Judul: Siapa yang Salah Sekitar Revolusi Mental dan Peribadi Melayu
Penulis: Syed Hussein Alatas
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahun terbit: 2015
Harga: RM22
Pengulas: JAYMANI SEVANATHAN

SEBELUM pembaca membeli atau membaca buku ini, pembaca wajib menelaah buku Revolusi Mental yang diterbitkan pada tahun 1971 dan menjadikannya sebagai rujukan utama di samping buku tulisan Syed Hussein Alatas ini. Jikalau tidak, ia hanyalah sia-sia. Hal ini adalah kerana penulis buku atau risalah ini menyampaikan pandangan dan menyangkal kebanyakan hujah yang diketengahkan oleh penulis Revolusi Mental. Pada masa yang sama, penulis mencadangkan hujah dan penerangan alternatif bagi kemunduran ekonomi orang Melayu yang sentiasa ditekankan.

Secara umumnya, Revolusi Mental dianggap sebagai buku dan batu tanda yang signifikan dalam daya pemikiran intelektual bagi menggalakkan pembangunan masyarakat Melayu. Buku ini melibatkan 14 penulis yang terdiri daripada Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Mereka menganggap sebab orang Melayu tidak dapat menyertai dengan sepenuhnya dalam usaha-usaha pembangunan ekonomi dan sosial ialah kerana kemunduran daya pemikiran mereka yang berpunca daripada kekurangan pengetahuan dan dikongkong oleh hidup yang kolot.

Namun, Syed Hussein Alatas tidak menerima huraian daripada buku Revolusi Mental terhadap sebab utama masyarakat Melayu dianggap mundur malah beliau menganggap soal kemajuan tidak seharusnya dijadikan permainan politik. Penulis menjawab dan mengkritik persoalan penting yang dikemukakan termasuk bagaimana cara pengarang buku Revolusi Mental mendapatkan data yang menunjukkan mereka tidak menjalankan kajian yang mendalam terutama apabila memperkatakan sikap peribadi orang Melayu.

Dua perkara yang menarik perhatian saya, pertamanya apabila Dato’ Onn Jaafar yang juga merupakan bapa saudara kepada penulis berpendapat bahawa perkara yang menjadi penghalang kemajuan orang Melayu bukanlah kebudayaan atau nilai kehidupan orang Melayu tetapi kepimpinan dalam masyarakat Melayu malah beliau bangga dengan masyarakat Melayu. Namun, kita perlu sentiasa sedar bahawa bangga dengan kaum atau bangsa sendiri tidak bermaksud kita perlu buta dengan segala kelemahan yang wujud. Selain itu, perkara yang kedua ialah tulisan pertama yang mengangkat kemunduran masyarakat Melayu ialah hasil penulisan Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi di mana beliau menyatakan sebab Melayu tertindas disebabkan golongan yang berkuasa dalam kalangan orang Melayu. Hal ini jelas menunjukkan bahawa sang penguasalah yang memainkan peranan yang besar dalam kemunduran masyarakat Melayu dan bukannya sikap orang Melayu itu sendiri seperti yang dibincangkan dalam Revolusi Mental.

Penulis menegaskan bahawa buku Dilema Melayu atau The Malay Dilemma, hasil tulisan Dr. Mahathir dan Revolusi Mental sememangnya mengelirukan pembaca tentang keperibadian Melayu yang direndahkan oleh pengarang. Ia seolah-olah pengarang dua buku tersebut bersikap agak berat sebelah dan memejamkan kedua-dua mata dalam menyimpulkan keperibadian orang Melayu. Bagi penulis, mengadili sesuatu bangsa dengan merujuk sesuatu keburukan itu adalah sangat tidak wajar. Misalnya, jika wujud seorang Melayu yang malas, ia tidak membawa maksud bahawa keseluruhan masyarakat Melayu adalah malas. Ia hanyalah stereotaip semata-mata untuk memburukkan lagi sesebuah bangsa atau masyarakat.

Penulis juga memfokuskan kelemahan Revolusi Mental yang dikatakan bertimbun-timbun. 17 sikap orang Melayu dibangkitkan dalam Revolusi Mental seperti kurang ingin tahu, kurang fikiran rasional, tidak menghargai masa, tidak berani mengambil risiko dan sebagainya. Tambahan pula, dikatakan bahawa peribahasa Melayu boleh menunjukkan bagaimana bentuk sikap orang Melayu. Misalnya, “rezeki secupak tidak boleh menjadi segantang” dianggap sebagai nasib menentukan segala-galanya bagi orang Melayu. Hujah balas Syed Hussein Alatas terhadap penyataan ini agak menarik untuk diulas. Ia berbunyi seperti berikut;

Daripada pepatah teguran dan anjuran kita dapat melihat nilai masyarakat Melayu dan pandangan hidupnya, tetapi kita tidak dapat menentukan peribadi sesuatu bangsa atas dasar pepatah itu semata-mata kerana pepatah itu sifatnya memperhatikan persoalan bukan menunjukkan sifat peribadi bangsa.

Seterusnya, dalam Revolusi Mental, ditulis bahawa tiadanya perkataan disiplin dan menepati masa dalam bahasa Melayu dahulu menunjukkan sifat ini tidak ada dalam masyarakat Melayu dahulu, dan perkataan janji Melayu telah menjadi buah mulut. Bagi Syed Hussein Alatas, ucapan ini salah daripada segi ilmiah ataupun hakikat masyarakat Melayu. Jika meninjau masyarakat Melayu sekarang, mereka menepati masa. Mereka yang tidak berdisiplin dan menepati masa adalah segelintir sahaja. Malah hal ini terdapat pada semua kaum.

Sememangnya penulis buku ini bersetuju bahawa dalam kalangan masyarakat Melayu, wujud pemalas, yang tidak berdisiplin, tidak berinisiatif dan sebagainya. Tetapi sekiranya sikap buruk ini dianggap sebagai pembentuk utama peribadi orang Melayu, ia sangat melampaui batas. Bagi penulis juga, Revolusi Mental melakukan langkah yang dilihat menyimpang. Ia berhasrat untuk memajukan bangsa Melayu tetapi sebaliknya memburukkan peribadi orang Melayu sendiri. Pada penghujung hari, ia hanya melemahkan jiwa dan bukannya membangkitkan pembangunan dan kemajuan orang Melayu.

Penulis juga menekankan bahawa sistem Revolusi Mental kuat dipengaruhi oleh kapitalisme manakala sistem penulis dipengaruhi sosialisme dan Islam. Hal ini dapat dilihat apabila dalam buku Revolusi Mental, hanya pemimpin dikritik dan dikatakan bercakap kosong. Bagi penulis pula, kritikan itu tidak cukup kerana ia perlu menyentuh akar persoalan iaitu kerajaan. Malah, orientalis seperti Stamford Raffles pernah mengatakan bahawa orang Melayu itu malas. Namun, penulis Revolusi Mental tidak sanggup membantah tuduhan oleh penulis kolonial tersebut kerana mereka sendiri terpengaruh dengan gambaran buruk seperti ini. Hal ini dapat dibuktikan apabila Revolusi Mental sendiri mengetengahkan sifat buruk orang Melayu.

Bagi penulis, istilah revolusi dalam Revolusi Mental juga telah digunakan sewenang-wenangnya. Ia ialah indoktrinasi dan bukannya revolusi. Indoktrinasi hanya bertujuan dalam menghidupkan kapitalisme dalam masyarakat Melayu.

Bagi pengulas, seorang cendekiawan wajib untuk tidak bersikap berat sebelah, sentiasa berhati-hati apabila menulis fakta, peka dengan sesuatu situasi, berhujah dengan menggunakan kajian yang mendalam, rasional dalam berhujah, memupuk rasa hormat terhadap orang atau perkara lain dan sentiasa berdiri atas landasan yang benar serta tidak jahil. Adalah sangat tidak wajar untuk mengadili sesebuah bangsa, ras, etnik atau agama dengan hanya melihat kelemahan kecil daripada mereka.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1048939
    Visit Today : 1257
    This Month : 31538
    Total Visit : 1048939
    Hits Today : 4229
    Total Hits : 4303275
    Who's Online : 11
  • Kategori