Judul: Insyirah

Penulis: Azman Ahmad

Terbitan: Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun Terbitan: 2009

Pengulas: Muqris Alif

Insyirah merupakan sebuah novel hasil nukilan penulis novel tersohor negara, iaitu Azman Ahmad. Novel ini telah dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama Sayembara Menulis Novel Kanak-Kanak dan Remaja DBP pada tahun 2007.

Hasil karya beliau pada kali ini telah mengajak pengulas menyelusuri kehidupan Insyirah dalam mengenali erti kehidupan di bandar yang langsung tidak sama seperti kehidupan tatkala dia berada di kampung. Perubahan suasana hidupnya berlaku setelah kematian mamanya yang meninggal akibat kanser dan dia terpaksa mengikuti walidnya berhijrah ke Kuala Lumpur.

Kehidupan Insyirah di Kuala Lumpur bermula apabila dia menjejaki ke Surau Darus Saadah, sebuah surau yang juga menjadi tempat walidnya ditugaskan sebagai seorang imam. Di surau itulah, Insyirah mula mengenali karenah warga kota itu. Bermula dengan perjumpaannya dengan Syila yang telah disampuk dan dibantu oleh walid Insyirah dalam proses pemulihan. Hubungan antara mereka semakin rapat apabila Insyirah juga telah ditempatkan di dalam sekolah yang sama dengan Syila.  Mereka telah menjadi teman yang rapat.

Hubungan mereka yang seperti belangkas itu telah menimbulkan rasa sangsi di dalam hati bapa Syila. Pada suatu hari, bapa Syila telah menyerang warga surau dengan mengatakan bahawa imam surau itu, iaitu walid Insyirah dan Insyirah telah merosakkan anaknya, Syila dengan ajaran agama yang sesat. Tohmahan yang dilemparkan itu langsung tidak menjejaskan kepercayaan orang ramai terhadap kredibiliti walid Insyirah dan Insyirah walaupun mereka merupakan orang baharu di kota itu.

Setelah saat anak-beranak itu difitnah oleh bapa Syila, hubungan Insyirah dan Syila semakin renggang kerana Syila sudah jarang pergi ke sekolah. Tetapi, bagi Insyirah itu bukanlah sebab dia akan memutuskan ikatan silaturrahim antara dia dengan Syila. Insyirah mencuba sedaya upaya untuk selalu berhubungan dengan Syila sehingga pada suatu hari, dugaan telah menimpa keluarga Syila apabila ibunya telah meninggal dunia. Peristiwa itu betul-betul telah mengubah sifat bengis bapa Syila apabila Insyirah dan walid sanggup membantu keluarganya walaupun pernah dicaci dan dihina di hadapan orang ramai.

Karya Azman Ahmad ini telah mengangkat tema kehidupan seorang individu yang mencuba sedaya upaya untuk mengamalkan nilai Islam yang sebenar di tengah-tengah hiruk-pikuk kota Kuala Lumpur yang berkembang maju dengan teknologi. Amalan gaya hidup nilai Islam digambarkan melalui setiap butir bicara yang seperti mutiara yang dipaparkan oleh watak walid. Watak tersebut benar-benar membuatkan pengulas mengharapkan agar lebih ramai manusia di muka bumi mempunyai keperibadian yang tinggi sepertinya.

Antara nilai yang betul-betul memikat hati pengulas adalah apabila Insyirah diduga dengan ujian dalam persahabatan. Ujian ini dihadapi oleh Insyirah tatkala walidnya menyuruh agar dia berhati-hati dalam memilih sahabat. Pengulas benar-benar menyukai setiap bait dialog yang dituturkan oleh walidnya apabila dia mengambarkan apa yang dimaksudkan dengan sahabat:

“Syirah tahu, sahabat ialah orang yang paling akrab dengan kita. Sanggup ketawa dan menangis dengan kita dan sanggup pula bersusah senang bersama-sama. Kata-kata berisi makrifat, tegurannya pula mengandungi azimat. Senyumannya boleh menjadi ubat, marahnya bukan berniat jahat penuh dengan nasihat.”

Bukan itu sahaja, walidnya juga telah menyamakan sahabat yang baik seperti kita berkawan dengan seorang penjual minyak wangi. Walaupun pada dasarnya kita tidak memakai sebarang minyak wangi di badan tetapi kita tetap dapat menghidu wanginya minyak wangi tersebut dari gerai jualannya.

Terdapat pelbagai watak yang diperkenalkan oleh penulis dalam buku setebal 280 halaman. Faizal, merupakan salah satu watak yang betul-betul memberikan kesan kepada pengulas. Pada awalnya, penulis telah memperkenalkan watak Faizal sebagai seorang pemuda kota yang nakal dan jauh daripada agama. Darah mudanya juga masih membara tatkala Insyirah menolak pelawaannya untuk menjadi kawan gadis itu. Sehingga dia berani berhadapan dengan walid Insyirah dan memberitahu hajatnya untuk berkawan baik dengan Insyirah sebelum walid meletakkan syarat yang harus dipenuhi.

Perkembangan watak Faizal dalam novel ini walaupun tidaklah begitu diketengahkan oleh penulis tetapi pengulas masih lagi boleh melihat bagaimana tahap kematangan minda anak muda yang dimiliki oleh Faizal ini berkembang tatkala Tuhan telah menyalurkan hidayah kepadanya. Walaupun segala syarat yang dikenakan kepada Faizal oleh walid telah dipenuhi, Faizal langsung tidak mempedulikan untuk menjadikan Insyirah sebagai kekasih hatinya. Apabila hatinya sudah ditiup akan keikhlasan menuntut ilmu, pangkat sebagai seorang kawan baik adalah yang paling tepat yang diharapkan oleh Faizal.

Selain itu, watak Farid, iaitu seorang mualaf yang diperkenalkan oleh penulis telah memberikan pengulas sebuah pengajaran supaya tidak mudah mempercayai seseorang yang telah berkali-kali memungkiri janji. Perkembangan watak Farid yang dikenali sebagai seorang mualaf yang baik, tiba-tiba menjadi seorang pencuri telah memberikan pengajaran kepada watak utama novel ini, iaitu Insyirah supaya berhati-hati dalam mempercayai seseorang. Hal ini kerana, Farid telah berkali-kali berjanji dengan walid ingin berubah tetapi masih juga tetap memungkiri segala janji yang ditaburkan. Dia masih lagi enggan untuk bersama jemaah mendengar ceramah mahupun menunaikan solat berjemaah.

Dalam penulisan yang dinukilkan, penulis juga telah membetulkan persepsi masyarakat mengenai fungsi surau mahupun masjid melalui watak walid. Masyarakat selalunya melabelkan masjid atau surau sebagai sebuah tempat untuk beribadat sahaja tetapi penulis telah menggambarkan bahawa masjid mempunyai pelbagai fungsi yang lain yang boleh dilakukan. Contohnya sebagai tempat penyebaran ilmu dan juga sebagai tempat mengeratkan hubungan silaturrahim antara masyarakat dengan aktiviti-aktiviti seperti bersenam, memasak dan berniaga.

Kesimpulannya, dalam setiap bab yang terkandung dalam novel ini telah memberikan nilai-nilai murni yang boleh diambil oleh pengulas dan diaplikasikan  dalam kehidupan seharian. Pengulas amat mengesyorkan pembacaan novel ini kepada masyarakat, terutamanya remaja. Hal ini kerana, novel ini mudah untuk difahami dan dihadam. Selain itu, nilai-nilai positif yang terkandung dalam novel ini, jika dipraktikkan ke dalam kehidupan seharian mampu membantu para pembaca agar tidak hanyut dalam dunia yang semakin berkembang pesat.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1047667
    Visit Today : 1283
    This Month : 30266
    Total Visit : 1047667
    Hits Today : 4154
    Total Hits : 4298956
    Who's Online : 10
  • Kategori