kepatuhan dan keberkesanan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi. Pelaksanaan Kempen Sistem Penarafan Bintang Bahasa Kebangsaan telah mewujudkan persaingan sihat antara PBT dengan DBP.

Pencapaian terbaik Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mendapat penarafan bintang sebanyak tiga bintang hingga lima bintang berdasarkan keputusan cemerlang pada skala penilaian aras 5. Kejayaan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mendapat penarafan bintang bahasa sebanyak tiga bintang hingga lima bintang merupakan pencapaian terbaik ABM dalam dunia komunikasi dan multimedia di Malaysia. Malah, KKMM berjaya mengekalkan kepatuhan dan keberkesanan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi. Program Audit Bahasa Melayu di KKMM bermula dari 11 Mei hingga 14 Mei 2015. Oleh itu, Jawatankuasa Pemantauan Penggunaan Bahasa Melayu dalam Media Elektronik telah berjaya memantau penggunaan bahasa Melayu di KKMM.

Sehingga kini DBP dan JPA terus melaksanakan ABM dalam sektor awam. Oleh itu, DBP telah memainkan peranan penting menyeru semua PBT memeriksa penggunaan bahasa Melayu pada papan tanda iklan. Selain itu, menurut Datuk Haji Abang Sallehuddin Abg Shokeran, Ketua Pengarah DBP, terdapat lebih 15 PBT membuat semakan aspek penggunaan bahasa dengan DBP sebelum mengeluarkan lesen berkenaan. Pengesahan penggunaan bahasa Melayu yang betul dibuat secara dalam talian berdasarkan kelulusan DBP dalam tempoh 24 jam. Sebagai contohnya, satu kertas kerja telah dibentangkan oleh Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan yang meminta PBT mewajibkan semakan aspek bahasa kepada DBP sebelum lesen iklan dikeluarkan. Kerjasama PBT bersama-sama dengan DBP amatlah penting dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, selain meneruskan ABM di seluruh Malaysia pada tahun 2021.

Kerajaan Negeri Kedah telah mencipta sejarah dan kejayaan dalam ABM dengan kerjasama DBP secara rasminya bermula pada bulan Oktober 2015. Secara umumnya, ABM di negeri Kedah Darul Aman telah dilaksanakan oleh Dato’ Seri Utama Haji Mukhriz Tun Mahathir sebagai mantan Menteri Besar Kedah. Pelaksanaan awal ABM di negeri Kedah telah memantau aspek penggunaan bahasa pada papan tanda, nama jalan dan nama taman perumahan. Kerajaan negeri Kedah menerima setiap teguran DBP demi memastikan mutu pengau­ditan bahasa Melayu dalam setiap urusan kerajaan ne­geri tidak terhad kepada penamaan jalan dan taman perumahan. Pelaksanaan ABM di Kedah telah memartabatkan bahasa Melayu, kesusasteraan Melayu, sejarah dan kebudayaan Melayu.

Pelaksanaan ABM dalam sektor swasta pula bermula daripada idea Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapan perasmian Seminar Bahasa Kesusasteraan dan Kebudayaan dalam Pendidikan di Menara DBP pada 28 Jun 2012. Dalam ucapannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyuarakan harapan agar rakyat Malaysia tanpa mengira kaum boleh bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik dan betul, selain menggunakan bahasa Melayu di semua jabatan kerajaan, sektor swasta dan di tempat-tempat awam. Pelaksanaan ABM dalam sektor swasta telah membentuk hasil audit bahasa dalam sektor swasta di Malaysia. Jelaslah bahawa hasil audit bahasa dalam sektor swasta menunjukkan bahawa sektor swasta di Malaysia tidak menitikberatkan aspek penggunaan bahasa Melayu dalam urusan kewangan, dokumentasi, seminar dan perniagaan.

Kesedaran sektor swasta menggunakan bahasa Melayu dengan baik dan betul menurut Prof. Dr. Zaharani Ahmad sebagai mantan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP merupakan hasil audit bahasa dalam sektor swasta. Hasil audit bahasa dalam sektor swasta meliputi pelbagai aktiviti seperti penataran bahasa, pemupukan bahasa dan pemantauan bahasa. Penganjuran bengkel penyegaran bahasa turut dihadiri oleh pegawai sektor swasta yang mempelajari cara penulisan memorandum menggunakan bahasa Melayu dengan betul, selain melihat kesalahan bahasa dalam surat-menyurat dan pelbagai dokumen rasmi sektor swasta.

Pada dasarnya, majikan sektor swasta tidak mahu menggunakan bahasa Melayu menurut Prof. Dr. Zaharani Ahmad apabila majikan sektor swasta tidak menggunakan istilah bahasa Melayu yang sesuai dengan istilah bahasa Inggeris. Namun begitu, Prof. Dr. Zaharani Ahmad menegaskan bahawa terdapat pelbagai istilah dalam bahasa Melayu yang boleh digunakan dalam sektor swasta. Maka, DBP bertindak menegur penggunaan bahasa Melayu dalam sektor swasta tanpa mengenakan penalti. Hasil audit bahasa terhadap sektor swasta diperoleh melalui cara dakwah, pantau dan audit. Hakikatnya, jika pegawai sektor swasta tidak cekap berbahasa Melayu, mereka perlu menghadiri kursus bahasa yang dianjurkan oleh DBP. Sebagai contohnya, PBT mewajibkan setiap iklan, papan iklan dan papan tanda yang diluluskan oleh DBP dalam pengesahan bahasa mesti disahkan oleh DBP seperti yang dilakukan oleh Unit Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara.

Demikian secara keseluruhannya, impak Projek Rintis Audit Bahasa Melayu dan Program Audit Bahasa Melayu dalam memartabatkan bahasa Melayu sepanjang tahun 2012 hingga tahun 2021. Martabat bahasa Melayu dalam Projek Rintis Audit Bahasa Melayu dan Program Audit Bahasa Melayu di Malaysia teguh berdiri menempuh pelbagai cabaran pembangunan dan globalisasi dalam sektor awam dan sektor swasta. Kejayaan projek dan program ini melambangkan ketinggian martabat bahasa Melayu di Malaysia.

BIBLIOGRAFI

Azran Jaffar, 2015. “DBP Martabat Bahasa Kebangsaan dalam Sektor Perbankan” dalam Berita Harian 15 Jun.

Awang Sariyan, 2013. “Petikan Bahasa”, Dewan Bahasa, 13: 8.

Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Muhamad Ikhram Fadhly Hussin, 2013. “Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2013 Peringkat Kebangsaan”, Jendela Utara, 38: 12.

Muhammad Nizam, 2012. “Audit Bahasa Bangsa”, dalam ruangan Minda, Harian Metro, 2 Ogos.

Nik Safiah Karim, et al., 2004. Bahasa Melayu STPM Kertas 1 dan Kertas 2 Fajar Bakti: Kuala Lumpur.

Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Haji Musa, Abdul Hamid Mahmood. 2011. Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, 20-27. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Suhaimi Mohd Salleh, 2013. “Perancangan Bahasa Melayu Moden”, Pelita Bahasa, 25: 6.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1138247
    Visit Today : 917
    This Month : 16924
    Total Visit : 1138247
    Hits Today : 4474
    Total Hits : 4767631
    Who's Online : 24
  • Kategori