Judul: Negeri Pari-pari
Penulis: Rodiah Haji Said
Terbitan: Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahun: 2019
Harga: RM15
Pengulas: ATIQAH ABD RAHIM

NEGERI PARI-PARI menghimpunkan kumpulan cerpen daripada seorang penulis yang berasal dari Kampung Takuli, Beaufort, Sabah yang bernama Rodiah Haji Said. Sebahagian hasil karya cerpen beliau pernah diterbitkan dalam majalah Dewan Sastera, Harian Ekspres, Utusan Borneo dan Berita Harian. Mengambil tajuk utama cerpen, “Negeri Pari-pari”, sejumlah 21 buah cerpen dimuatkan dalam buku ini. Antaranya ialah “Ampuni Aku”, “Anna”, “Cahaya di Laut Mediterranean”, “Bunga, Lalang dan Tujuh Malaikat”, “Kaca yang Merana”, “Maya Rokonza”, “Negeri Pari-pari”, “Nenek”, “Oxford Street”, “Pari-pari di Bawah Sayap Malaikat”, “Patriotik Atas Sejarah”, “Patung Kaku Buat Seniman”, “Pelakon Teater”, “Saging”, “Sekuntum Peony di Atas Kuburan”, “Sepasang Mata Setelah Bebas”, “Syair Siti Raham”, “Muara Kuala Tambing”, “Seorang yang Berhormat”, “Negeri Bulan” dan “Berdiri Lurus”.

Cerpen-cerpen tulisan Rodiah Haji Said mengetengahkan pelbagai tema dan persoalan dalam masyarakat seperti isu kekeluargaan, keagamaan, kemasyarakatan, kepincangan rumah tangga, kebejatan akhlak, suara wanita, perjuangan orang seni, dan semangat cinta akan bahasa, bangsa dan negara. Cerpen beliau digarap dengan menggunakan kritikan secara halus, imaginasi yang tinggi dan perlambangan yang sangat kreatif. Cerpen beliau juga memperlihatkan penguasaan jalan cerita yang seimbang antara adunan bahasa, isi dan teknik.

Cerpen “Bunga, Lalang dan Tujuh Malaikat”, “Kaca yang Merana” dan “Negeri Pari-pari” menggunakan perlambangan alam yang membawa makna yang mendalam dalam mengetengahkan isu yang ingin disampaikan. Dalam cerpen “Bunga, Lalang dan Tujuh Malaikat” menceritakan kisah sekuntum bunga mawar yang sabar dan sentiasa menjaga kehormatannya. Si cantik mawar tetap berdiri teguh daripada tipu daya dunia dan cemuhan lalang-lalang akan kecantikannya. Mawar percaya orang yang sabar dan menjaga kepatuhan Tuhan akan diangkat doanya ke langit. Cerpen “Kaca yang Merana” pula diibaratkan seperti kehidupan kaum hawa. Ada kaca yang utuh dan menginspirasi, yang inginkan perhatian, yang sunyi dan hampa dan tidak kurang juga yang tersesat jalan. Bayang-bayang mengatakan bahawa kunang-kunang akan menunjukkan jalan yang terang dan mengajar kaca-kaca tentang erti tujuan hidup yang salah dan benar.

Cerpen “Negeri Pari-pari” memberikan daya imaginatif yang tinggi kepada pembaca dengan watak Polunisia, makhluk kecil yang hidupnya hanya melihat keindahan dan kebaikan. Polunisia juga berkeyakinan tinggi untuk mencabar dirinya ke dusun popi, iaitu tempat yang belum pernah dijajah oleh bangsanya. Bangsanya dimomokkan supaya tidak ke tempat itu. Walau bagaimanapun, Polunisia tidak mengendahkannya dan berjaya membawa pulang beberapa kuntum bunga popi untuk dijual kepada bangsanya yang suka akan bunga tersebut. Polunisia gembira kerana dapat mengaut hasil keuntungan yang banyak. Pada suatu hari, Polunisia ke dusun popi itu seperti biasa. Dia terdengar suara tangisan bayi manusia di tong sampah yang busuk. Polunisia mengeluh memikirkan sikap manusia yang tidak berhati perut dan membandingkan bangsanya yang hidup harmoni dan menyayangi ahli keluarga. Polunisia cuba berteriak ke arah seorang lelaki supaya membantu bayi itu tetapi apakan daya, suaranya hanyalah seperti angin sunyi yang tidak dapat didengari.

Rodiah Haji Said menggunakan tintanya untuk mengkritik persepsi masyarakat terhadap golongan nelayan dalam cerpennya, “Nenek”. Semasa musim politik, pemimpin-pemimpin membawa suara lantang untuk melenyapkan kemiskinan golongan nelayan di kampung dan memujuk orang kampung supaya menyertai persatuan alam sekitar kampung. Tetapi, orang kampung asyik tertipu. Kata ayah, biarlah dia menjadi nelayan yang tidak menyusahkan orang dan mencari rezekinya sendiri dengan hasil tangkapan ikannya. Pak Long yang tinggal di bandar memujuk nenek untuk tinggal bersama keluarganya. Namun, nenek tidak suka tinggal di rumah itu. Nenek juga tidak senang dengan menantunya yang berpakaian mencolok mata.

Cerpen “Negeri Bulan” pula membawa pembaca menerokai sebuah negeri yang dikenali dengan nama Negeri Bulan. Negeri tersebut mempunyai bandar yang berteknologi tinggi dan menjalani kegiatan ekonomi yang makmur. Negeri itu seperti negeri mitos yang hanya terdapat dalam cerita sains fiksyen. Yang menariknya, pemimpin Negeri Bulan memartabatkan bahasa Melayu dan berpaksikan agama Islam dalam setiap keputusan negara demi kemakmuran yang seimbang dan jitu.

Cerpen “Berdiri Lurus” membuatkan pengulas sedikit kebingungan dengan mesej yang ingin disampaikan semasa membaca perenggan-perenggan yang awal. Mengapakah watak Aku tidak dapat berdiri tegak? Si Suara yang memiliki sepasang mata kebiruan, hidung dan telinga yang panjang dan kulitnya bersisik tebal selalu menemani Aku. Mereka berdua akan bertengkar sekiranya Aku cuba untuk berdiri. Akhirnya, si Suara membuka cerita. Makhluk di benua itu dahulu berjalan dengan berdiri lurus dan mempunyai tujuan hidup, tetapi gara-gara timur dan barat saling menindas antara satu sama lain, makhluk di benua itu seperti terkena sumpahan. Aku nekad untuk berdiri lurus apabila sekumpulan burung putih terbang ke arah Aku. Cerpen ini mengaitkan persoalan tentang budaya dan cara hidup manusia yang tinggal di timur dan di barat. Antara dua budaya dan cara hidup yang berbeza ini, yang mana satu perlu diikuti dan dijadikan pedoman hidup. Kekeliruan ini mampu diatasi sekiranya seseorang itu mempunyai jati diri dan sentiasa berpegang dengan falsafah kehidupannya. Seperti watak Aku, dia menongkah arus dengan berani untuk berdiri lurus walaupun bangsa di benua itu tidak berani berbuat demikian.

Itulah antara karya cerpen dalam kumpulan cerpen ‘Negeri Pari-pari’ yang sangat menarik untuk diteliti mesej dan kritikannya. Cerpen ini juga memerlukan pembaca untuk berimaginasi kerana watak-watak dalam cerpen Rodiah Haji Said, beliau amat teliti dan halus perlambangannya. Kumpulan cerpen ini sesuai untuk bacaan umum kerana memperlihatkan pelbagai isu dan pemikiran yang positif yang seharusnya disemai dalam jiwa masyarakat.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1048258
    Visit Today : 576
    This Month : 30857
    Total Visit : 1048258
    Hits Today : 1441
    Total Hits : 4300487
    Who's Online : 11
  • Kategori