Judul: Sungai Mengalir Lesu

Penulis: A. Samad Said

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun terbit: 2019

Harga: RM10

Pengulas: Jaymani Sevanathan

KARYA ini memiliki nilainya yang tersendiri dan boleh dikatakan akan menjadi sebuah artifak sastera kelak. Karya-karya Pak Samad (A. Samad Said) seperti Hujan Pagi dan Salina cukup memberi kesan kepada pembacanya dengan isu yang dibawa oleh beliau. Begitu juga dengan Sungai Mengalir Lesu. Cukup bertuah pembaca dan pencinta karya sastera kerana buku ini diterbitkan semula bagi Edisi Malaysia Membaca dengan harga mampu milik. Ini merupakan peluang kepada pengulas untuk menikmati kandungan buku ini di samping mengenali karya-karya Sasterawan Negara Keempat ini.

Sungai Mengalir Lesu merupakan sebuah novel realisme sosial. Realisme sosial ialah sebuah aliran kesusasteraan yang mengangkat masyarakat yang mengalami penderitaan misalnya buruh, nelayan dan petani. Aliran ini juga wujud dalam kalangan penulis yang cenderung ke arah fahaman atau tingkah laku sosialis.

Kisah ini berlatarbelakangkan Perang Dunia Kedua, iaitu ketika Jepun menakluki Singapura dari tahun 1942 sehingga tahun 1945 selepas kejatuhan Inggeris pada 15 Februari 1942. Kisah ini berlaku di Singapura, di mana Pak Samad meninggalkan persoalan dalam diri pembaca untuk mencari sendiri latar tempat yang digunakan dalam novel anti-perang ini.

Latar cerita novel ini tidaklah seluas mana. Ia berada dalam lingkungan sebuah masyarakat pelbagai kaum, iaitu mereka hidup dalam ketakutan setiap hari dengan kemunculan kapal terbang maut yang menjunamkan bom ke arah shelter. Shelter itu menjadi tempat perlindungan mereka setiap kali bunyi bom B24 dan B29 mula bergema. Mereka tidak ada pilihan lain selain menjadi fatalis yang berserah kepada takdir dan nasib mereka.

Sebuah sungai dan jambatan hijau tua menjadi saksi ke atas kekejaman yang berlaku pada mereka. Sungai yang keruh dan dipenuhi sampah-sarap, kadang kala adanya makanan busuk yang boleh dijadikan alas perut untuk kanak-kanak yang bermain di situ. Di situlah Dalim bersama rakan-rakannya, Aman, Baharum, Sukon dan sebagainya berenang-renang dan berjalan-jalan di tepi sungai tersebut. Sungai itulah tempat mereka melepaskan rasa duka, bosan dan ketakutan terhadap pihak Jepun. Di situ jugalah tempat mereka mendapat rezeki makanan seperti ayam atau itik yang sudah mati ataupun kulit nanas atau ubi yang tersadai. Makanan busuk yang terkumpul bersama-sama sampah-sarap itulah kadang kala mengisi perut mereka yang lapar.

Novel ini boleh dianggap sebagai suatu gambaran situasi perang yang terbaik dalam karya Pak Samad yang boleh digambarkan sebagai mengerikan dan mendebarkan. Sehingga pengulas menamatkan bacaan novel, memang perasaan syukur menyelubungi diri kerana dilahirkan dan membesar di sebuah negara yang aman dan merdeka tanpa perlu takut pada mana-mana pihak. Tidak dapat dibayangkan sekiranya pengulas berada dalam situasi yang amat perit dan terseksa seperti yang digambarkan dalam novel ini.

Bagi pengulas, novel ini semestinya sebuah novel antiwira. Watak-watak yang dibawa oleh pengarang ialah mangsa peperangan yang sangat miskin dan tertindas. Soal watak protagonis dan antagonis tidak wujud dalam karya fiksyen ini. Pengarang hanya membawa watak yang bersusah-payah dalam meneruskan kelangsungan hidup untuk mengelakkan daripada kematian yang tidak diingini.

Dalam novel ini, tema kemanusiaan memainkan peranan yang penting dalam perkembangan plot. Secara rasionalnya, dalam waktu peperangan, kemanusiaan sering dipersoalkan. Hal ini adalah kerana kadang kala manusia tidak lagi memberi atas nama kemanusiaan tetapi segala pemberian diminta balasannya.

Semalam dia terpaksa menjumpai Basir untuk mendapatkan satu tin susu. “Boleh aku beri susu tin ini,” kata Basir yang bermuka bujur penuh berjerawat itu. “Tapi…tapi kau mesti ganti dengan susu itu.” Dan susu manusia dan susu binatang pun bertukar ganti. Orang sudah tidak memberi kerana kemanusiaan, fikir Tuminah. Sejak dia menjadi janda enam bulan dahulu, dia banyak mengenal tentang kebinatangan lelaki. Setiap yang dihulur minta diganti. Dalam perang-perang begitu, Tuminah tidak ada jalan lain. “Baiklah,” dia teringat begitulah jawabnya. “Kau berilah susu tu. Aku beri susu ni…” Dan susu manusia dan susu binatang bertukar ganti. 

Petikan novel di atas menunjukkan betapa jijiknya wajah kemanusiaan yang mengambil kesempatan pada waktu sempit dan melarat. Namun kemanusiaan tetap dilihat mengisi ruang-ruang manusia yang tertindas. Ia tidak dapat dinafikan sama sekali. Contoh yang paling tepat adalah apabila watak Tompang yang lumpuh dan buta serta tidak mempunyai keluarga sendiri namun dijaga oleh orang kampung terutamanya Mak Buruk yang dilihat akan mendukung Tompang setiap kali bunyi siren memanjang.

“Kau suka bom jatuh, Sukon?” Tanya Dalim.

Sukon yang sudah pun berenang semula seperti biasa, menjawab: “Aku tak suka. Bom jatuh orang mati. Aku kasihankan Tompang. Dia buta, tepok. Siren bunyi dia tidak boleh lari. Bom jatuh dia tidak boleh lari. Aku tak suka bom jatuh.”

Petikan di atas menunjukkan Sukon, iaitu rakan baik Dalim langsung tidak mementingkan nyawanya lebih daripada nyawa Tompang yang dilihatnya tidak mampu menyelamatkan diri sekiranya bom meletup.

Pada masa yang sama, dua watak yang benar-benar menyentuh hati dan perlu diberi perhatian ialah Mulyadi dan Irwan. Perbualan dua sahabat tersebut benar-benar menyentuh hati, Irwan menjaga Mulyadi walaupun Irwan sendiri sangat kurang berkemampuan namun dia menjulang tinggi nilai persahabatannya bersama-sama dengan Mulyadi. Mulyadi merupakan tempat Irwan berkongsi suka dan duka. Mulyadi yang sakit tenat dengan tokaknya yang semakin membesar menyampaikan hasratnya kepada Irwan supaya mencari isteri dan anak perempuannya dan memberitahu mereka sekiranya Mulyadi meninggal dunia. Dalam waktu peperangan, perpisahan itu amat nyata dan itulah kebenarannya.

Benar, Sungai Mengalir Lesu sangat menyayat hati kerana mengangkat penindasan terhadap mangsa-mangsa perang yang langsung tidak berdosa. Dalam waktu peperangan, manusia tidak lagi mengenal bangsa, agama, etnik dan sebagainya. Hanya nilai perpaduan tanpa apa-apa garis sempadan dan kemanusiaan memainkan peranan yang signifikan bagi kelangsungan hidup. Namun, masih terdapat manusia yang sangat mementingkan diri dan tidak mempunyai sifat simpati dan empati sehingga mengambil kesempatan terhadap manusia yang tertindas.

Bagi pengulas, buku ini wajib memasuki senarai novel Melayu yang wajib rakyat Malaysia baca dan hayati.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1048744
    Visit Today : 1062
    This Month : 31343
    Total Visit : 1048744
    Hits Today : 3445
    Total Hits : 4302491
    Who's Online : 15
  • Kategori