Oleh ROHANA ABD. RAHMAN dan ALIAH ABDUL RAHIM

PERANAN bahasa Melayu sebagai alat perpaduan antara kaum hendaklah diberikan penekanan. Bagi merealisasikan maksud tersebut, sistem pendidikan satu aliran yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar perlu dilaksanakan di negara ini. Demikian menurut Felo Utama Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong, dalam Ceramah Umum Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu (JKTBM) bertajuk “Bahasa Melayu Kembali kepada Akar” yang berlangsung di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Raja Melewar, Seremban, Negeri Sembilan, pada 14 November 2018.

Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong ketika menyampaikan ceramah umum bertajuk “Bahasa Melayu Kembali kepada Akar”.

Beliau, yang juga ahli JKTBM, menegaskan bahawa sistem pendidikan satu aliran atau pendidikan seragam tidak akan mengetepikan bahasa kaum atau etnik lain. Oleh itu, pemimpin perlu memainkan peranan penting bagi mendukung hasrat tersebut agar bahasa Melayu terus dihormati sebagai asas jati diri negara bangsa. Menurutnya, dengan penggunaan bahasa yang sama, iaitu bahasa Melayu dalam sistem pendidikan satu aliran, masalah polarisasi kaum di negara ini dapat diatasi. Beliau turut memberikan contoh negara China yang menentukan satu jenis tulisan yang sama untuk menyatupadukan semua rakyat China, walaupun mereka terdiri daripada pelbagai etnik.

Datuk Abang Salahuddin Abg Shokeran, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Dewan Bahasa dan Pustaka , menyampaikan ucapan alu-aluan dalam majlis tersebut.

Ceramah Umum JKTBM diadakan dua kali setahun dan menjadi antara kegiatan utama yang dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam usaha pemasyarakatan bahasa Melayu. Ceramah ini dilaksanakan sebagai projek berterusan DBP sejak tahun 1999 yang melibatkan kerjasama dengan organisasi luar seperti universiti awam dan IPG di seluruh negara. Antara objektif program ini termasuklah menggalakkan perkongsian ilmu tentang isu perkembangan dan peranan bahasa Melayu dalam arus semasa, selain membantu JKTBM menyebarluaskan maklumat tentang fungsi, peranan, dan tanggungjawab bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa pendidikan dalam kalangan warga pendidik dan masyarakat awam.

Ucapan perasmian oleh Eddin Syazlee Shith, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Ceramah dirasmikan oleh Eddin Syazlee Shith, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah. Dalam ucapan perasmian, beliau mengatakan bahawa bahasa Melayu perlu bersaing dengan bahasa Inggeris yang ketika ini menjadi semakin penting dalam era teknologi maklumat dan komunikasi. Beliau juga mengharapkan agar pihak media membantu usaha memperkasakan dan memantapkan penggunaan bahasa Melayu menerusi rancangan televisyen dengan memperbanyak siaran berbahasa Melayu kepada penonton.

Dalam majlis tersebut, turut dilancarkan tiga buah buku terbitan IPG Kampus Raja Melewar dan Persatuan Penulis Negeri Sembilan, iaitu Antologi Cerpen Lautan Bukan Pemisah, Antologi Puisi Monolog Alam dan Untaian Harmoni Pantun Kita.

Turut dilancarkan tiga buah buku terbitan IPG Kampus Raja Melewar dan Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN).

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    979692
    Visit Today : 926
    This Month : 27163
    Total Visit : 979692
    Hits Today : 4034
    Total Hits : 3983177
    Who's Online : 6
  • Kategori