Oleh WAN NORASIKIN WAN ISMAIL

Pelbagai tajuk berkaitan bahasa dan sastera dibentangkan dalam forum dua hari ini.

DALAM usaha memantapkan penyelidikan bahasa dan sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Penyelidikan Bahasa dan Bahagian Penyelidikan Sastera telah bergabung tenaga menganjurkan Seminar Bahasa dan Sastera 2018 (SEBARA) yang bertemakan “Pemerkasaan dan Pembudayaan Penyelidikan Bahasa dan Sastera”. Seminar ini diadakan selama dua hari, pada 26 dan 27 September 2018, bertujuan untuk menyemarakkan dan menyuburkan budaya penyelidikan dalam kalangan karyawan DBP.

Ucapan perasmian oleh Prof. Dr. Mohamed Hatta Shaharom, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP.

Penganjuran seminar ini bertepatan dengan bidang keberhasilan utama dalam pelan Tindakan Strategi DBP 2006-2020 (PTS), iaitu membina karyawan yang berketerampilan dalam ilmu bahasa, sastera dan penerbitan serta memantapkan dan meluaskan khazanah ilmu dalam pelbagai bidang penyelidikan. Di samping itu karyawan DBP dapat meningkatkan kemahiran komunikasi dengan lebih berkesan melalui sesi pembentangan kertas kerja. Para pembentang seminar kali ini bukan sahaja terdiri daripada karyawan dari ibu pejabat malahan turut disertai oleh karyawan dari Wilayah Selatan dan Cawangan Sabah.

Dr. Zaharani Ahmad, mantan Timbalan Pengarah Dasar dan Penyelidikan DBP ketika menyampaikan ucap utama.

Seminar ini telah dirasmikan oleh Prof. Dr. Mohamed Hatta Shaharom, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP. Kertas ucap utama telah disampaikan oleh Dr. Zaharani Ahmad, mantan Timbalan Pengarah Dasar dan Penyelidikan DBP. Dalam ucapannya beliau menyatakan bahawa sistem penyelidikan bahasa dan sastera di DBP boleh diperkasakan dan dibudayakan mengikut perkembangan acuan semasa kerana asasnya sudah ada dan perkembangannya juga semakin menggalakkan. Perancangan yang rapi berserta tindakan strategi oleh pihak pengurusan mampu menjadikan impian ini suatu kenyataan.

Dr. Hazami Jahari, (dua dari kanan), Pengarah Pembinaan dan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, turut membincangkan isu-isu semasa yang berkaitan dengan permasalahan bahasa dan sastera di Malaysia.

Pada sebelah petangnya, diadakan forum pemerkasaan dan pembudayaan Penyelidikan Bahasa dan Sastera di Malaysia. Barisan panel forum terdiri daripada Prof. Dr. Nor Hashimah Jalaluddin dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Tuan Syed Mohd Zakir Syed Othman Al-Yahya atau lebih dikenali dengan nama SM Zakir, penerima SEA Write Awards 2011, dan Dr. Hazami Jahari Pengarah Pembinaan dan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP. Forum ini dipengerusikan oleh Dr. Abang Patdeli Abang Muhi. Tujuan forum ini diadakan adalah untuk membincangkan isu-isu semasa yang berkaitan dengan permasalahan bahasa dan sastera di Malaysia. Pada akhir forum diadakan sesi soal jawab bagi memperkasakan budaya penyelidikan di Malaysia.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1049764
    Visit Today : 609
    This Month : 32363
    Total Visit : 1049764
    Hits Today : 3874
    Total Hits : 4308635
    Who's Online : 19
  • Kategori