OLEH MUHAMAD RAFIQ ABDUL RAHMAN

“MALAYSIA dan Indonesia sebenarnya satu, tetapi kita dipisahkan oleh mereka yang menjajah” – itulah antara bait-bait dialog yang terkandung dalam Teater Malam Kemerdekaan yang dipentaskan bersempena program manifestasi Stor Teater dan Dekad Bahasa Kebangsaan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka dan Persatuan Teater Malaysia pada 6 dan 7 September 2019 yang lalu di Stor Teater DBP.

Naskhah yang dihasilkan oleh Sasterawan Negara, Usman Awang ini sememangnya membawa maksud yang cukup tersirat mesejnya baik kepada rakyat di negara ini mahupun kepada negara jiran atau “saudara” kita sendiri, Indonesia. Pengisahan yang berlaku sebelum Tanah Malaya menyambut Kemerdekaan pada tahun 1957 ini tercetus apabila Affandi, seorang anak muda yang merupakan seorang reformis tekad meninggalkan Tanah Malaya dan berkelana di Indonesia untuk bersama-sama saudara sebangsa dan seketurunannya untuk mencapai kemerdekaan yang mutlak.

Berlatarkan diri sebagai seorang pejuang yang sebelum itu turut aktif dalam gerakan politik pemuda tanah air serta dipengaruhi akan keberanian dan kehebatan pejuang tokoh silam seperti Datuk Bahaman dan Datuk Janggut membuatkannya lebih membuak-buak untuk menuntut kemerdekaan melalui peperangan seperti mana yang berlaku di Indonesia melalui konfrontasi dan bukannya perjanjian damai antara Inggeris dengan Tanah Malaya.

Setelah sekian lama berbakti kepada bumi Indonesia, Affandi akhirnya pulang ke pangkuan ibunya dan yang paling dirindukan Murni, kekasihnya yang ditinggalkan sekian lama tanpa khabar berita. Konflik dalam teater ini mula tercetus setelah kepulangan Affandi ke tanah air. Hal ini kerana, Murni yang ditinggalkan bersama-sama ibunya untuk tempoh masa yang lama telah berkahwin dengan Engku Bahri, sahabat Affandi yang juga bersama-samanya dalam memacu pergerakan politik muda di Tanah Malaya.

Pembawaan diri Engku Bahri – yang juga seorang Bangsawan serta perbezaan pemikiran ideologi anta Engku Bahri dan Affandi semakin tegang setelah Affandi mendapat tahu yang rakannya itu telah berkahwin dengan Murni. Sejak itu, Affandi menjadi lebih agresif dan lebih menampakkan dirinya sebagai seorang sosialisme terhadap Engku Bahri.

Affandi secara terang-terangan mengatakan Bahri bukanlah seorang pejuang sejati dan kemerdekaan yang bakal di kecapi pada malam 31 Ogos itu bukanlah bersifat perjuangan atau lebih tepat kejantanan. Hal ini menyebabkan Affandi sering menyerang kepada Engku Bahri dengan kata-kata yang cukup terkesan dan menyakitkan hati. Kematangan dan kebijaksanaan Engku Bahri mengawal emosi dan cuba menerangkan kepada Affandi akan perjuangan di Indonesia dan Tanah Malaya adalah berbeza mengikut pembawaan pemikiran dan keinginan pemimpin di negara masing-masing.

Sifat angkuh dan nafsu amarah Affandi mula kendur dan kembali normal setelah menyedari dirinya yang bersalah dalam segala hal kerana meninggalkan ibu dan kekasihnya tanpa sebarang berita. Keberanian Engku Bahri menceritakan hal sebenar akan pengorbanan Murni dan dirinya dalam membantu menyara ibu Affandi dan menjaganya sejak pemergian ke Indonesia menyebabkan Affandi sedar dan menerima ketentuan perjalanan hidupnya.

Keberanian pengarah teater ini, Aris Othman membariskan pelakon muda dalam menggalas mesej yang hendak disampaikan patut disanjung. Hal ini kerana, pembaca dan pengikut tulisan Usman Awang sedar bahawa naskhah yang dihasilkan oleh tokoh ini sememangnya sukar untuk ditemui konflik dalam tulisannya dan hal ini memerlukan kekuatan dalam lakonan pelakon untuk menjiwai dan memberikan “rasa” kepada penontonnya.

Antara teraju yang menjayakan pementasan ini ialah Sri Idrina (Melati), Lin Haslinaz (Murni), Affandi (Rafiq Rahman), Engku Bahri (Nik Aqil), Ibu (Nor Suraya) dan Doktor (Rasdi Daud).

Selain itu, sinografi teater ini juga tidaklah berat atau padat. Hanya memaparkan suasana di dalam sebuah ruang tamu rumah dengan set meja makan yang biasa yang menunjukkan akan kesederhanaan keluarga Affandi. “Jiwa” dan nostalgia penonton mula diberikan dengan memainkan lagu-lagu 50-an sebelum pementasan berlangsung. Lagu tema, Semalam Di Malaya sememangnya kena dan membuatkan pengisahan naskhah ini lebih mudah difahami oleh penontonnya.

Sememangnya pementasan ini cukup kena dan tepat masanya dipentaskan. Kita sendiri lihat dan rasa akan permasalahan kaum yang semakin meruncing di negara ini yang melibatkan kaum utama di negara ini selain “permasalahan” yang cuba dimomokkan oleh rakyat dan pemimpin negara jiran terhadap negara ini kian meningkat. Sekiranya mereka memahami mesej persaudaraan yang dipaparkan dalam naskhah ini, penulis rasakan rakyat di Indonesia tidak sekali-kali cuba mencetuskan provokasi dengan negara ini malah menganggap negara ini sebagai sebuah negara yang cukup dekat dan cukup erat atau lebih tetap sebagai negara adik-beradik!

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1138311
    Visit Today : 981
    This Month : 16988
    Total Visit : 1138311
    Hits Today : 4717
    Total Hits : 4767874
    Who's Online : 12
  • Kategori