Judul            : Debu-debu di Batu Arang

Pengarang   : Murad Arsad

Terbitan       : Dewan Bahasa Dan Pustaka

Tahun           : 2017

Pengulas      : Dr. Nazariyah Sani

Harga           : RM13

Novel Debu-debu di Batu Arang terbitan 2017, nukilan Murad Arsad, berjumlah 185 muka surat ini berlatarkan kehidupan rakyat Tanah Melayu zaman penjajahan Inggeris dan Jepun. Zaman ini merupakan era revolusi industri 1. Novel ini bercerita tentang Kampung Rantau Panjang, Mukim Hulu Selangor, pada tahun 1908 hingga 1941.

Novel berunsur sejarah kategori remaja ini memaparkan kerakusan manusia merebut anugerah Allah SWT di muka bumi iaitu arang batu, yang menjadi perjuangan rakyat Tanah Melayu zaman penjajahan Inggeris dan Jepun untuk terus hidup. Turut diperlihatkan kesengsaraan hidup rakyat pada zaman perang untuk mendapat hak yang sewajarnya daripada penjajah dan mempertahankan hak milik bumi sendiri daripada dirampas.

Penemuan arang batu di Kampung Rantau Panjang seawal tahun 1908 oleh Haji Hadi dan Ismail Kerbau, secara tidak sengaja mengundang konflik antara beberapa individu. Mereka ialah John Archibald, seorang jurutera di Straits Trading Company Jalan Pasar, Kuala Lumpur, yang berasal dari England tetapi fasih berbahasa Melayu, Kantonis dan Hokkien. Selain itu, Coates, pegawai daerah Hulu Selangor, Loke Yew dan rakan sekutu yang menjalanka perniagaan, Ismail Kerbau yang penuh angan-angan seperti Mat Jenin turut terlibat dalam konflik ini.

John Archibald mendapat tahu Haji Hadi bersama-sama Ismail Kerbau, terjumpa batu arang sewaktu singgah di rumah beliau semasa meminta sedikit air minuman. Sejak peristiwa itu, John terus memasang angan-angan untuk mengaut kekayaan dari anugerah semula jadi bumi Tanah Melayu tersebut tetapi gagal.

Novel remaja ini turut mengisahkan suka duka kehidupan Haji Hadi dan isterinya, Hajah Umi, yang menyara kehidupan dengan mencari rotan di hutan. Sahabat mereka Kassim Kerbau pula sekadar menjadi broker tanah dan sekali-sekala menemani Haji Hadi mencari rotan di hutan.

Latar pengembaraan Haji Hadi dan Kassim Kerbau mencari rotan di belantara dalam misi mencari sesuap nasi untuk keluarga digambarkan penulis secara terperinci menerusi catatan berikut, “keringat yang mengalir kerana kepayahan mengayuh basikal, bahang panas yang membakar tubuh, pohon besar untuk teduhan, bukit kecil tempat menyandar apabila kepenatan.”

Novel remaja ini disajikan dengan kalimat-kalimat serta diksi yang mudah difahami. Bahasa yang digunakan mudah difahami kerana tidak berbelit-belit. Buku terbitan DBP ini juga sesuai sebagai bahan bacaan bagi remaja kerana sarat akan pengajaran dari peristiwa sejarah dan memaparkan kesukaran hidup masyarakat pada waktu itu.

Buktinya, keluarga Kassim Kerbau hanya makan bubur nasi, ubi rebus dan pisang sahaja kerana kekurangan pendapatan untuk membeli makanan. Hal ini dapat memberi kesedaran kepada khalayak pembaca terutama remaja hari ini tentang beratnya penanggungan kehidupan akibat penjajahan. Oleh itu, mereka perlu menghargai kemerdekaan yang dikecapi dan tidak membazir atas setiap rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita.

Pengarang menggunakan banyak perumpamaan dalam novel ini untuk menggambarkan situasi. Sebagai contoh, perumpamaan “hanya jauhari yang mengenal manikam,” digunakan apabila menggambarkan perbuatan Haji Hadi yang mahir tentang rotan sekadar meninjau-ninjau keadaan sekeliling kawasan belukar dan hutan paya dengan pandangan mata sahaja untuk mencari rotan.

Selain itu beberapa petunjuk tentang survival kehidupan di hutan diberi dalam novel ini. Sebagai contoh, daun-daun pokok ditebas dan dibiarkan di atas tanah sebagai tanda untuk mengelak sesat di hutan, sentiasa menjaga pantang larang di hutan dan berdoa untuk keselamatan diri semasa berada di dalam hutan.

Muka hadapan buku yang berwarna pastel dan grafiknya yang berwarna-warni sangat menarik perhatian para remaja untuk memilikinya. Kulit buku ini menimbulkan rasa ingin tahu pembaca akan kandungan di dalamnya. Tidak keterlaluan kalau saya katakan buku ini dapat memukau pembaca untuk memilikinya.

Ada kalanya peristiwa yang digambarkan menimbulkan debaran yang sangat hebat di hati pembaca. Contohnya, peristiwa percubaan tentera Kiai Busro menyelamatkan tahanan di stor askar Jepun. Kemunculan ketua tentera Jepun, iaitu Jeneral Kato pada saat tahanan melangkah naik ke dalam trak amat mendebarkan. Arahan agar berhenti melarikan diri dan bunyi senapang daripada Jeneral Kato pasti menghentikan denyut nadi pembaca.

Di mana sahaja berada, watak John Archibald digambarkan sebagai seorang yang bercita-cita tinggi untuk memajukan diri sehingga mengetepikan perasaan dan keinginan isteri beliau yang ingin kembali ke England. Buktinya, isteri beliau menitiskan air mata apabila ditempelak oleh John kerana asyik menyebut untuk pulang ke England.

Unsur kesantunan tidak diabaikan oleh penulis. Penulis menggambarkan kesantunan watak Kassim Kerbau melalui peristiwa beliau menyelimutkan anaknya yang sedang tidur mengerekot kerana kesejukan. Ia lambang peribadi ayah yang santun, positif dan penuh kasih sayang terhadap darah daging sendiri walau pun dibelenggu kesulitan hidup. Haji Hadi pula amat rendah budi pekertinya. Sering bergaul dengan masyarakat kampung sehingga beliau mahir dengan selok belok kampung.

Haji Hadi tidak pernah lupa berdoa kesejahteraan diri sewaktu di hutan. Dia sentiasa beristighfar, meninggalkan khurafat dan percaya akan rezeki yang ditentukan oleh Allah SWT. Hal ini wajar dicontohi remaja hari ini. Kegigihan Haji Hadi mengayuh basikal dengan seribu kepayahan digambarkan pengarang menerusi perlakuannya membenarkan Kassim Kerbau membonceng basikalnya yang telah sarat dengan guni arang batu dan juga bilah-bilah rotan.

Perjuangan masyarakat tempatan dalam melawan rasa takut yang tidak bersebab dalam diri sendiri perlu dicontohi para remaja hari ini. Mereka bersatu, bangkit berusaha mengatur strategi menghadapi penindasan penjajah Inggeris dan Jepun agar tidak dilabel pengecut berpanjangan dan gigih mempertahankan bumi tanah tumpah darah sendiri.

Murad Arsad menggunakan sudut imbas kembali melalui penceritaan orang ketiga dalam menggambarkan kisah Debu-debu di Batu Arang ini. Penulis juga dapat mengetahui isi hati tokoh-tokoh dalam ceritanya melalui bayangan watak. Oleh kerana itu, sudut pandang yang digunakan adalah sudut pandang orang ketiga yang serba tahu. Buku ini banyak meninggalkan pesan yang baik. Oleh itu, diharapkan remaja yang membaca novel ini membesar dengan peribadi yang baik seperti watak dalam novel ini sepenuhnya ataupun sebahagian daripadanya.

Novel Debu-debu di Batu Arang ini membantu pembaca berfikir secara kritis dari sudut sejarah. Begitu juga dengan memperhatikan setiap elemen yang berkembang dalam buku ini agar dapat membantu khalayak pembaca untuk menambah informasi baharu terhadap aliran kehidupan pada zaman penjajahan dan pada zaman hari ini.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1054146
    Visit Today : 1091
    This Month : 2399
    Total Visit : 1054146
    Hits Today : 3595
    Total Hits : 4327113
    Who's Online : 9
  • Kategori