Ikan yu atau jerung sering dianggap sebagai haiwan marin yang ganas dan suka menyerang manusia. Namun, sebenarnya hanya sebilangan kecil yu yang ganas. Hakikatnya, jika tidak mengalami sebarang gangguan, yu merupakan sejenis haiwan marin yang pemalu dan takut kepada manusia. Yu tidaklah berbahaya seperti yang disangka. Banyak fakta berkaitan yu yang masih belum diketahui seperti tentang kepelbagaian spesiesnya, kaedah pembiakan, tabiat pemakanan, habitat, serta faktor yang mengancam kelangsungan hidup dan program pemuliharaannya. Selain mempunyai nilai ekonomi dan perdagangan, yu juga boleh menjadi ikan hiasan, dan malah ada juga spesiesnya yang boleh dipelihara secara besar-besaran bagi tujuan komersial. Lebih 60 spesies yu ditemui di perairan Malaysia. Kajian menunjukkan bahawa yu boleh ditemui di pelbagai habitat, iaitu lautan dan kuala sungai. Namun, pada masa yang sama, fakta juga menunjukkan bahawa banyak spesies yu yang diancam kepupusan akibat ketidakseimbangan antara tekanan daripada kegiatan manusia dengan industri perikanan, serta keupayaan alam sekitar menjana sumber aslinya. Hal ini ditambah pula oleh hakikat bahawa yu merupakan hidupan marin yang lambat membiak dengan kadar kelahiran yang rendah, tempoh bunting yang panjang serta sensitif terhadap perubahan habitat. Yu juga sering menjadi sasaran manusia kerana siripnya mempunyai nilai pasaran yang tinggi. Justeru, pengetahuan tentang keperluan asas spesies ini untuk terus lestari perlu disebarkan kepada umum. Maklumat dalam Ensiklopedia Yu ini diharapkan bukan sahaja dapat membantu masyarakat mengubah tanggapan yang negatif terhadap yu, tetapi juga membolehkan masyarakat memahami keperluan hidup spesies yu dan seterusnya bersama-sama menggembleng tenaga mambantu usaha menjaga dan memulihara sumber tersebut, di samping mengeksploitasinya secara mampan. Ensiklopedia yang merakamkan sebanyak 71 entri mengenai spesies yu ini merangkumi sejarah dan evolusi, pengelasan saintifik taksonomi, anatomi dan biologi, habitat, kitaran hidup, kepelbagaian spesies, ancaman kepupusan serta usaha-usaha pemuliharaannya, terutama di perairan Malaysia. Maklumat dalam Ensiklopedia Yu ini boleh dirujuk dan dibaca secara berasingan bagi memudahkan pembaca mendapatkan maklumat yang perlu dan berkaitan dengan segera dan pantas. Maklumat ini juga disertai dengan ilustrasi, gambar foto dan bahan grafik yang lain; bukan hanya sebagai hiasan tetapi untuk memperjelas dan memperlengkap maklumat yang berkenaan.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1048989
    Visit Today : 1307
    This Month : 31588
    Total Visit : 1048989
    Hits Today : 4531
    Total Hits : 4303577
    Who's Online : 10
  • Kategori