Judul: Nariak dan Puteri Kayangan

Penyelenggara: Jiso Rutan & Abdul Kadir Mohd Yunus

Terbitan: Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun: 2015

Harga: RM18

Pengulas: ATIQAH ABD RAHIM

JARANG sekali cerita rakyat daripada etnik-etnik kecil di Sarawak diterbitkan untuk bacaan umum. Kumpulan cerita rakyat Sarawak susunan Jiso Rutan dan Abdul Kadir Mohd Yunus ini diharapkan dapat memberikan peluang kepada pembaca untuk memahami warisan budaya dan tradisi lisan kumpulan Orang Ulu di Sarawak dengan lebih dekat. Etnik Orang Ulu terdiri daripada orang Kayan, Kenyah, Kelabit, Bukitan, Bisaya, Sian, Tabun, Saban dan lain-lain. Kumpulan cerita ini menghimpunkan sebanyak 18 buah cerita rakyat orang Punan, iaitu salah satu kumpulan Orang Ulu yang tinggal di bumi Borneo. Punan dan Penan ialah dua etnik yang berbeza, tetapi selalu disamaertikan terutamanya mereka yang belum mengenali kedua-duanya. Orang Punan lebih tertumpu di Sungai Bah di Belaga, Sungai Kakus di Tatau dan Kuala Pandan di Ulu Sebauh.

Menurut prakata yang dinukilkan oleh kedua-dua penyelenggara, semua cerita rakyat dalam buku ini merupakan hasil rakaman yang dibuat pada tahun 2006 di dua buah kawasan, iaitu di Sungai Kakus dan Kuala Pandan, di bawah Projek Pengumpulan Cerita Rakyat Sarawak anjuran DBP cawangan Sarawak. Projek tersebut bertujuan mengumpul, mendokumentasi dan menerbitkan cerita-cerita rakyat pelbagai suku etnik bumiputera di Sarawak. Cerita dirakamkan dalam bahasa asal daripada informan dan pencerita yang terdiri daripada penduduk setempat. Kemudian, diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dengan bantuan penterjemah dan penduduk setempat. Buku ini mempunyai cerita-cerita rakyat yang menarik dan menghiburkan seperti cerita asal usul, lipur lara, kisah lucu atau jenaka, dan cerita berunsurkan pengajaran.

Antara cerita asal usul yang dirakamkan dalam buku ini ialah “Batu Mayeng dan Batu Takan” dan “Batu Sebungan”. Kedua-dua cerita ini mengisahkan manusia yang bertukar menjadi batu akibat sumpahan daripada perbuatan yang tidak baik. “Batu Mayeng dan Batu Takan” diceritakan dalam sebuah cerita dengan judul yang sama oleh Encik Nelson Usui dari Rumah Nyipak, Kuala Pandan, Sebauh. Cerita ini mengisahkan seorang lelaki yang menaruh hati dan ingin memperisterikan seorang gadis bangsawan. Malangnya, pinangannya ditolak oleh ibu bapa gadis tersebut. Akibat marah dan kecewa, pemuda itu mahu membalas dendam sehingga gadis tersebut meninggal dunia. Lelaki itu melarikan diri ke sebuah tempat bernama Takan. Apabila menjejakkan kaki ke tempat itu dan melaungkan kegembiraannya berada di tempat baharu di atas sebongkah batu, lelaki itu serta-merta bertukar menjadi batu. Batu itulah yang dikenali sebagai Batu Takan yang wujud sehingga hari ini. Sementara itu, penduduk di rumah panjang lelaki tersebut juga bertukar menjadi batu. Batu itu dikenali sebagai Batu Mayeng atau Gua Mayeng yang terdapat di Ulu Anap, Tatau.

Begitu juga dengan cerita “Batu Sebungan” yang mengisahkan tentang si suami yang tidak berada di samping isterinya yang sedang sarat mengandung. Kesal dengan perbuatannya, si suami nekad membunuh diri dengan terjun ke dalam sungai. Seketul batu besar timbul di kuala sungai tempat si suami membunuh diri. Mengikut cerita, batu itu akan timbul sewaktu air surut dan pusaran, dan dikenali dengan nama Batu Sebungan. Latar tempat cerita ini terletak di sebuah perkampungan kecil yang dipanggil Kuala Sebungan iaitu, di daerah Sebauh, di bahagian Bintulu sekarang ini.

Cerita lipur lara pula adalah seperti “Kasau dan Dayang Menterik”, “Nariak dan Puteri Kayangan” dan “Pili Menjadi Babi”. Sama seperti cerita lipur lara Melayu di Semenanjung Malaysia, cerita lipur lara orang Punan juga mempunyai cerita yang berkisarkan orang bangsawan dan perhubungan dua darjat antara orang bumi dengan orang kayangan. Yang menariknya, cerita “Kasau dan Dayang Menteri” mengisahkan seorang pemuda dari bumi yang jatuh hati dengan Puteri Bongsu dari kayangan. Lalu, pemuda itu mengambil baju layang Puteri Bongsu ketika puteri tersebut dan kakak-kakaknya sedang bermandi-manda di sebuah tasik. Puteri Bongsu tidak dapat pulang ke kayangan tanpa baju saktinya itu. Pasti pembaca tidak asing dengan motif cerita lipur lara ini yang terdapat juga dalam cerita rakyat beberapa etnik lain. Antaranya ialah dalam Hikayat Malim Deman.

Begitu juga dengan cerita “Nariak dan Puteri Kayangan” yang mengisahkan pelbagai rintangan dan halangan yang dihadapi sebelum ikatan perkahwinan antara pemuda dari bumi dengan puteri daripada kayangan terjalin. Kisah “Pili Menjadi Babi” pula mengisahkan seorang pemuda bernama Pili yang ditolak cintanya oleh seorang gadis bernama Bua’Ma. Pili yang kecewa telah membawa dirinya jauh dari rumah panjang yang akhirnya dia menjadi seekor babi. Bua’Ma berasa bersalah kerana menolak cinta Pili. Berbekalkan kuasa magis, Bua’Ma berusaha menyelamatkan Pili supaya kembali menjadi manusia. Mereka berdua akhirnya berkahwin.

Kisah jenaka atau lucu pasti ada dalam setiap cerita rakyat yang boleh menghiburkan hati pembaca. Cerita “Suwau dan Akek Kurut”, “Oman Sepate” dan “Suwau dan Beruk” memperlihatkan perlakuan dan tindakan lucu dan tidak bijak para wataknya. Terdapat juga cerita yang berunsurkan pengajaran dan nasihat ialah “Dua Beradik Menjadi Buaya dan Harimau”, “Inan Benyai Menjadi Ular” dan “Oman Selengan dan Anak-anak”.

Keseluruhannya, koleksi buku kumpulan cerita rakyat Sarawak ini memberikan pengalaman pembacaan yang baharu untuk peminat cerita rakyat. Setiap tindakan para wataknya melambangkan cara hidup dan kepercayaan yang dipegang oleh masyarakat suku Punan. Usaha membukukan cerita rakyat ini terutamanya etnik-etnik di negeri Sarawak perlu diambil perhatian oleh para penyelidik dan penulis yang berminat untuk menghimpunkan dan menyebarkan cerita rakyat untuk bacaan umum. Sewajarnya cerita rakyat diterbitkan supaya masyarakat memahami pelbagai aspek agama dan kepercayaan, undang-undang, sistem kekeluargaan dan susunan nilai sosial masyarakat tersebut.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1048267
    Visit Today : 585
    This Month : 30866
    Total Visit : 1048267
    Hits Today : 1469
    Total Hits : 4300515
    Who's Online : 11
  • Kategori