Oleh DR. AWANG SARIYAN

Dr. Awang Sariyan

DALAM makalah ini dan beberapa makalah selanjutnya, tumpuan pembicaraan diberikan kepada perkembangan pengajian Melayu, termasuk pengajaran bahasa Melayu di Republik Rakyat China. Pembicaraan awal akan menyorot segi sejarah permulaan dan perkembangan hubungan antara tamadun Melayu dengan tamadun China yang turut memberikan dampak kepada perkembangan pengajian Melayu dan pengajaran bahasa Melayu di negara besar di rantau Asia Timur itu. Sesudah itu, akan saya bicarakan perkembangan semasa pengajian Melayu dan pengajaran bahasa Melayu di negara tersebut, termasuk yang berkaitan dengan penubuhan Kursi Pengajian Melayu oleh Kerajaan Malaysia di China pada tahun 2008.

Interaksi antara tamadun Melayu dengan tamadun China mempunyai sejarah yang  cukup panjang. Pembicaraan yang dapat dikira tuntas tentang hal itu terdapat dalam buku Prof. Liang Liji, professor kanan pengajian Melayu-Indonesia di Universiti Peking. Buku itu berjudul Lembaran Sejarah Gemilang Hubungan Empayar Melaka-Dinasti Ming Abad Ke-15, terbitan Penerbitan Universiti Kebangsaan (1996, cetakan kedua 2010). Beliau menyandarkan kupasannya pada sumber China yang dicatat dalam zaman dinasti-dinasti China dahulu kala, kerana semenjak zaman Dinasti Xia (2140-1711 S.M) Dinasti Shang (1722-1066 S.M), sudah wujud tradisi pencatatan sejarah oleh pegawai istana yang dikenal sebagai Shi Guan. Sistem pencatatan sejarah diraja itu mencapai kesempurnaan pada zaman Dinasti Han (206 S.M – 220 M). (Liang Liji, 1996: 10).

Dalam hubungannya dengan interaksi tamadun Melayu-China, Ming Shi Lu (Rekod Hal Ehwal Dinasti Ming) menjadi sumber utama yang memerikan hubungan dengan Kesultanan Melaka pada abad ke-15. Di samping itu, banyak sumber lain dalam bentuk buku sejarah rasmi dan tidak rasmi yang mencatat hubungan dengan Melaka, seperti Ming Shi (Sejarah Dinasti Ming), Ming Tong Dian (Almanak Umum Dinasti Ming), Ming Hui Dian (Kumpulan Dokumen Dinasti Ming), Xian Bing Lu (Rekod Tetamu Negara), Deng Tan Bi Jiu (Catatan Hal Ehwal Kerajaan). Ada pula tulisan cendekiawan China yang mendampingi Laksamana Zheng He (Ceng Ho) dalam kunjungan ke alam Melayu (Liang Liji, 1996: 11).

Namun, beberapa lama sebelum abad ke-15 yang menandai hubungan China dengan Melaka sebagai kerajaan Melayu yang paling masyhur, telah wujud hubungan antara dua wilayah itu, yang menurut Liang Liji telah berlangsung selama 1500 tahun lebih. Sumber sejarah China terawal yang mencatat hubungan China dengan alam Melayu ialah Han Shu – Di Li Zhi (Kepustakaan Dinasti Han – Catatan Geografi). Sumber itu memerikan pelayaran utusan Maharaja Wu Di (140 S.M – 87 S.M). ke India yang melalui Semenanjung Tanah Melayu dan sambil itu melakukan perniagaan pertukaran barang (barter) dengan negeri-negeri di Asia Tenggara dan Asia Selatan (Liang Liji, 1996: 13-15).

Hubungan yang khusus merujuk kepada alam Melayu berlaku dalam zaman Dinasti Han. Dicatat dalam Hou Han Shu (Kepustakaan Dinasti Han Zaman Kemudian) dengan pemerian bahawa pada tahun 131 Masihi, kerajaan Ye Diao yang dipercayai berada sama ada di Jawa atau Sumatera telah mengirimkan ufti kepada maharaja China dan kemudian maharaja China menganugerahkan hadiah kepada raja itu pula.

Sumber-sumber sejarah China memerikan hubungan Kerajaan China dengan Kerajaan di alam Melayu dengan agak rinci, dari permulaan yang dirintis secara jelas dalam Dinasti Han itu dan diikuti siri hubungan dalam dinasti-dinasti sesudahnya. Namun, menurut Liang Liji, oleh sebab sesudah Dinasti Han kestabilan dalam negara China kurang baik, maka hubungan dengan alam Melayu sering terputus-putus dan tidak bersinambung.

Demikian pula pada waktu itu belum ada kerajaan Melayu yang betul-betul besar sehingga hubungan tidak begitu akrab. Hubungan China dengan alam Melayu melonjak ke peringkat yang lebih tinggi sesudah munculnya Dinasti Tang (618-907 M) dan Empayar Sriwijaya di alam Melayu pada abad ke-7 (Liang Liji, 1996: 25-26).

Hubungan antara dua buah kerajaan besar, yang satu di Asia Timur dan yang satu di alam Melayu itu mempunyai makna yang penting dan istimewa dalam konteks interaksi tamadun, yang bukan hanya terbatas pada hubungan dagang semata-mata, malahan menjangkau hubungan kebudayaan, pemikiran dan sistem kepercayaan. Bagi Dinasti Tang, kesuburan kegiatan pendeta Buddha di Sriwijaya menjadi pangkalan terbaik untuknya mengembangkan ajaran agama itu di luar wilayahnya.

Pada waktu itu, bahasa Melayu kuno yang sangat kuat dipengaruhi oleh bahasa Sanskrit menjadi wahana pemahaman bahasa Sanskrit bagi para pendeta Buddha. Kegiatan Pendeta Yi Jing (I-Cing) yang tinggal selama enam bulan di ibu kota Sriwijaya dengan misi memperdalam pengajian agamanya, di samping membantu memperluas kegiatan agama Buddha di negara itu dengan jelas memperlihatkan keakraban hubungan antara dua buah negara dan tamadun itu. Selain soal agama, aspek adat istiadat, budi bahasa dan aspek-aspek kebudayaan lain di alam Melayu turut mendapat perhatian Yi Jing sehingga Empayar Sriwijaya dipandang begitu tinggi oleh Dinasti Tang sebagai pusat tamadun besar di alam Melayu.

Keakraban hubungan antara China dengan alam Melayu dilanjutkan oleh Dinasti Song (960-1279 M.) dan Dinasti Yuan (1206-1368 M.). Dalam tempoh kedua-dua dinasti itu, hubungan dengan Sriwijaya dan Jawa lebih tertumpu pada bidang perniagaan meskipun aspek kebudayaan tetap berlangsung terus.

Zaman gemilang hubungan antara tamadun Melayu dengan tamadun China berlaku dalam zaman Dinasti Ming pada abad ke-15, sehingga Liang Liji mengungkapkan bahawa “Lembaran sejarah ini patut dicatat dengan tinta emas kerana pencapaiannya tiada tandingannya lagi dalam sejarah kedua-dua bangsa.” (Liang Liji, 1996: 42).

Hal ini demikian kerana hubungan kedua-dua tamadun dalam zaman itu benar-benar mencapai puncak hubungan diplomatik yang halus dan teratur, baik dalam huubungan politik antara dua kuasa besar mahupun dalam hubungan perdagangan dan kebudayaan. Melaka di bawah pemerintahan Raja Parameswara (Sultan Iskandar Syah) menjadi destinasi pertama misi Maharaja Ming Cheng Zhu ke alam Melayu pada tahun 1403. Sejarah pembukaan hubungan diplomatik antara China dengan Melaka itu tercatat dalam Ming Shi (Sejarah Dinasti China).

Kepesatan dan keakraban hubungan antara dua tamadun itu tergambar pada beberapa fakta yang penting dan menarik. Antaranya termasuklah pengutusan Laksaman Zheng He atau Sampo Kong (yang dalam persuratan Melayu dikenal sebagai Laksamana Cheng Ho) dengan armada raksasa untuk melakukan lawatan muhibah ke Asia Tenggara, Asia Selatan dan Asia Barat, dengan kapal terbesarnya dapat memuat barang seberat 2500 tan dan orang sejumlah 1,000 orang. Jumlah kapal yang menyertai armada itu pula sekitar 100 hingga 200 buah, dengan pegawai, awak kapal dan askar yang mencecah angka antara 27,000 hingga 28,000 orang (Liang Liji, 1996: 43-44).

Fakta lain yang penting juga ialah  kekerapan kunjungan Raja Melaka ke China, bermula dengan kunjungan Parameswara (Sultan Iskandar Syah) pada tahun 1411 (dengan 540 orang anggota rombongannya), Megat Iskandar Syah (Raja Besar Muda), kali pertama pada tahun 1414 (selaku putera mahkota yang menyampaikan khabar kemangkatan ayahandanya) dan kali kedua pada tahun 1419, dan Seri Maharaja (Raja Kecil Besar/Sultan Muhammad Syah) pada tahun 1424,1433 dan 1434.

Selain itu, sepanjang tempoh hubungan akrab antara Melaka dengan China selama seabad lebih, iaitu dari tahun 1403 hingga tahun 1521, amat jelas kegiatan saling mengunjungi antara kedua-dua pihak, baik yang melibatkan raja mahupun pembesar, baik yang berkaitan dengan hubungan politik, perdagangan mahupun kebudayaan. Buku catatan Dinasti Ming Shi Zhong Lu, jilid 4 menyenaraikan 57 kegiatan hubungan diplomatik antara Kerajaan Melaka dengan Dinasti Ming dalam tempoh tersebut (Liang Liji, 1996: 63-76).

Manfaat lain yang tidak kurang pentingnya dalam konteks ketamadunan ialah pengaruh dan peluasan penggunaan bahasa Melayu yang menjadi lingua franca pada zaman Kesultanan Melayu. Jika dalam zaman Sriwijaya memang telah ada perhatian pendeta Buddha China dalam mempelajari bahasa Melayu kuno, maka dalam dalam zaman Kesultanan Melayu bahasa Melayu bukan sahaja dipelajari oleh para pendeta agama, malahan menjadi bahasa yang dipelajari dan digunakan untuk urusan perdagangan dan kehidupan oleh orang China daripada golongan lain, khususnya pedagang.

Yang lebih penting daripada itu ialah adanya “perhatian diraja” pada pihak Dinasti Ming dengan penubuhan jawatankuasa jurubahasa (Da Tong Shi) untuk memenuhi kepentingan dan keperluan dalam hubungan luar. Tong Shi atau jurubahasa yang berkhidmat dalam 18 jawatankuasa kecil (Xiao Tong Shi) berjumlah 60 orang, dan dua orang daripadanya khusus untuk bahasa Melayu, iaitu seorang untuk Melaka dan seorang untuk Sumatera.

Untuk melatih para jurubahasa, pada tahun 1405 Maharaja Ming Cheng Zhu menubuhkan akademi bahasa yang dikenal sebagai Si Yi Guan (Balai Bahasa Negeri-negeri Asing) di ibu negara Ying Tian Fu (kini Nanjing). Terdapat lapan jabatan di akademi bahasa asing itu. Bahasa Melayu dimasukkan di bawah Hui Hui Guan (Jabatan Islam yang meliputi Parsi, Arab, Melaka, Jawa dan lain-lain). Akademi bahasa asing itu bertahan melebihi 400 tahun, dan dilanjutkan dalam Dinasti Qing yang menggantikan Dinasti Ming walaupun namanya diubah pada 1748 menjadi Hui Tong Si Yi Guan. Peranan akademi itu hanya terhenti sesudah Perang Candu pada tahun 1840, sesudah Dinasti Qing menghadapi ketidakstabilan politik (Liang Liji, 1996: 82-90).

[Dalam makalah selanjutnya, akan saya bincangkan usaha penting pengajaran bahasa Melayu dengan penyusunan kamus dwibahasa China-Melayu pada abad ke-15, iaitu kamus dwibahasa pertama bahasa Melayu.]

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1048571
    Visit Today : 889
    This Month : 31170
    Total Visit : 1048571
    Hits Today : 2327
    Total Hits : 4301373
    Who's Online : 20
  • Kategori