Judul: Pelestarian Penyu di Pulau Pinang

Penulis: Mansor Yobe

Terbitan: Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun: 2018

Harga: RM22

Pengulas: ATIQAH ABD RAHIM

TIDAK terlintas di fikiran bahawa terdapat beberapa buah pantai di Pulau Pinang yang menjadi tempat pendaratan penyu dan program konservasi penyu juga sedang giat dijalankan di sana. Bandar raya Pulau Pinang bukan nama yang begitu sinonim dengan aktiviti pendaratan penyu. Penerbitan buku ini secara tidak langsung dapat memberikan kesedaran dan pengetahuan baharu kepada rakyat Malaysia supaya peka akan aktiviti pelestarian haiwan yang tertua di dunia ini. Itulah sebab utama pengulas tertarik untuk memiliki buku ini.

Yang paling menarik, buku ini ditulis berdasarkan pengalaman sebenar seorang pencinta penyu yang antara terawal melibatkan diri secara berterusan dalam usaha pemuliharaan penyu di pantai Pulau Pinang, iaitu sejak tahun 1999. Buku ini memberikan intonasi personal yang menceritakan perjalanan penulis Mansor Yobe dalam mengusahakan aktiviti yang boleh membuatkan ibu penyu tertarik untuk datang bertelur di Pantai Kerachut, Pulau Pinang. Selain itu, buku ini menjelaskan perkembangan aktiviti pengurusan penyu dan pelaksanaan standard operasi piawaian (SOP) yang telah ditetapkan bagi sesebuah Pusat konservasi dan Penerangan Penyu.

Buku ini amat mudah difahami dan tidak jemu dibaca kerana penulis begitu teliti dalam menyertakan segala keringat dan perasaannya, yang membentuk perasaan empati kepada pembaca untuk bersama-sama melestarikan penyu di Pulau Pinang. Tidak dinafikan buku berbentuk jurnal dan diari lebih dekat di hati pembaca kerana dapat membayangkan keperitan yang dilalui oleh penulis seterusnya berbangga dengan kejayaan yang dikecap oleh penulis hasil usaha yang berterusan.

Dalam bab pertama, penulis menceritakan cabaran awal yang dihadapi semasa program konservasi penyu dimulakan. Menurut penulis, aktiviti pengurusan dan pemantauan penyu bukanlah suatu tugasan yang mudah dan selesa. Tidak ramai kakitangan yang sanggup terlibat dalam tugasan tersebut kerana memerlukan komitmen dan pengorbanan yang tinggi. Mereka ditempatkan di pejabat yang tiada penyaman udara, perlu menjalankan tugasan rondaan di persisiran pantai yang jauh dan tidak berpenghuni, tiada rangkaian telefon dan kemudahan jalan raya, tiada kedai makan dan hanya dua orang yang bertugas bagi tempoh tiga hari dua malam. Apatah lagi, penulis hanya diberikan sebuah pejabat yang berbentuk pondok kecil tanpa sebarang kemudahan yang lengkap dengan hanya bertemankan limpahan cahaya lampu minyak tanah, dan sesekali menggunakan lampu suluh jika terdengar sesuatu yang asing.

Penulis menulis tentang semangat kakitangan pejabat dan usaha pengurusan penyu yang diumpamakan sebagai ada pasang surutnya. Pada peringkat awal pelaksanaan, kakitangan begitu bersemangat dalam tugasan pemantauan yang diberikan. Selang setahun, petugas-petugas menampakkan sikap kerakusan kerana hanya memikirkan ganjaran elaun semata-mata dengan mengetepikan segala usaha perancangan pemantauan. Peristiwa tersebut membuatkan pemilihan ketat perlu dilakukan bagi memilih petugas yang layak, berminat dan berdedikasi dalam menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan. Namun begitu, penulis hampa kerana petugas baru ini dikenakan tekanan dan dibuli oleh petugas yang tidak bertanggungjawab atas rasa cemburu disebabkan tidak diberikan peluang lagi untuk aktiviti pemantauan. Akhirnya, khidmat pemantauan dihentikan, dan hanya penulis terus melaksanakan usaha pemantauan secara bersendirian bersama dua orang anaknya.

Dalam bab dua, tiga dan empat, penulis menjelaskan usaha pengurusan penyu dan spesies terancam yang lain dan usaha melindungi habitat semula jadi penyu, iaitu dengan memastikan kawasan pantai yang selamat dan suhu yang bersesuaian untuk penetasan jantina anak penyu yang seimbang. Penulis juga berusaha mendapatkan maklumat daripada orang ramai, terutamanya kaki pancing dan para nelayan tentang penyu yang mendarat, dan dalam masa yang sama memberikan maklumat kepada mereka tentang usaha konservasi penyu yang sedang diusahakan. Kerjasama tersebut membuahkan hasil apabila ada nelayan yang bersetuju memberikan telur penyu yang dijumpai, ada yang memaklumkan tentang pendaratan ibu penyu di pantai, dan melaporkan kecurian telur penyu dan kematian penyu di pantai.

Selain itu, usaha penyediaan tapak perkhemahan yang selesa dan kemudahan lain seperti tandas, bilik air, surau, dewan terbuka dan dapur memasak dapat mengawal aktiviti pengunjung di pantai yang boleh merencatkan hasrat ibu penyu untuk datang bertelur di pantai. Penulis berkongsi tentang pengurusan pokok-pokok di persisiran pantai untuk mengelakkan hakisan pantai dan menghilangkan kawasan peneluran penyu. Penanaman semula pokok juga dapat menurunkan paras suhu di bawah lantai pasir bagi menjamin keseimbangan jantina anak penyu yang akan menetas. Pemantauan terhadap ancaman haiwan pemangsa seperti anjing, musang, biawak dan ketam kecil juga dilaksanakan dengan penggunaan kaedah sangkar tambahan untuk tempat penetasan telur penyu dan rumah pengeraman.

Projek pengurusan penyu ini dinamakan sebagai Pusat Konservasi dan Penerangan Jabatan Perikanan Negeri, Pantai Kerachut, Pulau Pinang. Program pendidikan dan kesedaran awam kepada pelancong dilaksanakan bagi menyalurkan maklumat yang tepat tentang usaha ini. Kini, pusat penyu telah menerima kehadiran ramai pelawat yang kebanyakan mengadakan program tanggungjawab sosial.

Dalam bab lima, penulis merekodkan secara terperinci lokasi pendaratan ibu penyu di pantai-pantai Pulau Pinang. Peta lokasi pantai yang berjaya dikesan juga disertakan untuk kefahaman pembaca. Tambahan pula, gambar pantai dan pemandangan laut yang cantik dapat menyedarkan pembaca agar terus memelihara keaslian semula jadi pantai-pantai di Pulau Pinang dan juga pantai-pantai di seluruh Malaysia.

Dalam bab terakhir buku ini, penulis menyertakan pendapatnya mengenai industri pelancongan daripada aktiviti pemuliharaan penyu yang mampu menjana ekonomi kepada penduduk setempat dan mengangkat nama Pulau Pinang sebagai antara pusat konservasi penyu yang aktif di Malaysia. Sehubungan dengan itu, penulis menggariskan masalah dan penyelesaian yang sedang dan bakal dihadapi sekiranya mahu mempromosikan pusat konservasi penyu ini sebagai industri pelancongan di Pulau Pinang.

Keseluruhannya, buku ini mendedahkan kisah dan fakta yang menarik kepada pembaca tentang kewujudan pusat konservasi penyu dan pemuliharaan habitat semula jadi di pantai utama Pulau Pinang yang menjadi tempat pendaratan penyu. Pembaca akan membaca banyak coretan luahan hati penulis dalam penglibatannya menguruskan pusat konservasi ini. Luahan berani beliau terhadap sikap tidak acuh beberapa kakitangan pada awal program ini dilaksanakan juga agak mengejutkan pengulas walaupun penulis tidak mendedahkan identiti kakitangan tersebut. Buku ini sesuai untuk bacaan umum, dan tentunya akan menarik perhatian pencinta penyu yang baru. Sama-sama kita menjaga pantai negara, bukan sahaja untuk membolehkan pendaratan ibu penyu malah mengekalkan alam semula jadi yang telah dikurniakan Tuhan!

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1054233
    Visit Today : 1178
    This Month : 2486
    Total Visit : 1054233
    Hits Today : 3963
    Total Hits : 4327481
    Who's Online : 8
  • Kategori