Judul buku: Unsur Puitika dalam Puisi Melayu Tradisional

Penulis: Wan Akmal Wan Semara

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun terbit: 2005

Harga: RM15.00

PENGULAS: MOHD HANIFF MOHAMMAD YUSOFF 

PUISI Melayu Tradisional menjadi lambang kebudayaan serta peradaban masyarakat Melayu yang diwarisi secara turun-temurun. Keindahan susunan kata-kata serta perutusan amanat yang tersirat disebaliknya menjadikan puisi Melayu tradisional begitu tinggi nilainya sebagai khazanah bangsa. Falsafah-falsafah yang terungkap di sebalik penciptaan puisi Melayu tradisional secara tidak langsung mencerminkan sikap serta sifat masyarakat Melayu suatu ketika dahulu yang sopan dalam menutur bicara serta santun dalam menegur.

Buku ini merupakan sebuah pendedahan tentang hasil penelitian yang telah dijalankan oleh Wan Akmal Wan Semara. Penulis cuba meneroka unsur-unsur puitika yang tersirat di sebalik penciptaan puisi Melayu tradisional. Walau bagaimanapun, batasan kajian yang ditinjau dalam kajian ini hanya meliputi genre pantun memandangkan pantun merupakan puisi Melayu tradisional yang begitu masyhur dalam masyarakat dan sering dipraktikkan dalam teks-teks pengucapan dan majlis keraian. Penulis menerusi buku ini menegaskan bahawa penelitian yang dijalankan hanya memberi fokus pada aspek dalaman pantun iaitu bahagian maksud pantun yang lazimnya menyisipkan pemikiran, emosi dan perasaan masyarakat Melayu. Buku ini secara keseluruhannya terbahagi kepada lima bab bagi mempersembahkan hasil dapatan kajian yang telah dijalankan oleh penulis.

Bab Satu merupakan pengenalan terhadap kajian yang dijalankan. Penulis mengemukakan pembicaraan secara umum tentang puisi Melayu tradisional pada bahagian ini. Memandangkan perbincangan mengenai puisi Melayu tradisional menjangkau ruang lingkup perbincangan yang meluas, penulis mengemukakan batasan kajian dalam bab ini. Batasan-batasan kajian ini menjadikan kajian ini lebih berfokus bagi mencapai objektif yang telah disasarkan oleh penulis dalam meneliti unsur puitika dalam puisi Melayu tradisional. Penulis menegaskan penelitian yang dijalankan hanya meneliti genre pantun dan pantun-pantun yang dijadikan bahan untuk dianalisis hanya terhad kepada beberapa teks yang terpilih sahaja. Teks-teks tersebut termasuklah Pantun Melayu oleh R. J. Wilkinson dan R.O. Winstedt (1961), Pantun Melayu terbitan Balai Pustaka (1958), Pantun Melayu Tradisi (1985), Puisi Melayu Tradisional (1989), Puisi Melayu (1983), Warisan Puisi Melayu (1986), Puisi Lama (1965) dan Kumpulan Pantun Melayu (1983). Penulis turut meneliti pantun yang terdapat dalam Hikayat Hang Tuah, Sejarah Melayu, Hikayat Raja Muda, Hikayat Malim Deman dan Hikayat Tok Selampit. Selain itu, penulis turut membataskan penelitian pantun yang terdapat dalam jurnal yang disiarkan dalam majalah Dewan Bahasa dan Mastika.

Bab kedua, penulis tampil dengan menyorot kajian-kajian lepas yang pernah dijalankan oleh pengkaji terdahulu. Pengkaji membentuk dua tema utama iaitu kajian terhadap puisi Melayu tradisional dan kajian yang berkaitan dengan unsur puitika. Kajian-kajian terdahulu memberikan gambaran sebenar kepada pembaca tentang kajian-kajian yang pernah dijalankan sebelum ini. Selanjutnya, penulis merumuskan kajian unsur puitika dalam puisi Melayu tradisional masih belum diteroka dan dianalisis secara lebih mendalam, lalu menjadi asas dalam penelitian yang dilaksanakan penulis.

Pada bab ketiga yang berjudul “Unsur Bahasa dalam Puisi Melayu Tradisional”, penulis mengemukakan kepentingan bahasa dalam penciptaan puisi Melayu tradisional. Penulis membincangkan bahasa dalam puisi Melayu tradisional dari perspektif bahasa kiasan, imejan, bahasa perlambangan dan bahasa pertentangan. Penulis turut membincangkan unsur puitika dalam puisi Melayu tradisional berserta peranan setiap unsur seperti bahasa perbandingan, bahasa sindiran, bahasa penegasan dan bahasa pertentangan.

Selanjutnya, menerusi bab keempat yang berjudul “Jenis, Fungsi dan Kesan Unsur Puitika dalam Puisi Melayu Tradisional”, penulis mendedahkan hasil dapatan kajian yang dijalankan. Penulis mengesani pelbagai jenis unsur puitika yang terdapat dalam puisi Melayu tradisional khususnya dalam penciptaan pantun-pantun yang terpilih. Unsur-unsur puitika yang berjaya dikenal pasti ialah metafora, simile, personifikasi, depersonifikasi, simbolik, litotes, hiperbola, eufemisme, disfemisme, alegori, alusi, antonomasia, epitet, parafrasa, onomatopeia, ironi, eponim, sinekdok, metonimi, pleonasme, repetisi, paralelisme, klimaks, inversi, erotesis, asindeton, polysindeton, paradoks, sarkasme, antitesis dan kontradiksi.

Penulis mengakhiri penulisan dalam buku berbentuk kajian ini dengan menyisipkan bab yang terakhir iaitu bab lima sebagai rumusan secara keseluruhan terhadap kajian yang telah dijalankan. Pengaplikasian unsur puitika dalam puisi Melayu tradisional seperti genre pantun sememangnya sangat penting sebagai unsur yang memperindah dan menjadikan bahasa pengucapannya bertenaga. Penulis turut menyatakan bahasa penggunaan bahasa akan menentukan bahawa sesuatu pantun itu menarik, bermutu dan menepati syarat kepuitisannya. Seterusnya, berdasarkan hasil kajian yang telah dijalankan, penulis menyimpulkan beberapa penggunaan unsur puitika dalam pantun Melayu. Yang pertama ialah berpusat pada pemilihan kata iaitu pemilihan kata dalam pantun Melayu didasari kejelasan, keutuhan dan ketepatan maknanya. Penggunaan unsur puitika yang seterusnya ialah berpusat pada bunyi iaitu rima yang terbentuk daripada penciptaan pantun akan turut melahirkan rangsangan keindahan pada pendengaran. Penulis juga berpendapat bahawa unsur puitika dalam pantun berpusat pada struktur sintaksis atau ayat yang mampu membentuk sesuatu unsur puitika seperti klimaks, inversi, koreksi, antitesis, repetisi, paralelisme dan kontradiksi. Seterusnya, penggunaan unsur puitika berpusat pada makna iaitu menghasilkan penggunaan unsur bahasa retorik dan unsur bahasa kiasan. Penggunaan unsur puitika dalam pantun yang terakhir ialah berpusat pada wacana iaitu merujuk pada persoalan yang terbina dalam sesebuah pantun.

Kesimpulannya, penerokaan unsur puitika dalam pantun dapat menjelaskan kepada kita akan kepentingan unsur puitika dalam penciptaan sesebuah pantun. Seterusnya, buku ini menjelaskan jenis serta peranan unsur-unsur puitika yang telah dikenal pasti dalam pantun-pantun terpilih yang dianalisis. Kajian-kajian sebegini dapat memberi impak yang positif terutamanya dalam mempercambahkan kajian-kajian tentang puisi Melayu tradisional di samping menyingkap keindahan dan kehebatan pemikiran masyarakat Melayu dalam menghasilkan puisi Melayu tradisional terutamanya pantun. Kajian-kajian seperti ini sewajarnya diteruskan dengan mengisi kelompangan kajian-kajian sebelum ini demi kelestarian kesusasteraan bangsa dan meneruskan usaha-usaha pendokumentasian demi kepentingan pendidikan serta keintelektualan.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1054318
    Visit Today : 1263
    This Month : 2571
    Total Visit : 1054318
    Hits Today : 4331
    Total Hits : 4327849
    Who's Online : 13
  • Kategori