OLEH MUHAMAD RAFIQ ABDUL RAHMAN

Sejak belakangan ini kes buli di Malaysia kian meningkat seperti wabak COVID-19 yang tidak dapat dibendung dan masih menggunakan pelbagai formula untuk menanganinya. Boleh dikatakan setiap bulan ada sahaja paparan baharu yang akan ditular melalui telefon pintar mahupun paparan web seperti YouTube. Gejala ini ibarat kata pepatah, mencurah air di daun keladi, kerana sehingga kini perilaku ini kian sukar diatasi permasalahannya.

Berdasarkan daftar pelanggaran disiplin pelajar oleh Kementerian Pendidikan Malaysia mendapati bahawa pada Januari hingga Jun 2018 kes buli di sekolah mencatatkan angka sebanyak 1054 kes. Pada tahun 2017 sahaja sebanyak 2795 kes dilaporkan. Kaji selidik oleh Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mendedahkan bahawa tujuh daripada 10 orang kanak-kanak di negara ini bimbang tentang isu buli. Nisbah ini sangat tinggi berbanding dengan kadar tiga daripada 10 orang kanak-kanak di Jepun atau empat daripada 10 orang kanak-kanak di Britain yang bimbang akan gejala ini.

Jelas Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye, berdasarkan laporan tersebut menunjukkan betapa kanak-kanak di negara ini sangat prihatin terhadap isu ini. Malah lebih membimbangkan lagi hasil kaji selidik global itu juga mendapati bahawa 54 peratus kanak-kanak merasakan pandangan dan suara mereka terhadap isu ini tidak mempengaruhi perubahan. Hal ini merupakan satu “penyakit” yang sangat berbahaya kepada pertumbuhan kanak-kanak di negara ini yang juga bakal mewarisi negara ini suatu hari nanti.

Persoalan yang timbul, bagaimanakah kanak-kanak ini akan mencorakkan negara ini semasa mereka menerajui pertumbuhan kemajuan negara sekiranya persekitaran mereka tidak selamat dan lebih menggusarkan ialah apabila ada antara mereka yang pernah mengalami masalah buli ini dan menyimpan memori ini hingga ke dewasa kelak?

Menurut laporan yang diterima oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, dari tahun 2012 hingga 2015 mencatatkan lebih daripada 14 ribu kes buli berlaku dalam kalangan pelajar sekolah. Pecahannya mengikut tahun ialah 4159 kes (2012), 4120 kes (2013), 2825 kes (2014), dan 2968 (2015). Selain itu, berdasarkan statistik CyberSecurity Malaysia pula, buli siber dalam kalangan pelajar berlaku hampir setiap hari, iaitu 250 kes dilaporkan pada tahun 2012, 389 kes pada tahun 2013, 291 kes (2014), 256 kes (2015) dan 338 kes pada tahun 2016.

Hal ini menunjukkan bahawa, akibat daripada perubahan masa dan kepesatan kemajuan teknologi, skop pembulian tidak hanya berlaku dalam bentuk fizikal di tempat-tempat seperti sekolah, asrama, universiti, atau tandas, malah telah meluas hingga ke alam maya. Situasi ini menampakkan masalah ini kian membesar keseriusannya untuk diatasi.

Kita sedia maklum, adegan membuli ini berakar sejak sekian lamanya. Aktiviti membuli ini popular dalam kalangan pelajar yang belajar di asrama. Motifnya, konon mendidik pelajar-pelajar baharu tentang peraturan yang perlu dipatuhi di asrama selain membiasakan mereka hidup berdikari. Aktiviti ini ada baik dan buruknya, tetapi sejak akhir-akhir ini ketika zaman yang kini dipelopori generasi Z, gejala buli menghilangkan kebaikan malah menonjolkan sikap buas golongan ini.

Yang lebih tragis, kes buli kini telah menyebabkan ramai remaja dan kanak-kanak berisiko menghabiskan sisa-sisa hidup mereka di penjara, juvana atau pusat pemulihan akhlak. Mana tidaknya, kes melibatkan sekumpulan remaja membuli hingga membawa kepada kematian, selain mendatangkan kecederaan parah dan cacat kekal sudah terbiasa dihidangkan di dada akhbar. Yang lebih mendukacitakan, perilaku ini turut dilakukan oleh mereka yang berumur 12 tahun ke bawah.

Bukan itu sahaja, dengan sikap sebenar generasi Z yang dikatakan hidup dalam dunia teknologi dan perubahan minda yang pesat ini, pembuli bukan sahaja dilakukan oleh golongan lelaki tetapi telah merebak kepada golongan hawa yang sedikit-sebanyak mencacatkan pandangan dan persepsi masyarakat akan “kewanitaan” mereka.

Menurut Pensyarah Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr. Rozmi Ismail, pembuli jadi sedemikian kerana mereka mengalami masalah emosi dengan kurang rasa empati, kebanyakan mereka kurang keyakinan, menggunakan kekerasan untuk membalas dendam dan mengalami masalah interaksi. Hasil kajian juga mendapati bahawa, pembuli selalunya datang daripada keluarga yang bermasalah seperti penceraian, ibu bapa yang suka bertengkar atau bergaduh di hadapan anak-anak sehingga menyebabkan anak-anak tersebut beranggapan perilaku tersebut sebagai sebahagian daripada norma kehidupan.

Jelas Dr. Rozmi, bagi pembuli, perilaku membuli seperti memukul, memaki hamun atau bergaduh merupakan perkara yang biasa dalam kehidupan seharian mereka kerana mereka telah terbiasa disajikan dengan sepak terajang dan bertikam lidah keluarga atau rakan terdekat. Oleh hal yang demikian, faktor ini menyebabkan pembuli tidak mempunyai perasaan bersalah atau sedih sekiranya hal ini berlaku malah merasakan hal ini perkara kecil.

Faktor lain yang mendorong perilaku buli ialah pengaruh daripada keadaan sekeliling, pengaruh media, filem, televisyen serta Internet. Lebih parah apabila ada dalam kalangan ibu bapa atau rakan dan dirinya sendiri terjebak dengan najis dadah secara terlarang. Penyebab-penyebab ini menjadi faktor yang mendorong pembuli ini akan bertindak agresif terhadap mangsanya.

Kajian Kesihatan dan Mobiliti Kebangsaan pada tahun 2015 mendapati kira-kira 4.2 juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas atau 29.2 peratus daripada jumlah penduduk di negara ini mengalami pelbagai masalah mental. Statistik ini menunjukkan peningkatan sebanyak 11.2 peratus berbanding dengan tahun 2006. Selain itu, nisbah masalah mental golongan pelajar telah meningkat daripada satu dalam 10 orang pada tahun 2011 kepada satu dalam lima individu pada tahun 2016.

Lebih membimbangkan, menurut Profesor Datin Dr. Noran Fauziah Yaakub, Pensyarah dan Pakar Psikologi, Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya, daripada lima ribu orang kanak-kanak di seluruh Malaysia yang ditemuinya yang juga mangsa buli, mendapati dua kes mangsa buli berniat membunuh diri. Kekhuatiran akan permasalahan ini seharusnya dipandang serius oleh semua pihak kerana wabak ini kian menular ke seluruh pelosok negara dan bakal menjadi penyakit yang sukar dibendung jika tidak diatasi secara total.

Bagi menyelesaikan isu ini, pelbagai pihak perlu bersama-sama turun padang untuk membanteras gejala buli ini. Jika kita lihat, saluran media sosial seperti facebook, instragram, twitter, dan whatapps boleh digunakan sebagai wadah mendidik ibu bapa, remaja, dan keluarga tentang permasalahan buli ini. Kempen 1 keluarga 1 anak angkat boleh juga dijadikan sebagai pendorong kepada agensi di bawah kerajaan untuk memulakan pencegahan ini.

Kempen yang mendidik anak-anak yang bermasalah dalam pembelajaran, penceraian, anak yatim, atau anak tidak sah taraf ini dihantar ke rumah keluarga angkat yang mempunyai latar belakang keluarga bahagia sekurang-kurangnya dapat membantu mereka merasai suasana kehidupan “kasih sayang” yang sebenar. Apabila remaja bermasalah ini merasai diri dihargai, kes-kes yang melibatkan remaja liar dapat dikurangkan dengan bantuan komuniti setempat tanpa perlu tindakan yang bersifat hukuman.

Selain itu, peranan media juga perlu dalam bersama-sama menangani masalah ini. Deretan hiburan yang tidak bermanfaat kepada kanak-kanak dan remaja menyebabkan mereka mudah terpengaruh. Kerajaan dan pihak swasta harus bersama-sama mengehadkan siaran hiburan yang tidak membawa nilai-nilai positif kepada masyarakat dan menekankan ilmu pendidikan, kekeluargaan dan kasih sayang dalam program atau cerita yang mampu membangkitkan nilai-nilai murni kepada penonton khususnya kanak-kanak dan remaja.

Tidak ketinggalan, peranan komuniti setempat juga dapat mengurangkan isu ini. Apabila komuniti setempat aktif dalam menganjurkan pelbagai program kekeluargaan, hal ini akan menyebabkan keluarga yang pasif atau remaja yang kurang berminat dalam aktiviti kemasyarakatan terdorong untuk terlibat melalui pelibatan rakan sebaya mereka.

Kesemua tindakan ini jika diselaraskan dengan baik pastinya akan memperoleh keputusan yang positif kerana mendidik tidak semestinya perlu melalui hukuman. Kita perlu ingat, penerimaan, pemikiran, dan kematangan golongan remaja pada zaman ini tidak sama seperti yang dilalui oleh mereka yang berada di era 90-an ke bawah. Tindakan-tindakan tersebut harus sejajar dengan keadaan perubahan semasa yang membolehkan golongan pembuli ini atau golongan remaja tidak terasa terkongkong, terpaksa, atau terhukum tetapi lebih merelakan diri untuk berubah demi masa depan yang lebih baik.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1138406
    Visit Today : 1076
    This Month : 17083
    Total Visit : 1138406
    Hits Today : 5197
    Total Hits : 4768354
    Who's Online : 16
  • Kategori