Produk tempatan seharusnya mengutamakan bahasa kebangsaan daripada bahasa Inggeris.

“TIDAK komersial, tidak kompetitif”. Itulah yang mungkin akan kita dengar apabila kita menyarankan supaya pengusaha menggunakan bahasa kebangsaan dalam penamaan produk atau barangan keluaran mereka.

Dalam konteks pengguna pula, yang mana satukah yang akan mereka pilih? Adakah dengan melihat nama produk dalam bahasa asing kita sudah yakin bahawa sesuatu barangan itu pastinya berkualiti ataupun kita lebih mementingkan kualiti sesuatu produk berbanding nama produk? Tepuk dada tanya selera, pilihan di tangan pengguna.

Lazimnya orang Malaysia amat berbangga apabila menggunakan jenama terkenal  seperti Mercedes Benz,  Peugeot, Toyota, Honda, Suzuki, Hyundai, Samsung atau jenama terkenal yang lain. Adakah kita sedar bahawa jenama tersebut menggunakan bahasa kebangsaan mereka untuk nama produk mereka sendiri? Mengapakah jenama “Jimmy Choo” yang dinamai sempena nama pengusahanya boleh menjadi begitu terkenal, dan hanya golongan yang berkemampuan sahaja yang mampu memilikinya?

Produk tempatan dilihat sebagai produk luar negara kerana langsung tidak menggunakan bahasa kebangsaan.

Sebagai warganegara Malaysia, apakah yang boleh kita banggakan dan tonjolkan melalui nama “Produk Malaysia” yang indah dan istimewa  yang  melambangkan negara bangsa kita,  jika kita tidak menggunakan bahasa kebangsaan.  Di sini timbul persoalan, adakah segelintir rakyat Malaysia malu menggunakan bahasa kebangsaan atau mereka berasakan bahawa bahasa kebangsaan tidak layak digunakan dalam konteks perniagaan.

Sebagai pengguna, keunikan yang ada pada nama sesuatu produk itulah yang akan mengingatkan mereka kepada produk tersebut. Bahasa Melayu ialah bahasa yang istimewa kerana lebih daripada 7000 perkataan tidak ada dalam bahasa-bahasa lain di dunia. Selain memperkenalkan keindahan bahasa itu, nama produk keluaran Malaysia dalam bahasa kebangsaan juga boleh menjadi “duta kecil” kepada dunia luar untuk memperkenalkan Malaysia.

Pemantauan yang dilakukan oleh DBP bagi bidang industri kecil dan sederhana (IKS) mendapati bahawa penggunaan bahasa Melayu dalam sektor industri kecil sederhana boleh ditingkatkan atau mencapai tahap 100%, sama ada pada nama produk atau apa-apa risalah, keterangan, promosi dan sebagainya kerana produk tersebut merupakan keluaran tempatan. Jika dilihat dari sudut golongan sasaran, produk ditujukan kepada rakyat tempatan sendiri memahami bahasa Melayu. Mengapakah mereka tidak mahu menggunakan bahasa Melayu? Situasi ini mungkin boleh dikaitkan dengan “minda tertawan” yang sering diungkapkan oleh Prof. Dr. Abdullah Hassan apabila memperkatakan tentang keengganan segelintir rakyat Malaysia untuk menggunakan bahasa Melayu.

Kecenderungan pengusaha menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa rojak dalam penamaan produk boleh dikawal di peringkat awal lagi. Mungkin sesuatu yang lebih bermakna dan berkesan boleh dilakukan oleh pihak berwajib bagi mengatasi kecenderungan tersebut. Tidak salah menggunakan lebih daripada satu bahasa untuk apa-apa tujuan pun asalkan bahasa kebangsaan diberikan keutamaan dalam penggunaannya. Sebagai rakyat Malaysia yang mencintai negara dan bangsa Malaysia, wajarlah mendaulatkan bahasa Melayu.

Penggunaan bahasa rojak juga berleluasa dalam penamaan produk.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1059303
    Visit Today : 1193
    This Month : 7556
    Total Visit : 1059303
    Hits Today : 4368
    Total Hits : 4349769
    Who's Online : 6
  • Kategori