Oleh WAN NORASIKIN WAN ISMAIL dan AZIANTI ABD AZIZ

KARNIVAL Bahasa Jiwa Bangsa pada 23 Oktober 2018 di Dewan Aminuddin Baki, Institut Pendidikan Guru, Kampus Bahasa Melayu (IPGKBM) Lembah Pantai , Kuala Lumpur, berlangsung dengan penuh warna-warni. Karnival ini diadakan bersempena dengan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2018 peringkat Kementerian Pendidikan untuk menyemarakkan kegiatan bahasa, budaya dan sastera kebangsaan dengan penglibatan pelbagai lapisan masyarakat, terutamanya golongan pendidik  dan pelajar.

Bicara Santai bersama-sama Sasterawan Negara Datuk Seri (Dr.) A. Samad Said yang berkongsi pengalaman dalam dunia penulisan.

Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang karnival ini, seperti Bicara Santai bersama-sama Sasterawan Negara Datuk Seri (Dr.) A. Samad Said yang berkongsi pengalaman dalam dunia penulisan. Santai Dialek yang dikendalikan oleh pelawak terkenal Abon, meriuhkan reruai DBP dengan soalan tentang dialek di Malaysia yang cukup mencuit hati. Para pengunjung turut dihiburkan dengan dendangan lagu rakyat oleh Roslan Madun, seperti “Lemak Manis”, “Seloka Pak Pandir” dan “Nazam Hati Mulia”. Selain itu, diadakan juga persembahan tarian tradisional oleh alumni Kelab Kebudayaan Universiti Malaya dan persembahan syair oleh johan Pertandingan Pentas Bahasa 2018.

YB Dr. Maszlee Malik, Menteri Pendidikan turut melawat reruai DBP.

Di reruai DBP, diadakan kuiz bahasa dan sastera, segmen roda kata, pameran manuskrip, pendaftaran percuma sebagai Rakan DBP dan jualan buku bergerak oleh Ujana Buku DBP. Selain DBP, pempamer yang turut memeriahkan karnival ini ialah Jabatan Muzium Malaysia, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, Kolej Komuniti Jelebu, IPGKBM, Muzium Warisan Universiti Pertanian Malaysia dan Kraftangan Malaysia. Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Negara (PTPTN) pula melancarkan kempen Jom Menabung Bersama-sama PTPTN bagi menggalakkan kesedaran menyimpan duit demi pendidikan anak pada masa hadapan. Semua pempamer memaparkan maklumat dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh agensi masing-masing.

Timbalan Menteri Pendidikan, YB Teo Nie Ching, turut hadir dalam majlis tersebut.

Pada petangnya pula, diadakan  acara penutupan Karnival Bahasa Jiwa Bangsa oleh Menteri Pendidikan, YB Dr. Maszlee Malik. Yang menariknya, sepanjang berucap, beliau menggunakan pantun Melayu bagi menyampaikan mesej Pelan Hala Tuju Pendidikan Bahasa Melayu 2016  – 2025 kepada para pendidik. Antara pantun beliau adalah:

Karung padi penuh berisi,

Padi dituai di negeri utara;

Sebelas anjakan strategik dan operasi,

Jayakan aspirasi pendidikan negara;

 

 

Santun pekerti anak Melayu,

Pastikan dijaga setiap masa;

Kerangka Standard Bahasa Melayu,

Piawaian penilaian dan pengukuhan bahasa.

 

Salam dihulur tangan digenggam,

Itulah tanda budi bahasa;

Bahasa ilmu di universiti awam,

Pelan dirangka strategi diperkasa.

 

Sesungguhnya usaha memartabatkan pendidikan bahasa Melayu perlulah diberikan perhatian serius oleh pelbagai pihak agar pendidikan bahasa Melayu dapat mengikuti perubahan seiring dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai wadah perpaduan dan pembangunan bangsa dan negara.

Para petugas DBP bergambar kenangan bersama-sama Menteri Pendidikan, YB Dr. Maszlee Malik.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1047413
    Visit Today : 1029
    This Month : 30012
    Total Visit : 1047413
    Hits Today : 2882
    Total Hits : 4297684
    Who's Online : 7
  • Kategori