Judul: Kumpulan Puisi Remaja Tasbih Rindu
Penulis: Nurfarhan Hamzah
Terbitan: Dewan Bahasa dan Pustaka
Pengulas: Ismail Hashim

Pendeta Za’ba mendefinisikan puisi ialah karangan berangkap yang sesuai bagi  melafazkan buah fikiran yang cantik dengan menggunakan bahasa yang indah dan melukiskan kemanisan dalam kecantikan bahasa. Beliau turut menyatakan bahawa karangan yang berangkap tersebut perlu disusunkan dengan bahagian yang berkerat-kerat dan antara sekerat dengan sekerat yang lain itu, biasanya berjodoh bunyi atau rentaknya atau isinya serta kebanyakan menggunakan timbangan rimanya yang tertentu.              

Nurfahan Hamzah telah menggunakan ciri-ciri yang disebutkan di atas  dalam menghasilkan kumpulan puisi yang berjudul Tasbih Rindu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Penulis telah membahagikan puisi-puisi hasil nukilannya kepada dua bahagian tema yang berlainan, iaitu Pohon Pedoman dan Gelora Kehidupan. Pedoman dan kehidupan adalah saling berkaitan antara satu sama lain, iaitu memerlukan petunjuk daripadaNya.Bahagian puisi Pohon Pedoman mengandungi 36 buah puisi dan bahagian puisi Gelora Kehidupan pula mengandungi 72 buah puisi.

Dalam Pohon Pedoman, penulis telah mengenengahkan kepentingan pedoman daripada Tuhan bagi menyuburkan pembentukan sifat murni ke dalam diri seseorang dengan memiliki sifat-sifat seperti takwa, syukur dan memohon petunjukNya bagi menuju kehidupan yang lebih sejahtera.

Hal ini adalah kerana dalam kehidupan itu sendiri mengandungi berbagai-bagai ranjau dan duri dan dalam mengatasi segala rintangan atau apa jua permasalahan itu kita memohon pedoman dan petunjuk daripada Tuhan bagi mempermudahkan kita mengatasi segala kesulitan itu.

Di dalam sebuah puisinya yang berjudul Pohon Pedoman, penulis telahmembuat pernyataan seperti berikut;

Kutanam pohon pedoman

di ladang akliah

biar pohon ini bertunjang iman

merendang subur daun takwa

aku pasrah kepada-Nya.

Penulis telah menerangkan sikap-sikap yang perlu diasuh sejak dari kecil ke dalam diri seperti keimanan, takwa dan mendekatkan diri kepada Tuhan.

Dalam puisi Tasbih Rindu yang menjadi judul kepada kumpulan puisi yangdihasilkan itu, penulis telah mengungkapkan bait-bait puisi yang berikut;

Tasbih rindu

tertebar di saujana langit

syahdu

tak terkata akan kebesaran-Mu.

Berlaku kekeliruan di dalam ucapan penulis antara rindu dan keagungan Tuhan yang dimaksudkan itu. Kerinduan sebenar yang dimaksudkan ialah keinginan hendak berjumpa dengan orang yang dikasihi. Penulis seharusnya lebih berhati-hati dalam memilih diksi yang lebih sesuai untuk mengungkapkan maksud yang lebih berkesan untuk disampaikan kepada pembacanya.

Pada bahagian puisi Gelora Kehidupan yang mengandungi pelbagai tema kehidupan berkaitan dengan kemiskinan, keindahan kampung halaman, perbuatan sumbang mahram, perpaduan, kerinduan, pencemaran dan pelbagai tema yang lain. Tema yang sedemikian memang terdapat di dalam warna-warna kehidupan itu sendiri.

Melalui puisi Gelora Kehidupan, penulis mengajak pembaca supaya membina ketabahan diri sebagai elemen penting di dalam melalui liku-liku kehidupan dengan tidak mudah mengalah dalam mencapai apa jua kejayaan yang diinginkan. Hal ini adalah sepertimanayang dinyatakan di dalam bait-bait puisinya;

Tabahlah adikku

mengharung gelora kehidupan

di laut hayat

usah mengalah adikku pada pancaroba ini

kerana inilah perjuangan

adikku

harunglah gelora kehidupan ini

demi sebuah kemenangan!.

Penulis juga ada berpesan kepada penyair supaya terus menghasilkan karya puisi dan tidak terbenam dengan sikap jemu atau berputus asa. Dalam Sajak Kepada Penyair (II), penulis telah berpesan dalam ungkapan seperti berikut;

Di batas-batas waktu

aku masih lagi mencari-cari suaramu

bagai dulu

tetapi tiada kudengar

merdu deklamasi puisi-puisimu

disini, di pentas kehidupan ini.

Dimanakah kau menghilang kini.

Dalam meniti alam remaja, penulis juga mengalami degup cintanya yang terjalin melalui sebuah persahabatan. Hal ini jelas diperlihatkan dalam bait-bait puisinya, iaitu;

Dalam seuntai senyuman

memekar kelopak nurani

sesuci embun pagi

dan kini terikat

sebuah persahabatan antara kita.

Semoga kita

bisa melakar sejarah

akan makna persahabatan ini

agar tiada penghujungnya.

Secara umumnya, penulis ialah seorang yang sensitif dan berjaya menitipkan tema-tema yang berlaku sekitar alam remajanya. Hal ini berjaya dilakukannya melalui pemerhatian yang teliti dalam menyampaikan apa yang diinginkan.

Setiap puisinya juga mempunyai mesej-mesej yang tersendiri dalam menyampaikan maksud secara berhemah dan memberikan pengajaran untuk pembacanya. Bait-bait puisi yang indah dan menarik mampu djadikan sebagai elemen penyampaian yang lebih lembut dan berkesan dalam mengusik hati pembacanya.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1050401
    Visit Today : 1246
    This Month : 33000
    Total Visit : 1050401
    Hits Today : 7408
    Total Hits : 4312169
    Who's Online : 10
  • Kategori