Judul: Paku-pakis: Ubatan di Semenanjung Malaysia
Penulis: Abdul Aziz Bidin
Terbitan: Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahun: 2015
Pengulas: ATIQAH ABD RAHIM

Paku-pakis atau lebih dikenali dengan pucuk paku merupakan sejenis sayur yang begitu sinonim dalam masakan masyarakat Malaysia. Kelazatan paku-pakis terutamanya masak tumis sayur pucuk paku membuatkannya sangat popular dalam kalangan penggemar sayur. Keunikannya terserlah dengan bentuk daun yang memanjang dan mudah hidup meliar di kawasan hutan, tebing sungai, kawasan ladang atau hidup secara menumpang di pokok. Tambahan pula, harganya yang murah dan mudah didapati di pasar menjadikannya salah satu sayur kegemaran rakyat Malaysia.

Walau bagaimanapun, masih ramai yang tidak mengetahui kepelbagaian jenis paku-pakis dan peranannya dalam perubatan tradisional. Buku hasil tulisan Abdul Aziz Bidin ini memperkenalkan kepada pembaca jenis paku-pakis, kegunaan dan khasiatnya dalam bentuk penulisan yang mudah difahami. Buku ini juga mempunyai gambar yang menarik dan keterangan istilah sains yang digunakan untuk menerangkan tentang spesis dan struktur paku-pakis. Buku ini telah diulang cetak sebanyak tiga kali sejak tahun 1985 sesuai dengan isi kandungannya yang bermanfaat kepada pelajar dalam bidang Botani dan pembaca umum yang ingin mengenali jenis dan fungsi paku-pakis dalam kehidupan seharian.

Secara ringkasnya, paku-pakis mempunyai dua bahagian iaitu golongan tumbuhan mirip paku-pakis (fern-allies) dan golongan paku-pakis sejati (true ferns). Golongan tumbuhan mirip paku-pakis terbahagi dalam tiga kelas iaitu Psilopsida, Lycopsida dan Sphenopsida. Golongan tumbuhan paku-pakis sejati pula dikategorikan dalam satu kelas sahaja iaitu Pteropsida. Golongan ini mempunyai pembahagian antara akar, batang dan daun yang telah lengkap, dan organ-organ tersebut telah terbentuk dengan jelas menyerupai perkembangan tumbuhan peringkat tinggi. Sebahagian besar paku-pakis yang terdapat disekeliling kita adalah termasuk dalam golongan paku-pakis sejati ini.
Paku-pakis melalui dua generasi dalam kitaran hidupnya. Kebanyakan paku-pakis dikenali dengan generasi sporofit manakala generasi kedua dikenali dengan generasi gametofit yang mempunyai protalus yang sangat kecil dan tidak begitu nyata. Seperti yang diketahui, paku-pakis membiak melalui perantaraan spora. Spora yang jatuh ke tempat yang sesuai akan bercambah membentuk protalus (gametofit). Setelah itu, persenyawaan berlaku dan hasilnya ialah generasi sporofit yang kita lihat sebagai tumbuhan paku-pakis. Kedua-dua generasi ini penting dalam kitar hidup tumbuhan tersebut.

Buku ini memperkenalkan 24 spesis paku-pakis daripada lapan famili yang mempunyai pelbagai kegunaan dalam perubatan tradisional. Empat daripada spesis paku-pakis yang diterangkan dalam buku ini mempunyai khasiat menyuburkan rambut iaitu yang dikenali dengan nama tempatannya sebagai akar ru, telur belangkas, semun, dan spesis Ophioglossum pendulum L. Akar ru atau nama saintifiknya Lycopodium carinatum Desv. mempunyai batang bercabang berbentuk bandul (pendulous), daun tersusun rapat menutupi permukaan batang dan strobilus (sporangium yang terletak pada ketiak daun fertil) terletak dihujung cabang. Paku-pakis ini tersebar di kawasan tanah rendah yang bersemak-semak hingga mencapai ketinggian 650 meter dari paras laut. Cara menggunakannya ialah daun dan batangnya direbus dengan air sampai hancur dan disaring. Air saringannya digunakan sebagai pencuci rambut sewaktu mandi. Cara ini sering digunakan oleh kaum wanita zaman dahulu. Telur belangkas pula mempunyai nama tempatan yang lain iaitu resam lumut dan resam padi. Paku-pakis ini tersebar luas di Semenanjung Malaysia di sepanjang kawasan tanah rendah di tempat yang agak terbuka seperti di tebing sungai, di tembok dan di atas batu. Cara menggunakannya ialah dengan air rebusan daripada daun dan tangkainya digunakan untuk mencuci kepala sewaktu mandi. Begitu juga dengan khasiat dan kegunaan paku-pakis spesis Ophioglossum pendulum L. dan semun atau nama saintifiknya Asplenium nidus L. yang digunakan sebagai pencuci rambut.

Selain itu, terdapat tiga spesis paku-pakis yang boleh mengubati luka. Spesis pertama ialah Selaginella Plana (Desv.) Hieron. iaitu sejenis paku-pakis herba berwarna hijau tua, daunnya berbentuk hati-segi empat bujur, mempunyai batang yang bulat, membuat banyak percabangan dan tumbuh melingkar-lingkar. Penyebarannya banyak dijumpai di kawasan lembab dan biasanya terdapat di lantai hutan tropika dan subtropika. Paku-pakis ini digunakan sebagai ubat penahan darah iaitu dengan mempercepatkan pembekuan darah akibat daripada luka pada badan. Caranya ialah cabangnya dikunyah sampai halus dan ditampalkan pada bahagian luka tersebut. Kemudian, dibalut dengan kain yang bersih dan dibiarkan sampai pendarahan tersebut terhenti dan lukanya sembuh.

Paku-pakis kedua dikenali dengan nama tempatannya sebagai ribu-ribu duduk, paku jari merah, ribu bukit dan Sidin. Paku-pakis ini hidup di tanah dan tumbuh melingkar sampai setinggi 2-8 meter. Paku-pakis ini banyak di kawasan yang agak terbuka seperti di kebun getah, di pinggir hutan dan di tanah rendah. Getah paku-pakis ini digunakan untuk mengubati luka sengatan binatang melata seperti ular, lipan dan labah-labah. Daunnya pula boleh menyembuhkan luka sengatan binatang air dengan cara daunnya ditumbuk halus dan ditampalkan pada bekas luka gigitan tersebut. Spesis paku-pakis ketiga dikenali dengan nama tempatannya, paku wangi atau sakat hitam. Paku-pakis ini hanya ditemui di beberapa tempat di Selangor dan Perak iaitu di daerah yang banyak hujan dan pada ketinggian 900 meter dari paras laut. Tumbuhan ini dapat digunakan untuk mengubati gigitan binatang melata dengan cara akarnya dikunyah sampai lumat dan kemudian ditampalkan pada bekas gigitan tersebut.

Banyak lagi spesis paku-pakis yang diperkenalkan dalam buku ini yang mempunyai pelbagai kegunaannya dalam mengubati kesakitan kita. Antaranya ialah menyembuhkan batuk dan lelah, mengubati penyakit kulit seperti gatal-gatal dan kurap, menyembuhkan rasa pegal-pegal, ngilu dan nyeri dalam sendi tulang seperti kaki dan pinggang, membersihkan perkakas rumah seperti piring atau bahan seramik, mengubati penyakit beri-beri, mengubati rasa sakit perut akibat cirit-birit, mengubati penyakit kelamin seperti gonorea dan untuk keperluan menjaga bau badan.

Keseluruhannya, buku ini mampu menjadi rujukan ilmiah yang penting dalam penulisan tentang ubat-ubatan tradisional rumpun Melayu. Penggunaan paku-pakis sebagai ubat-ubatan tradisional merupakan warisan yang diperturunkan dari satu generasi ke generasi seterusnya, dan telah memberikan sumbangan dalam bidang farmasi dan ilmu pengetahuan moden. Banyak industri farmasi hari ini yang menghasilkan ubatan tradisional atau lebih dikenali dengan jamu atau makjun yang menjadi alternatif  kepada masyarakat selain menggunakan perubatan moden. Sudah sampai masanya, pihak yang berkaitan dalam bidang farmasi untuk melakukan penyelidikan tentang ubatan tradisional ini dan mengolah penggunaannya untuk tujuan yang lebih berkesan dan selamat kepada penggunanya.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1048840
    Visit Today : 1158
    This Month : 31439
    Total Visit : 1048840
    Hits Today : 3854
    Total Hits : 4302900
    Who's Online : 15
  • Kategori