Judul buku     : Tamadun Rusia

Penulis            : Zulkanain Abdul Rahman

Penerbit          : Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun terbit    : 2015

Harga              : RM15.00

PENGULAS  : JAYMANI SEVANATHAN 

PENGETAHUAN tentang sejarah dan peradaban Rusia penting untuk masyarakat memahami konflik politik ataupun isu-isu semasa yang berlaku di negara tersebut. Sejarah Rusia kebanyakannya adalah sejarah perang. Selama 200 tahun, Rusia berperang 128 tahun dan berada dengan damai selama 72 tahun. Dalam 128 tahun perang itu berlaku, 123 tahun dihabiskan untuk merebut wilayah lain.

Buku ini secara umumnya membincangkan tamadun Rusia yang menjadi sebahagian daripada tamadun dunia yang lebih besar. Buku ini membahagikan perbincangan kepada tiga bahagian atau tahap utama, iaitu zaman pra-Moscow, zaman Moscow dan Zaman Saint Petersburg. Buku ini mengandungi sepuluh bab dan perbincangan yang dibawa penulis merangkumi tempoh jangka waktu sekitar sepuluh abad. Pengulas mengulas beberapa bab yang dilihat sangat menarik untuk dibaca dan diteliti.

Dalam bab satu, penulis membincangkan negara kota Kiev dan Dinasti Rurik. Negara kota Kiev yang kini merupakan ibu kota kepada Ukraine dikatakan tempat bermulanya tamadun dan sejarah orang Rusia secara khusus dan mendalam serta negara Ukraine dan Belorusia pada hari ini. Menurut sejarah, pada tahun 862, orang Varangia yang bernama Rurik bersama-sama dengan dua abangnya dikatakan telah diundang oleh masyarakat Slav untuk memerintah di Kiev. Kiev dikenali sebagai Mother of the Russian Cities. Corak pemerintahan negara kota Kiev adalah bersifat monarki berkuasa mutlak. Hal ini menunjukkan bahawa negara kota Kiev diletakkan di bawah pemerintahan raja yang memerintah secara berterusan atau seumur hidup. Pada masa yang sama, pemerintah yang berjaya membawa negara kota Kiev berada di kemuncak kemakmuran ialah Yaroslaz. Yaroslaz memerintah Kiev antara tahun 1019 – 1054. Beliau banyak memberi sumbangan dalam bidang kebudayaan. Manakala dari aspek kepercayaan dan keagamaan pula, kepercayaan pagan dipraktikkan secara meluas sebelum kedatangan ajaran Kristian Ortodoks pada lewat abad ke-10. Penulis menekankan bahawa para pemerintah Kiev tertarik dengan ajaran Kristian Ortodoks menerusi kegiatan perdagangan yang berlaku secara aktif antara Kiev dengan Constantinople. Namun, negara kota Kiev mengalami kemerosotan mulai abad ke-12 disebabkan ancaman dan serangan kuasa luar iaitu serangan tentera Mongol yang berterusan.

Dalam bab kedua, penulis menyingkap kaitan sejarah yang rapat antara sejarah Rusia dan sejarah Byzantium. Menurut penulis, Empayar Byzantium muncul lebih awal iaitu sekitar awal abad keempat. Pengaruh empayar Byzantium tersebar luas hingga ke Asia Kecil, utara Afrika dan dunia bangsa Slav yang merangkumi Rusia, Bulgaria, Romania dan rantau Balkan. Dalam bab ini juga, tumpuan penulis diberikan terhadap sejarah awal Constantinople, pencapaian Constantinople dalam aspek ekonomi, kebudayaan dan politik. Dalam pada itu, pengaruh empayar Byzantium terhadap proses pembinaan dan pengukuhan empayar Rusia sebelum abad ke-15 merangkumi pelbagai aspek.

Dalam bab enam, penulis membincangkan pembebasan hamba yang berlaku di Rusia pada pertengahan abad ke-19. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan bilangan hamba ramai, terutamanya di kawasan pertanian yang subur. Pertamanya, golongan hamba ini sebahagian besarnya berasal daripada keluarga petani yang tidak dapat melunaskan hutang atau bayaran pajakan kepada tuan tanah persendirian yang menyebabkan pembesar tempatan bebas menguasai tanah. Faktor lain adalah seperti individu yang asalnya bebas menjadi hamba apabila berkahwin dengan keluarga hamba. Perhambaan hanya berakhir di Rusia pada tahun 1861. Pada tahun itu, Tsar Alexander II bertindak mengeluarkan dekri pembebasan hamba untuk seluruh empayar Rusia. Namun, keadaan kehidupan para petani yang terikat dengan bayaran penebusan meletakkan mereka terus dicengkam oleh pemerintahan autokratik Tsar sehinggalah berlakunya revolusi 1905.

Dalam bab tujuh pula, perkembangan industri atau revolusi perindustrian dibincangkan penulis. Kemunculan kelas pekerja disentuh dan proses kemunculan tenaga kerja mahir atau separa mahir dapat dilihat menerusi kehadiran para petani seperti di Moscow, Baku, Poland, Ukraine dan St. Petersburg. Perkembangan industri baru sama ada yang berskala kecil atau besar, dan diusahakan oleh pemodal asing atau tempatan dalam empayar Rusia itu menerima reaksi yang berbeza daripada golongan yang diperintah. Pertumbuhan industri moden ini juga banyak menggunakan barangan modal yang diimport.

Dalam bab sembilan, revolusi 1905 dijelaskan oleh penulis. Kita sebagai pembaca sudah biasa mendengar revolusi 1917 yang berlaku pada Oktober 1917. Revolusi 1917 membawa konotasi yang cukup mendalam kepada para pendukung fahaman Marxisme-Leninisme. Hal ini adalah kerana segala pembentukan negara sosialis yang bersifat utopia hanya bermula dengan kemenangan elit Bolshevik. Tetapi revolusi 1905 tidak boleh dipisahkan daripada revolusi 1917 jika kita hendak memahami gambaran yang menyeluruh. Revolusi 1905 ini boleh dianggap titik perubahan yang meletakkan asas pemodenan politik yang kukuh ke arah revolusi yang berlaku pada bulan Oktober 1917.

Dalam bab terakhir, iaitu bab sepuluh, perjalanan revolusi antara bulan Januari hingga bulan Oktober 1905 dibincangkan. Demonstrasi dan mogok pekerja diadakan di St. Petersburg, Novgorod, Smolensk, Samara, Saratov, Kula, kawasan Baltik, Tiflis, Caucasus, Ural dan Siberia. Apabila hampir bulan Oktober, gerakan pekerja dilihat lebih kemas, berorganisasi dan dinamik. Hal ini dapat dibuktikan dengan penubuhan Soviet yang bermaksud majlis ketika berlangsungnya revolusi. Soviet ini ditubuhkan di St.Petersburg dan Moscow kerana terdapat ramai pekerja industri. Manifesto 1905 juga dihuraikan oleh penulis di mana ia diisytiharkan oleh Tsar Nicholas II pada 17 Oktober 1905 untuk menghentikan kritikan dan huru-hara yang semakin berleluasa. Pengisytiharan manifesto Oktober ini menggembirakan masyarakat massa walaupun sebahagian besarnya tidak memahami isi kandungan dan pengertian sebenar manifesto tersebut.

Kesimpulannya, pengetahuan rakyat Malaysia tentang sejarah Rusia amat terhad dan kurang berminat untuk mempelajari atau mengetahui sesuatu yang berkaitan dengan Rusia. Oleh itu, buku ini sangat sesuai dibaca oleh peminat sejarah, pelajar sains politik, hubungan antarabangsa dan juga semua lapisan masyarakat yang ingin mempelajari ilmu baharu.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1047470
    Visit Today : 1086
    This Month : 30069
    Total Visit : 1047470
    Hits Today : 3138
    Total Hits : 4297940
    Who's Online : 7
  • Kategori