Judul: Kepada Adinda yang Jauh di Mata

Penulis: Mahizan Husain

Pengulas       : Abdullah Hussaini bin Mohd Ghazali

Penerbit       : Dewan Bahasa dan Pustaka

KEPADA Adinda yang Jauh di Mata merupakan buah tangan terbaharu sasterawan dari utara tanah air, Mahizan Husain. Novel ini menganugerahkan kepada pembaca sejumlah watak dengan pelbagai karenah serta jenaka. Pembaca jangan tertipu dengan tajuk panjang novel ini yang memberi indikasi seakan novel cinta leleh. Novel ini tentang seorang lelaki biasa yang tidak bahagia, seorang gadis dan kafenya, seorang pelukis mural dan warna-warnanya, seekor kucing gemuk dan sebuah kedai buku yang menghadapi hari-hari terakhirnya. Nah, kedengaran biasa tetapi percayalah anda akan menikmati kepuasan sesegera di bab pertama lagi yang bermula dengan sebaris ayat penuh mendalam, ‘Hidup adalah sungai kecil sebelum bertemu laut azali’.

Saya asyik tersengih dan menyimpul senyum sepanjang pembacaan. Suasana humor terpapar jelas baik melalui dialog, latar atau konflik yang ditimbulkan. Pada bab awal lagi sudah ada yang menggelikan hati apabila diberitahu nama kucing peliharaan Ruhi (watak utama cerita) adalah Maxwell Perkins, seorang editor terkenal dari Amerika yang telah banyak membantu menaikkan nama penulis-penulis hebat seperti Thomas Wolfe, Ernest Hemingway dan F.Scott Fitzgerald. Kucing ini gemuk, sejenis kucing rumah yang kuat makan selain suka mencakar sofa. Pada bab-bab seterusnya pembaca akan mendapati kucing ini turut mempunyai peranannya dalam kehidupan Ruhi. Anda tentu tidak menjangka pengakhiran Maxwell dalam kehidupan Ruhi. Laras bahasa yang digunakan Mahizan Husain dalam novel ini jauh berbeza daripada novel sebelumnya seperti Jogosimo atau Selendang Delima tetapi mendekati laras bahasa dalam novel-novel mutakhirnya seperti Narsis atau Raka.

Perbezaan laras bahasa ini disebabkan latar dalam novel ini yang lebih moden serta kontemporari. Justeru pembaca akan menemukan jenaka-jenaka terkini selain loghat Pulau Pinang yang pekat. Saya baru menyedari, bahawa bahasa Melayu loghat Pulau Pinang selalunya bernada ceria, memberi aura lucu dan gurau senda. Mahizan memanfaatkan hal ini ke dalam dialog-dialog watak dan menjadikan cerita ini lancar dan dekat dengan realiti. Ada banyak dialog yang membuatkan pembaca terhibur dan dalam masa yang sama terpesona dengan keupayaan penulis menghasilkannya; bersulam jenaka, bertenaga dan sesekali berfalsafah. Sememangnya dialog adalah sendi yang penting dalam sesebuah cerita.

Namun, sebuah novel tidak hidup tanpa konflik. Memetik kata-kata Shahnon Ahmad dalam bukunya Sastera Sebagai Siesmograf Kehidupan, kata ‘konflik’ diulang tiga kali apabila ditanya bagaimanakah mahu menghasilkan cerita yang baik. Dengan konfliklah cerita berkembang, sama ada penulis menceritakan latar konflik dahulu, menerangkan konflik, atau bagaimana watak utama berdepan konflik tersebut. Pada awal bab lagi pembaca sudah diheret ke konflik yang mencengkam Ruhi. Beliau telah kehilangan pekerjaan yang dicintainya walaupun dia cuma bekerja kilang dan sering mengakui selalu merasa bosan melalui rutin sama setiap hari. Sebelum itu pembaca juga diberitahu Ruhi sudah berpindah ke Pulau Pinang sejak berusia 18 tahun. Pembaca boleh faham akan perangainya kemudian yang kelihatan tidak begitu matang. Konflik mengheretnya lagi ke konflik yang lain. Percintaan Ruhi dan kekasihnya, putus tidak lama kemudian. Mulia, teman wanitanya yang sudah lama berpasangan, mengambil keputusan untuk berkahwin dengan lelaki lain. Di sini kita sudah boleh faham mengapa Mulia mengambil tindakan sedemikian dan dari sini juga cerita terus berkembang ke plot yang lebih menarik.

Konflik-konflik ini akhirnya menyerlahkan perangai-perangai negatif Ruhi. Selepas berhenti kerja dan hilang kekasih, Ruhi berubah teruk. Kehidupannya tidak terurus, dia memilih pekerjaan dan bersikap xenophobia. Mahizan Husain bijak menyelitkan isu-isu global yang menghimpit marhaen. Saya melihat novel ini bukan sekadar tentang kekecewaan watak utama tetapi juga kritikan terhadap bangsa Melayu. Apabila melihat Ramesh sebagai pekerja yang lebih atas daripadanya, Ruhi tidak menunjukkan rasa hormatnya langsung terhadap pekerja dari Nepal itu. Di kafe milik Puspa, Ruhi sering merasakan layanan diberi oleh pelanggan serta bosnya sebagai tidak adil. Dia selalu merungut dan mengutuk Ramesh dengan menambah gelaran ‘si Nepal’ atau mengatakannya berbau busuk. Padahal Ramesh tidak menindasnya langsung. Ruhi bergaduh dengan pelanggan dan enggan meminta maaf walaupun jelas dia bersalah. Walaupun dia menyukai Puspa tetapi dia tidak mempunyai inisiatif langsung untuk membuatkan dirinya disukai. Bersama kawan baiknya, Azrai, mereka selalu ponteng kerja dan melakukan hal tidak berfaedah.

Anda tentu terganggu dengan perangai Ruhi yang menjengkelkan. Pada permulaan cerita ini, Ruhi ialah seorang antihero yang sering merasakan pandangan dirinya sahaja yang betul. Dia fikir dirinya selalu tidak dihargai dan usahanya tidak diendahkan. Disebabkan hal itu dia membuat keputusan berhenti kerja dari kafe Puspa, walaupun orang-orang di kafe itu melayannya dengan baik. Selepas berhenti Ruhi masih memilih kerja, bermalasan sebelum akhirnya menerima kerja di kedai buku milik Ibtihal. Saya hampir telupa hendak menyebutkan bahawa Ruhi juga ialah seorang yang gemar membaca dan bercita-cita menjadi penulis skrip. Dia sering mengkritik skrip drama-drama atau filem tempatan yang tidak berkuatliti. Hal inilah yang memberi pertimbangan besar kepadanya menerima tawaran daripada Ibtihal untuk menjaga kedai bukunya. Ruhi bertahan kerja di situ, dikelilingi buku-buku lama dan langka. Di situ jugalah dia bertemu Ivana, seorang gadis cantik, pelukis mural dan juga kawan baik Puspa. Perkenalannya dengan Ivana menguntumkan perasaan cinta. Dari sini jugalah perlahan-lahan sikap serta pandangan Ruhi juga berubah ke arah positif. Nampaknya gabungan buku dan cinta selalunya memekarkan kebaikan.

Semacam berlaku cinta tiga segi selepas itu di antara Ruhi, Puspa dan Ivana. Tetapi novel ini tidak sekadar perihal cinta mereka sahaja. Ada banyak hal-hal positif yang berlaku setelah itu, bagai menyeimbangkan perasaan jengkel pembaca terhadap sikap Ruhi pada awal cerita. Perubahan ini turut tertempias kepada sahabat baiknya, Azrai dan mereka kemudian berusaha gigih untuk membetulkan kehidupan mereka. Mengejutkan, penghujung cerita ini tidak berakhir seperti yang saya jangka langsung. Tetapi saya cukup berpuas hati setelah tamat membacanya. Dapatkan novel ini, baca dan beritahu saya, benar atau tidak seperti yang saya nyatakan!

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1058912
    Visit Today : 801
    This Month : 7164
    Total Visit : 1058911
    Hits Today : 2755
    Total Hits : 4348156
    Who's Online : 10
  • Kategori